Monday, December 31, 2012

Menangisnya Mereka kerana Yang Sia-sia; Menangisnya Ummu Nidhal kerana Mencari Syurga

Entah bagaimana, saya telah tertonton sebuah program realiti hiburan yang disiarkan oleh sebuah stesen TV swasta. Rupa-rupanya program itu sudah sampai ke kemuncaknya – final. Lima orang, kalau saya tidak silap, berentap dalam acara final itu. Saya (yang berada di kampung) tidaklah menontonnya beria-ia kerana lebih banyak berbual-bual dengan bapa, mengusik anak-anak buah, dan sebagainya. Cuma apabila tiba detik pengumuman keputusan, tanpa saya sedar saya telah ikut memberikan perhatian. Anak-anak buah saya di kampung yang barangkali mengikuti program itu sejak awal dahulu, membuat telahan masing-masing. Saya diam kerana memang tidak tahu siapa yang bagus dan siapa yang tidak bagus; lebih tepat kalau dikatakan bahawa saya memang tidak tahu apa-apa.

Apabila keputusan diumumkan, bermula dari tempat ketiga dan kemudiannya tempat kedua, semua orang dalam rumah kami di kampung memberikan perhatian kepada peserta yang bakal menjadi juara. Pengacara sedaya upaya menimbulkan saspens kepada penonton dan pastilah orang yang paling saspens pada waktu itu ialah peserta-peserta yang berada di pentas dan ahli keluarga serta penyokong masing-masing. (Saya sekarang sudah pandai tidak berasa saspens, terutamanya apabila menonton sesuatu pertandingan sukan yang melibatkan pemain atau pasukan yang saya minat dan saya sokong kerana saya mengajar diri saya untuk menerima ketentuan Allah SWT.)

Apabila nama pemenang diumumkan, peserta yang menang menangis. Situasi itu sudah kerap benar saya tonton — orang menangis apabila beroleh kejayaan. Memenangi anugerah pelakon terbaik, menangis; memenangi anugerah pelakon pembantu terbaik menangis juga. Dalam sebuah program realiti yang tidak lagi wujud, begitu banyak orang yang menangis apabila ada peserta yang disokong mereka terkeluar daripada program itu. Apabila peserta dukungan mereka menang dan menjadi juara, mereka ikut menangis bersama-sama si juara. Si juara menangis beroleh wang dan harta, mereka menangis beroleh apa? Dan saya berasa aneh juga apabila ahli keluarga peserta ikut menangis!

Seorang ibu di Palestin, dilekatkan dengan gelaran “Ummu Nidhal”, mempunyai empat orang anak lelaki — Muhammad Farhaat, Nidhal Farhaat, Rawad Farhaat, dan Wisam Farhaat. Tiga orang yang pertama itu — Muhammad Farhaat, Nidhal Farhaat, Rawad Farhaat — mati syahid kerana dibunuh penjarah Zionis, masing-masing pada tahun 2002, 2003, 2005. Wisam Farhaat sekarang masih meringkuk di penjara Israel. Ummu Nidhal tidak menangis apabila anaknya itu gugur syahid satu per satu. Ummu Nidhal, seperti sahabiyyah pada zaman Rasulullah SAW, menangis kerana tidak mempunyai anak lelaki lagi untuk dihantar menentang seteru Israel Zionis itu.

Betul, beliau memang menangis apabila melepaskan Muhammad Farhaat untuk pergi berjihad, tetapi beliau berpesan kepada anaknya (kini as-Syahid Muhammad Farhaat), “Ibu tidak dapat membendung air mata ini, tetapi jangan percaya akan air mata ibu ini, nak.... Air mata ini ialah air mata bangga menjelang hari pertemuanmu dengan bidadari. Pergilah menemui Rabb-Mu dan berjihadlah. Tetapkanlah hatimu, kekallah seperti itu sampai engkau bertemu dengan Allah Taala”.

Kerana menjadi juara nyanyian, juara lakonan, anda menangis sakan. Sebagai orang Islam, hendak anda letakkan di mana diri anda berbanding dengan Ummu Nidhal itu?

3 comments:

  1. Assalammualaikum
    sdr.Zul
    Saya pun Agak terkesan dengan kalangan bangsa kita yang sanggup menangis utk perkara tidak penting.
    Oh ye,
    sdr xde FB ke? Boleh lah saya add'

    ReplyDelete
  2. As-Salam,Sdr Nur,
    Boleh add ... boleh. Tak perlu sampai menangis untuk add. Ha hah ha.

    ReplyDelete
  3. Walaikumusalam
    sdr Zul, hehehe...amboii buat lawak ye...semoga tabah menempuhi segala dugaan -Nya.

    Hehehe...

    ReplyDelete