Wednesday, January 13, 2010

Hindarilah Perbuatan yang Kita Sendiri Tidak Suka Dilakukan terhadap Kita

Jangan lakukan sesuatu perbuatan yang kita sendiri tidak suka dilakukan terhadap kita. Itulah antara aspek yang seharusnya menjadi pegangan semua umat manusia di dunia ini. Sebagai contohnya, jika kita tidak suka para pemandu di jalan raya memotong barisan semasa kita sedang berbaris dalam kesesakan jalan raya, janganlah pula kita melakukan perbuatan yang sama terhadap orang lain.

Dalam skop yang lebih besar, yang memungkinkan berlakunya suasana permusuhan, pergaduhan, kekacauan, dan sebagainya, amalan ini tidak harus sama sekali dilakukan, sama ada dengan sengaja ataupun sebagai suatu bentuk provokasi. Menyentuh hal-hal berkaitan sensitiviti sesuatu bangsa dan agama lain, misalnya, haruslah dihindari kalau kita tidak mahu bangsa dan agama kita disentuh dan digesel oleh orang atau pihak lain. Mengatakan orang Melayu bukan penduduk asal negeri ini, misalnya, jangan sekali-kali dilakukan kalau sesuatu kelompok itu tidak mahu orang Melayu mengatakan mereka sebagai pendatang. Mempersendakan hak eksklusif sesuatu agama tidak juga harus dilakukan kalau sesuatu kelompok itu tidak mahu agama mereka dipersendakan. Merosakkan rumah ibadat pihak lain juga tidak harus dilakukan kalau kita tidak suka atau tidak mahu rumah ibadat kita dirosakkan. Dengan kata yang lebih kurang sopan – jangan mengajar orang kurang ajar melalui perbuatan kurang ajar kita!

Seperti yang saya tegaskan, hal ini demikian kerana perbuatan itu dapat mencetuskan permusuhan, pergaduhan, kekacauan, dan sebagainya yang akan mewujudkan ketidakharmonian kehidupan bermasyarakat sehingga akhirnya menimbulkan keadaan tidak aman di dalam sesebuah negara. Dalam agama Islam, perbuatan seperti itu sebenarnya akan merosakkan usaha dakwah yang sebenanrnya bukan sekadar dilakukan melalui perkataan dan penyampaian tetapi juga melalui tingkah laku serta sikap dan pemikiran kita.

Dalam suatu cerita yang lazim kita dengar, Nabi Muhammad SAW apabila melalui suatu kawasan, telah dilempari dengan pelbagai objek oleh seorang lelaki. Keadaan itu berlaku setiap kali baginda SAW melalui kawasan itu. Pada fikiran anda, sukakah baginda terhadap perbuatan yang dilakukan oleh lelaki itu terhadap dirinya? Tentu tidak suka, bukan! Tetapi, adakah baginda bertindak balas terhadap perbuatan kurang ajar oleh lelaki yang samseng itu? Sesungguhnya, baginda langsung tidak bertindak balas walau sedikit pun sehinggalah tiba pada suatu hari yang menimbulkan kehairanan besar kepada baginda Rasulullah SAW.

Pada hari itu, baginda tidak dilempari dengan apa-apa objek pun oleh lelaki samseng itu. Baginda berasa sangat ingin tahu akan sebab-musababnya lalu hal itu ditanyakan oleh baginda kepada jiran lelaki samseng itu. Baginda telah dimaklumkan bahawa lelaki yang sering melemparinya dengan pelbagai objek itu sakit. Apakah reaksi baginda? Sesungguhnya, baginda langsung tidak berkata, misalnya, “Padan dengan muka engkau” atau “Itulah padahnya kalau Rasul Allah dizalimi”, dan sebagainya. Sebaliknya, baginda telah menziarahi lelaki itu, membawakannya makanan, serta menyuapi lelaki samseng itu makanan sehingga akhirnya lelaki itu mengucap dua kalimah syahadat.

Dalam hal ini, adakah baginda menjadi orang yang tewas? Tidak, malah baginda telah menjadikan perbuatan itu sebagai salah satu usaha untuk mendakwahi lelaki itu. Terbukti bahawa, dalam jangka masa panjang, sikap tidak bertindak balas terhadap perbuatan ala samseng itu telah memberikan kemenangan besar kepada baginda.

Memanglah kita tidak boleh berdiam diri kalau hal-hal yang berkaitan dengan kesucian agama kita disentuh tetapi membalas perbuatan mereka itu dengan perbuatan yang sama biadabnya bukan tuntutan agama kita, bukan amalan Rasulullah SAW. Dengan kata yang lebih diplomasi, kita perlu berhemah dalam menangani kebiadaban pihak lain.

Sekali lagi, janganlah dilakukan perbuatan yang kita sendiri tidak suka dilakukan terhadap diri kita! Janganlah kita merosakkan rumah ibadat penganut lain kalau kita tidak mahu rumah ibadat kita dirosakkan.

2 comments:

  1. Salam tuan. Lama saya tak singgah di sini.

    ReplyDelete
  2. Salam, Syekh;
    Saya sendiri lama tidak berblog. Selepas posting terakhir saya (13 Januari), saya kembali berblog 24 Januari.

    Terima kasih kerana sudi singgah. Sekarang baru nak ligat balik!

    ReplyDelete