Friday, January 8, 2010

Akhbar Arus Perdana Semakin Kekurangan Pembaca

Malaysiakini.com melaporkan suatu berita yang memang menjadi hakikat semasa, iaitu rakyat semakin kurang minat untuk membaca akhbar arus perdana, sebaliknya memilih untuk membaca media alternatif (portal berita dan blog).

Hal ini telah menimbulkan kebimbangan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) sehingga mereka meminta pemilik media cetak menilai operasi mereka semula ekoran edaran akhbar yang semakin merosot yang berakibat daripada kehilangan pembaca yang beralih kepada media alternatif.

Keadaan ini sebenarnya sudah lama dialami oleh RTM. Stesen TV RTM sudah lama tidak mendapat tempat di hati penonton dan pihak-pihak lain. Hal ini tidak sukar untuk dibuktikan. Kalau anda biasa menonton TV1 atau TV2, berapa banyak iklankah yang terselit dalam sesuatu program yang disiarkan? Mengapakah berlaku demikian?

Jawabannya tidak lain kerana stesen-stesen TV itu, termasuklah akhbar-akhbar arus perdana yang dimaksudkan oleh NUJ itu, terlalu berperanan sebagai pemproganda kerajaan. Mereka tidak memperlihatkan sikap kritis terhadap kerajaan. Akhbar-akhbar arus perdana, misalnya, sering memaparkan berita yang selari dengan kehendak kerajaan kerana para pengarangnya merupakan orang-orang yang ada kaitannya dengan kerajaan (lazimnya dipilih oleh kerajaan. Dalam hal ini, Ketua Pengarang di Berita Harian dan Utusan Malaysia, misalnya, dipilih oleh UMNO).

Kecenderungan untuk menutup atau mencantas berita yang sebenarnya daripada pengetahuan umum menjadikan akhbar arus perdana dianggap sebagai “pembohong” oleh orang ramai. Hal ini sangat besar dampaknya kepada media tersebut. Contoh yang paling mudah adalah apabila ada sesuatu tunjuk perasaan yang matlamatnya adalah untuk menentang kerajaan (perhimpunan menentang PPSMI, misalnya). Dalam hal ini, akhbar arus perdana tidak akan menyatakan jumlah (rakyat yang terlibat) yang sebenarnya – kalau rakyat yang terlibat berjumlah puluhan ribu, akhbar arus perdana lebih cenderung untuk menyatakan jumlahnya sebagai beberapa ribu atau ratus sahaja sedangkan media alternatif mendedahkan hal yang sebenarnya, lengkap dengan gambar serta kronologi peristiwa.

Pada hemat saya, untuk menarik minat pembaca supaya membaca akhbar arus perdana semula, pihak yang berkaitan di media-media cetak itu tidak perlulah “mengikut lenggok” media alternatif dalam mengetengahkan berita. Rasa saya, cukuplah kalau pihak mereka bersedia untuk melaporkan sesuatu berita itu dengan benar, jujur, penuh tanggungjawab dan yang paling penting bersikap kritislah terhadap kerajaan.

Ada pihak yang mengatakan bahawa yang benar dan betul dalam surat khabar arus perdana ialah keputusan 4 nombor ekor (Magnum dan Sports TOTO). Malangnya, kaki-kaki tikam ekor pun sudah tidak membeli akhbar lagi untuk mengetahui keputusan tersebut kerana mereka kini khabarnya boleh berSMS, menggunakan Internet, atau membeli keputusan itu daripada penjual keputusan nombor ekor di simpang-simpang jalan. Hal ini pun mengurangkan jumlah pembeli akhbar arus perdana juga!

Laporan lengkap di malaysiakini.com.

4 comments:

  1. Ada statistik yang lengkap tak? Atau hanya berdasarkan persepsi?

    [maaf tak sempat klik ke malaysiakini]

    ReplyDelete
  2. Kurang pasti tentang statnya tapi hal ini dinyatakan oleh pihak Majlis Eksekutif NUJ sendiri. Adalah kebenarannya tu.

    ReplyDelete
  3. ada banyak faktor dr sudut pandang lain. bukan hanya sbb beralih kpd media alternatif semata-mata.
    antaranya:
    1.akhbar arus perdana sendiri punya akhbar online (tak payah beli)
    2. kos beli akhbar (dulu harga murah)
    3. saingan akhbar tabloid yg berlambak di pasaran
    4. trend yg sama jugak berlaku di serata dunia bukan di negara ini shj.
    samalah jugak kalau saudara katakan org tak lagi tengok RTM. dr segi statistiknya memanglah. dulu kita hanya ada tv1 & tv2. sekarang dah bnyk stesen tv lebih2 lagi astro.
    janganlah terlalu simplistik dlm membuat ulasan.

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Anon;
    Terima kasih.

    Saya tahu dan tidak berhajat untuk menyatakan faktor 1 dan 2 (saya tidak terfikir tentang faktor 3 itu selain menyedari hal yang sama berlaku di seluruh dunia) dalam posting saya itu. Hal ini demikian kerana faktor-faktor itu tidak dapat saya nasihati. Semoga Sdr faham maksud dan tujuan saya.

    (Untuk makluman, saya tetap membeli akhbar setiap hari kerana kurang puas menelaah berita di akhbar-akhbar online.)

    ReplyDelete