Monday, November 29, 2010

Sukan Asia: Pencapaian dan Habuan

Sukan Asia Edisi Ke-16 (2010) tamatlah sudah setelah dua minggu (12 November-27 November 2010) mewarnai dunia Sukan Asia. Negara China yang menjadi tuan rumah sukan ini benar-benar menjadi tuan dan raja. Mereka telah mencatat rekod sebagai negara yang paling banyak memungut pingat emas dalam sejarah Sukan Asia (mungkin juga dalam mana-mana sukan serantau dan dunia). Mereka memungut sebanyak 416 pingat secara keseluruhannya dengan pecahan 199 emas, 119 perak, dan 98 gangsa.

Negara kita yang terus berslogankan “Malaysia Boleh” memungut sebanyak 41 pingat secara keseluruhan dengan pecahan 9 emas, 18 perak, dan 41 gangsa. Dengan pencapaian itu, kita tergolong sebagai antara 10 negara terbaik dalam Sukan Asia kali ini. Dalam kalangan negara Asia Tenggara, kita menjadi negara kedua terbaik selepas Thailand yang memungut 52 pingat secara keseluruhan dengan pecahan 11 emas, 9 perak, dan 32 gangsa.

Atlet-atlet dalam sukan skuasy, karate, boling, basikal, wusyu, dan hoki wajar mendapat pujian kita. Sukan skuasy telah menyumbangkan 3 emas, 1 perak, dan 2 gangsa; karate 2 emas, 2 perak, dan 2 gangsa; boling 2 emas, 1 perak, 1 gangsa, basikal 1 emas dan 1 perak, manakala wusyu 1 emas dan 1 gangsa. Atlet-atlet dalam sukan hoki, walaupun hanya menyumbangkan pingat perak, wajar dipuji kerana telah berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir untuk kali pertama dalam sejarah Sukan Asia.

Atlet dalam sukan terjun merupakan atlet yang paling banyak menyumbangkan pingat – 9 pingat semuanya (4 perak, 5 gangsa). Tetapi, yang paling menghampakan kita ialah sukan olahraga yang tidak memberikan apa-apa pingat kepada kontinjen negara. Pencapaian pasukan badminton, walaupun menyumbangkan dua butir pingat perak, agak mengecewakan. Kalah kepada pasukan Thailand dalam acara berpasukan lelaki sangat mendukacitakan. Jelas bahawa kita masih tidak dapat menggantungkan harapan kepada pemain muda seperti Darren Liew, Mak Hee Chun, dan Tan Wee Keong. BAM harus segera membetulkan keadaan.

Pasukan sepak takraw juga masih menghampakan kita walaupun mereka dapat membalas dendam kekalahan mereka kepada pasukan Korea Selatan yang menumpaskan mereka semasa Kejohanan Piala Raja Thai. Kita masih berada di belakang Thailand. Boling wanita tidak menyerlah pada kali ini (mereka hanya memberi kita 1 pingat gangsa melalui acara lima sepasukan).

Walau bagaimanapun, pencapaian 9-18-14=41 itu harus dibanggakan (sama halnya dengan pencapaian 12-10-13=35 dalam Sukan Komanwel yang baru lalu). Yang lebih membanggakan, atlet yang berjaya akan mendapat habuan masing-masing sekembalinya mereka ke tanah air. Pemungut pingat berganda seperti Kenny Ang dan Nicol David lebih seronok. Banyak habuan yang bakal diperoleh mereka!

Yang cacat anggota kerana mempertahankan negara banyak manalah habuan yang diperoleh mereka?

2 comments:

  1. Salam, tuan.
    BArangkali kita sudah boleh mengenakan syarat, atlet yang tidak mendapat sebarang pingat dikehendaki pulang ke Tanah Melayu berjalan kaki. Hehehe... Teringat pula keluhan emak, "Mudahnya Dato' Lee Chong Wei mendapat pencen RM3,000 sebulan. Emak yang berkhidmat sebagai guru selama lebih 30 tahun pun belum tentu boleh mendapat pencen sebanyak itu. Mana lebih besar agaknya, sumbangan pingat atau sumbangan ilmu?" Saya hanya mampu menjawab, "Jikalau emak redha, pahalanya jauh lebih besar daripada yang kita mahu"... :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Itulah yang menimbulkan rasa tidak puas hati saya, secara peribadi. Adakah atlet sahaja yang wajar digolongkan sebagai pahlawan? Yang benar-benar pahlawan - askar, guru yang mendidik atlet itu sendiri, dan lain-lain bukan pahlawankah?

    Hanya kerana tanggapan longgar - bahawa atlet telah mengharumkan nama negara - mereka diletakkan sebagai wira. Harumnya negara kerana rakyatnya yang berilmu.

    ReplyDelete