Wednesday, November 21, 2012

Baiklah Menjadi Kancil yang Berakal daripada Menjadi Harimau yang Lembik

Tan Sri Annuar Musa (Timbalan Presiden FAM) pada Mac 2012 lalu mengkritik prestasi skuad Harimau Malaya (bola sepak) yang tidak menentu. Beliau berkata bahawa skuad Harimau Malaya masih tidak mempamerkan peningkatan sejak kalah di “kaki” skuad Singapura dalam aksi Pusingan Awal Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia. Oleh sebab itu, Tan Sri Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM meragui kemampuan skuad negara kita ini untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki pada tahun ini.

Sekali lagi saya ulang, kritik itu diluahkan oleh Tan Sri Annuar pada Mac 2012 lalu. Sekarang sudah bulan November 2012, iaitu bulan bermulanya kempen Piala AFF Suzuki itu. Kepada yang tidak mengikuti perkembangan bola sepak, ketahuilah bahawa skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki itu pada Ahad ini dan seteru yang menanti skuad ini tidak lain tidak bukan skuad yang mengalahkan kita pada Pusingan Awal Kelayakan Piala Dunia 2014 bagi Zon Asia lalu — Singapura.

Sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan dua tahun sekali itu, pasukan negara telah melakukan beberapa siri perlawanan persahabatan. Keputusan yang diperoleh oleh pasukan negara yang diberi nama Harimau Malaya itu langsung tidak membanggakan — kalah di “kaki” Vietnam dan Thailand serta seri di “kaki” Hong Kong dan Bangladesh. Oleh sebab itu, kritik dan teguran Tan Sri Annuar Musa tentang prestasi negara itu (yang diluahkannya lapan bulan yang lalu), pada pandangan saya, sangat berasas.

Pada pandangan saya, teguran dan kritik itu disasarkan oleh Tan Sri Annuar Musa terhadap jurulatih skuad Harimau Malaya — Datuk K. Rajagobal — yang beriltizam untuk menanjakkan nama Malaysia sebagai “kuasa baharu” bola sepak Asia menjelang tahun 2015. Hal ini saya katakan demikian kerana Tan Sri Annuar Musa secara terus terang dan ikhlas telah mempertikaikan tindakan jurulatih itu yang sering dan asyik bereksperimen dalam usaha hendak membentuk skuad bola sepak terkuat negara.

Walau bagaimanapun, teguran dan kritik terbuka yang ikhlas dan benar itu, sangat mahal harganya kerana pada April 2012, Timbalan Presiden itu digantung 30 bulan oleh FAM. (Penggantungan itu kemudiannya mencetuskan bermacam-macam hal — Tan Sri Annuar diminta supaya menanggung kos mesyuarat jawatankuasa tatatertib, Tengku Abdullah ditegah untuk menjadi perantara dalam krisis penggantungan itu, serta Tan Sri Annuar menyaman FAM atas hukuman yang dikenakan terhadap dirinya.)

Seperti yang dinyatakan tadi, skuad Harimau Malaya kalah di “kaki” Vietnam dan Thailand dalam siri perlawanan persahabatan yang diadakan baru-baru ini. Selepas kekalahan itu, Tengku Abdullah membuat teguran yang hampir sama dengan yang diluahkan oleh Tan Sri Annuar dahulu — Rajagobal, berhentilah mencuba-cuba pemain (bereksperimenlah tu), sebaliknya hendaklah mencuba untuk mengenal pasti kesebelasan utama. Kerana barangkali titah baginda itu bukan kenyataan, baginda tidak senasib dengan Tan Sri Annuar.

Selepas tunduk di “kaki” Vietnam dan Thailand, skuad Harimau Malaya hanya seri dengan Hong Kong (ranking FIFA 172) dan Bangladesh (ranking FIFA 171). Komen spontan yang keluar dari mulut kebanyakan orang tentang dua keputusan terakhir itu ialah “malu”. Tanpa hendak mempertikaikan kesungguhan mana-mana pemain, saya ikut berasa malu daripada keputusan itu. Walau bagaimanapun, saya tetap positif — bahawa Sang Harimau sedang menyembunyikan kukunya untuk digunakan pada masa yang betul, yang ada ganjarannya.

