Monday, November 22, 2010

Sukan Asia: Kalau Hendak Mengalahkan Negara China

Semua orang tahu, Negara China kuasa besar dalam bidang sukan. Dalam Sukan Olimpik, selepas KSSR runtuh dan terpecah-pecah, Negara Chinalah yang menjadi pesaing utama kekuasaan AS dalam lapangan ini. Pada Sukan Olimpik ke-29 di Beijing, negara itu mengungguli pungutan pingat dengan mengutip 51 emas, 21 perak, dan 28 gangsa. AS beroleh 36 emas, 38 perak, dan 36 gangsa manakala Rusia mendapat 23 emas, 21 perak, dan 28 gangsa. Pada Sukan Olimpik ke-28 di Greece, Negara China menjadi naib juara di belakang AS dengan pungutan pingat 32-17-14. AS menjadi juara dengan pungutan 35-39-27. Tanpa perlu merujuk kepada edisi-edisi Sukan Olimpik yang lain, Negara China, sejak Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, sentiasa berada di empat kedudukan terbaik.

Di manakah kedudukan Negara China pada peringkat Asia, khususnya dalam Sukan Asia yang menjadi sukan kedua terbesar di dunia selepas Sukan Olimpik? Sesungguhnya, kuasa negara yang berpenduduk lebih daripada 1 bilion dalam bidang ini sehingga kini tidak dapat disaingi oleh mana-mana negara di Asia. Pada edisi ke-15 di Doha, Qatar, Negara China memungut 166 emas, 87 perak, dan 63 gangsa. Pada edisi ke-14 di Busan, Korea Selatan, negara itu memungut 150 emas, 84 perak, dan 74 gangsa. Pada edisi ke-13 di Bangkok, Thailand, negara itu memungut 129 emas, 78 perak, dan 62 gangsa. Pada edisi ke-12 di Hiroshima, Jepun, negara itu memungut 125 emas, 83 perak, dan 58 gangsa.

China mula menjadi juara Sukan Asia sejak edisi ke-9 di New Delhi (1982). Sebelum itu, sejak edisi pertama (1951), kuasa dalam Sukan Asia ialah negara Jepun. Kini, negara Jepun berada sama ada pada kedudukan kedua atau ketiga (bersilih ganti dengan Korea Selatan).

Pada edisi ke-16 yang sedang berlangsung di Guangzhou sekarang (setakat 21 November 2010), negara China sedang mendominasi carta kutipan pingat dengan pungutan 146 emas, 71 perak, dan 70 gangsa. Pesaing rapatnya, Korea Selatan, hanya mengutip 71 perak, dan 70 gangsa Malaysia setakat ini hanya beroleh 5 emas, 8 perak, dan 7 gangsa. (Jumlah kutipan pingat Malaysia agak rendah berbanding dengan pencapaian pada edisi ke-15 di Doha yang pada waktu itu memungut 8 emas, 17 perak, dan 17 gangsa.)

Berdasarkan pencapaian Negara China dalam Sukan Asia ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa, selepas edisi ke-10 (1986) di Seoul, Negara China hanya dapat dikalahkan dalam Sukan Asia sekiranya semua negara di Asia bergabung menjadi satu! (Pada edisi ke-10 itu, Negara China hanya mengatasi Korea Selatan dengan kelebihan satu pingat emas (94-82-46) berbanding Korea Selatan (95-33-76).

Kita perlu tabik dengan kesungguhan Negara China untuk menjadi kuasa dalam bidang sukan. Mereka memang pun merupakan kuasa dunia dalam acara akuatik (renang dan terjun), gimnastik, pingpong, badminton, dan lain-lain. Sudah sampai masanya Malaysia berusaha untuk melahirkan atlet berkuasa “Badang” dalam semua acara selain menyertai semua acara yang dipertandingkan jika hendak memperoleh pungutan pingat yang baik dalam sukan itu (kita tidak ikut serta dalam acara bola baling, polo air, gusti, soft tennis, dan sebagainya). Caranya, peneraju badan sukan hendaklah kurang berpolitik dan jangan berebut kuasa.

6 comments:

  1. tahniah semua kontinjen Malaysia,walau x dpt kalahkan gergasi (china),nmun telah dpt mngharumkan nama negara.. (^_^)

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Mohamad Hazwan;
    Kita tidak mungkin dapat menyaingi Negara China tetapi kita tidak perlu menjadi Singapura atau Qatar, atau Bahrain yang sanggup mengutip pingat melalui warga mi segera. Lima pingat emas daripada warga asal sendiri lebih elok daripada lima pingat emas daripada warga mi segera. Syabas Malaysia!

    ReplyDelete
  3. Salam, tuan. Nampaknya kita perlu lebih banyak bekerja daripada bercakap. Lebih banyak bersukan daripada berpolitik. Itulah sebabnya menteri yang memegang portfolio kementerian berkenaan perlu datang daripada kalangan atlit, bukannya wakil rakyat yang entah pernah bersukan entahkan tidak.. :)

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu;
    Ada satu mentaliti orang kita - bahawa peneraju badan sukan sebaik-baiknya tokoh korporat kerana agaknya bakal dapat membawa dana dan penajaan. Seperti yang Cikgu katakan, mereka ini entah pernah bersukan entah tidak. Kalaulah mereka ini menjadikan jawatan peneraju badan sukan sebagai batu loncatan untuk jadi wakil rakyat, lebih malang lagilah!

    ReplyDelete
  5. segalanya sukar buat malaysia.... takraw pun sudah hampir milik Korea akan datang.

    Badminton bagai air gas...
    Hoki...
    Bolasepak... sudah jauh ketinggalan...

    campurtangan politik dan campurtangan siapa lagi ya!!!

    ReplyDelete
  6. Salam, Syeikh;
    Selepas Lee Chong Wei, Nicol David, siapa ganti mereka utk posisi no 1 negara dan dunia? Walhal yang nak duduk jadi nombor 1 persatuan berlumba-lumba. Itulah hakikatnya. KUASA. Sampai orang yang patut jadi nombor satu dalam kelangsungan Islam di negeri-negeri pun nak jadi pemimpin persatuan sukan. Pergh!!!

    ReplyDelete