Sunday, July 10, 2011

Allahyarham Baharudin Ahmad dan Makna Kematiannya

Apakah makna kematian kepada orang-orang yang diberi kuasa untuk memimpin negara ini?
Kalau yang mati itu mantan menteri, mantan orang kuat parti yang memerintah, atau orang-orang kerajaan yang sealiran dengan mereka, penyataan yang paling klise yang lazim kita dengar ialah “... negara telah kehilangan tokoh yang banyak berjasa kepada rakyat dan negara...”. Kalau yang mati itu lebih tinggi pula darjatnya daripada menteri, mereka akan dikatakan sebagai “... kehilangan ... yang berjiwa rakyat...” dan sebagainya. Itulah makna mati kepada mereka.
Semalam seorang rakyat mati, daripada sekian banyak rakyat yang mati oleh pelbagai sebab. Salah seorang rakyat yang mati itu bernama Baharudin Ahmad. Allahyarham yang berusia 56 tahun itu, dikatakan mati angkara bom asap yang dilemparkan ke arahnya oleh orang-orang yang ada lesen untuk memiliki bom yang serupa itu. Bom-bom itu mungkin dibeli oleh pemilik lesen itu dengan menggunakan wang Allahyarham Abang Baharudin sendiri atau wang cukai yang dibayar oleh anak dan isterinya.
Apakah yang dikatakan oleh pemimpin negara yang diberi kuasa untuk memimpin negara tentang kematian Allahyarham Baharudin Ahmad itu? Ada sesiapa yang mendengar puji-pujian oleh pemimpin negara tentang kematian Abang Baharudin kita itu, khususnya daripada mulut Hisammuddin dan sepupunya? Saya tidak mendengar apa-apa pun (mungkin tidak mengikuti berita secara menyeluruh).
Kematian beliau, seperti kematian rakyat yang lain, tidak kira pemimpin negara ataupun yang bertaraf rakyat marhaen, merupakan kehilangan besar kepada rakyat dan negara. Allahyarham Abang Baharudin mempunyai anak yang berjawatan doktor. Melahirkan anak yang bergelar doktor (yang tugasnya merawat pesakit, yang boleh terdiri daripada rakyat marhaen ataupun pemimpin negara sendiri), bukankah jasa yang sangat besar? Maka, tidak wajarkah kita berkata bahawa kita telah kehilangan seorang yang berjasa besar kepada rakyat dan negara ini?
Di pihak yang menyebelahi Allahyarham Abang Baharudin, sudah tentulah kematiannya dianggap sebagai syahid (saya cenderung untuk menyetujuinya). Tetapi di pihak yang tidak menyebelahi allahyarham, janganlah sampai kita menggolongkannya sebagai mati katak.
Kematian sesiapa pun bermaksud bahawa kita telah kehilangan orang yang berjasa kepada rakyat dan negara ini. Hatta, kalau yang mati itu penyangak sekalipun, kita telah kehilangan juga, iaitu kehilangan kesempatan untuk mentarbiahi mereka.
Wallahualam.

2 comments:

  1. Perkara yang sama berlaku kepada para perjuang aliran kiri yang turut sama berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Sejarah tidak pernah mencatatkan mereka sebagai pejuang kemerdekaan negara. Sejarah Malaysia itu ditulis untuk golongan yang menang.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cik Mistree.
    Betul sangat tu, sampaikan Pak Sako yang rasanya layak untuk Anugerah Sasterawan Negara pun dinafikan haknya hanya kerana arwah pernah menjadi kiri.

    ReplyDelete