Friday, July 30, 2010

Perihal Lanun yang Tidak Mengenal Halal Haram

Apakah tindak balas yang bakal kita terima kalau kita dengan berani berkata “kamu penyamun” atau “kamu lanun” atau “kamu pencuri”, atau “kamu perompak” kepada peniaga cakera padat cetak rompak yang mendatangi kita? Tentu mereka akan menyinga dan kalau mereka berhati kering, pasti kita dihadiahkannya dengan penumbuk atau penampar. Tidak dapat kita bayangkan kalau mereka berniaga secara berkumpulan, pasti akan berlaku “pertempuran” kecil. Kalau saya tidak silap, di utara tanah air pada suatu ketika dahulu, pernah berlaku kekecohan antara pegawai penguatkuasa dengan peniaga cakera padat cetak rompak ini.

Dalam erti kata yang lebih senang, peniaga cakera padat cetak rompak yang lazimnya dikategorikan oleh penggiat seni hiburan tanah air sebagai “lanun” itu akan melenting dan sanggup bertindak liar jika mereka dituduh sebagai “penyamun”, “lanun”, “pencuri”, atau “perompak”.

Dalam hal ini, lazimnya pihak media massa hanya menyorot perihal kejahatan peniaga cakera padat cetak rompak sahaja walhal ada banyak golongan lain yang menjadi penyamun dengan cara yang sama.

Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hampir. Jutaan ringgit akan bertukar tangan daripada pembeli kepada peniaga. Pembeli yang menggilai lagak dan gaya tidak segan silu untuk membeli pelbagai pakaian daripada pelbagai jenama terkenal. Golongan yang kurang mampu tetapi menggilai lagak dan gaya mencari alternatif paling mudah, sama ada membeli pakaian berjenama yang second-hand (bundle) atau membeli pakaian berjenama tiruan. Jeans Levi’s, Dockers, dan Wrangler atau pelbagai jenama kasut seperti Adidas, Clark, dan lain-lain atau tas tangan berjenama Gucci atau Guess adalah antara jenama yang menjadi pilihan mereka. Semuanya mudah dibeli kerana ada dijual di serata tempat.

Bersempena dengan kehadiran Hari Raya Aidilfitri ini, banyak peniaga yang mengambil kesempatan menjual barangan tiruan ini. Sesuai dengan namanya – barangan tiruan – sudah tentulah merupakan suatu bentuk pelanunan kerana ditiru secara haram. Jadi, apakah hukumnya menjual barang yang dilanun seperti ini? Tidakkah haram?

Begitu juga halnya dengan perilaku pengusaha restoran yang mengambil ruang letak kereta awam dengan meletakkan meja dan kerusi mereka di situ sehingga menyukarkan orang untuk mendapat tempat untuk meletakkan kenderaan. Golongan ini juga tergolong sebagai penyamun – menyamun hak dan kemudahan orang ramai bagi membolehkan mereka mendapat keuntungan yang lebih besar!

Apakah tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap orang-orang ini – si penjual cakera padat cetak rompak, si penjual pakaian berjenama tiruan, dan si pengusaha restoran itu?

Pembeli dan pelanggan sendiri tidak berasa malukah membeli “barang curi” atau duduk di atas kerusi yang ditempatkan di atas premis orang awam?

Mungkin kena tunggu Karam Singh Walia menghebahkannya dalam Aduan Rakyat baru tindakan akan diambil. Biasalah, pahat – tidak diketuk tidak dapat menobek kayu!

2 comments:

  1. Assalamualaikum, Tuan
    Seperkara lagi yang tidak disebutkan iaitu cetak rompak buku. Berapa banyak buku yang diphotostat saban hari hingga menafikan penulisnya menerima imbuhan yang setimpal? Bila agaknya amasalah ini akan dikurangkan??

    Daripada : Cikgu Razak JB (galusbm)

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Ya, lupa untuk dinyatakan hal ini. Pihak yang memfotostat ternyata pencuri - mencuri hak penulis, mencuri hak penerbit. Royalti penulis terjejas, imbalan pekerja di penerbit yang terlibat tidak diperoleh.

    ReplyDelete