Berbalik kepada kritik dan teguran Tan Sri Annuar itu, kita dapati beliau awal-awal lagi sudah menyedari “kemeruduman” prestasi skuad Harimau Malaya. Malangnya, oleh sebab FAM “tidak boleh menerima” kritik dan teguran dengan cara yang demikian, maka loceng kesedaran itu terus dimatikan dan jurulatih pun terus melakukan caranya — bereksperimen. Sebagai hasilnya, kedudukan ranking FIFA kita jatuh dengan laju — daripada berkedudukan 148 pada Januari 2012 kepada kedudukan 163 pada November 2012!

Sebagai insan yang patriotik, kita patut menyokong pasukan negara kita. Sebagai insan yang patriotik juga, kita wajar bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa dan Tengku Abdullah — menegur yang kurang betul supaya yang kurang betul itu dapat dibaiki hingga menjadi betul. Patriotisme boleh dizahirkan orang melalui pelbagai cara; oleh itu, hukuman yang dijatuhkan kepada para patriot yang memperlihatkan sikap patriotik merupakan suatu bentuk penganiayaan, suatu bentuk kezaliman!

Ada yang berkata, kita cuma seri, bukannya kalah. Yang lain pula berkata, seri lebih baik daripada kalah. Saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Sebagai harimau, kita tidak wajar berkata demikian. Hal ini saya katakan begitu kerana kita seri dengan pasukan yang tergolong sebagai lemah, dan keputusan seri yang kalian “bangga”kan itu berlaku di koloni kita. Huh, harimau tidak mampu untuk menewaskan “mangsa”nya yang lemah di koloni sendiri! Lebih baik menjadi kancil yang berakal daripada menjadi harimau yang lesu!

Berusahalah Harimau Malaya! Kalian harus menjadi garang sekalipun terhadap jurulatih kalian! Kalian harus membuatkan semua orang menelan tohmahan mereka semula. Yang lebih penting, kalian harus memadamkan arang yang terpalit di muka kalian ... dan kami. Doa kami senantiasa bersama dengan kalian. SELAMAT MAJU JAYA, HARIMAU MALAYA!

3 comments:

  1. As salam
    Agak lama tak mengikuti tulisan saudara
    sibuk dgn ayah yg msuk hospital putrajaya kerana demam
    dan dek kerana ayah takut hospital dgn alasan hanya demam lantas di masukkan ke icu kerana kritikal.
    Selama 72thn tak prnh di masukn wad, hinggalah kedegilannya bernoktah dgn penahanan hampir 10ari kt icu, bukn anak2 tak berusaha memujuk ttp hati org tua pun kena jaga, takut paksa cekup kt hospital mereka terasa,
    natijahnya, selepas icu, semua pnyakit dikesan ; kencing manis (biasalh melayu mmng suka minum manis-dari sarapan, mkn tghari,minum ptg dan mkn mlm)-
    Maaf tp mungkin sbb saya bukn melayu sbb penglmn di sabah dan hidup 12thn dgn mereka mmng cara minum amat berbeza -mungkin juga sbb gula mahal kt sabah...hehehe..
    Moralnya...Datuk Rajagopal- Jgn sampai bolasepak negara dah tahap kronik & kritikal baru hendak berhenti BEREKSPERIMEN...

    ReplyDelete
  2. As-Salam Puan,
    Saya bersimpati terhadap Puan dan dugaan yang dihadapi oleh ayah Puan. Walau bagaimanapun, dugaan sakit) itu ujian, sama ada kepada yang sihat apatah lagi yang sakit. Insya-Allah, dengan hati yang redha, dugaan itu akan dapat didepani dengan tabah. Mungkin saya hanya pandai berkata-kata kerana berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, kan. Mengadulah kepada Allah.

    Saya tidak mahulah menjadi segelintir orang, waktu berjaya dipuji melangit, apabila gagal, dihina tak sudah-sudah. Yang tidak elok pada beliau ialah asyik bereksperimen itulah.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumslm...
    Alhamdulillah skrg dah sembuh sdikit, dah tukar wad pesakit biasa.
    Esok ke putrajaya utk mjenguk pula dan bljr cara suntik insulin.
    Benar, segala ttg hidup ini mesti sllu bercinta dgn Dia yg Maha Pengasih.
    Ayah mentua saya ini bks askar, jadi mungkin kewajaran jua dgn degilnya.
    Tp sbg anak...saya amat mengasihi beliau.
    Semoga jua sukan bolasepak kita terus maju. Terima kasih atas ingatan.

    ReplyDelete