Thursday, July 28, 2011

Lima Hari Sebelum Ramadan: Al-Fatihah untuk Amelia Kassim

Kita belum pasti sama ada kita akan menjadi ahli syurga ataupun ahli neraka tetapi kita PASTI akan menjadi ahli kubur kerana kehidupan kita PASTI akan berakhir dengan kematian.
(Oleh hal yang demikian, untuk mengelakkan kita berasa angkuh terhadap kehidupan yang bersifat sementara ini, eloklah kita mengingati kematian.)
Semalam, orang yang dekat dengan saya (melalui perkahwinannya dengan bapa saudara saya, Profesor Datuk Dr. Haji Muhd Mansur Abdullah) dan dekat juga dengan sebahagian insan dalam dunia penulisan dan penerbitan, pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Insan itu ialah Datin Hajjah Amelia Kassim, mantan ketua editor majalah Kuntum selama 13 tahun (bersara pada 2009) serta editor di beberapa buah syarikat lain sebelumnya.
Beliau meninggal dunia di hadapan suaminya kira-kira jam 1:00 tengah hari semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Kematian mengejut beliau (dikaitkan dengan serangan strok) sudah pastilah mengejutkan rakan taulan yang mengenali beliau.
Tiada lain yang dapat kita lakukan apabila Allah SWT melaksanakan janjinya untuk menjemput beliau menghadap-Nya selain berdoa agar almarhumah ibu saudara saya itu berbahagia di alam kubur, dihimpunkan di Padang Mahsyar bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, serta ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang yang beriman.
Kepada bapa saudara saya yang kehilangan isteri untuk kali kedua dan masih berduka hingga saat ini, kita doakan beliau terus tabah terhadap ujian ini.
Al-Fatihah untuk roh almarhumah ibu saudara saya itu.

10 comments:

  1. Al-Fatihah, semoga ruhnya dirahmati Allah. Saya kenal dengan Allahyarhamah pada sekitar hujung 1970-an dan 1980-an melalui dunia penerbitan dan tidak mengetahui beliau dan Datuk Mansur Abdullah ada kaitan darah dengan sdr. Takziah!

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof,
    Datuk Mansurlah yang membawa saya ke dunia penerbitan ini.

    Saya pernah sebumbung dengan almarhumah di PFB pada awal 1980-an dan apabila menjadi ibu saudara, sukar untuk saya menukar kebiasaan yang pada awalnya cuma rakan sekerja.

    Insya-Allah, rahmat Allah terus melimpahi rohnya.

    ReplyDelete
  3. Al-fatihah
    Saya mengenali Aruah di akhbar Star. Masa tu dia baru masuk sebagai pengarang Kuntum. Dia belum berkahwin lagi.
    Lepas saya berhenti dari Star, saya dengar dia dah berkahwin dan menjadi Datin.

    ReplyDelete
  4. Adinda Zul,

    Al-Fatehah buat kawan baik Uda yang telah pergi buat selama-lamanya ini dan takziah kepada kawan baik Uda juga yang telah kehilangan isteri tersayang buat kali keduanya.

    Memang mengejutkan . . . berita-berita sebegini. Apa lagi yang dapat kita katakan . . . melainkan reda dengan kehendak-NYA.

    Dan . . . mengenali Datuk Mansur . . . Uda yakin beliau terus tabah menghadapi takdir Allah SWT ini.

    [Terbayang zaman kedua-kedua mereka ini sering berhubungan rapat dengan Uda ketika di OUP/PFB.
    Semuanya tinggal kenangan.]

    Al-Fatehah semoga roh Allahyarhamah Datin Amelia Kassim terjumlah dalam semulia-mulia golongan di sisi Allah SWT. Amin.

    ReplyDelete
  5. Salam, Cik Roza,
    Begitulah ketentuan hidup manusia yang diaturkan oleh Allah.

    ReplyDelete
  6. Salam, Da,
    Daripada Dia kita datang, kepada-Nya kita kembali. Saya berasa sayu dan hiba kerana tidak berhubung dengannya agak lama (dua bulan lebih) dan tidak sempat memohon maaf daripadanya.

    Apabila kami bertemu, arwah sering mengadu perihal kebosanannya sejak beliau pencen. Itulah yang masih terngiang-ngiang di telinga saya.

    ReplyDelete
  7. Al-Fatihah buat Arwah Kak Lia, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Memang Kak Lia selalu lahirkan kebosanannya setelah meninggalkan bidang pekerjaannya. Khabarnya dia tengah mengarang pada masa ini, entah siap entahkan tidak. Semoga Dato Mansor tabah menghadapi ujian ini.

    ReplyDelete
  8. Salam, Cik Norsiah,
    Kalau sudah siap, sama-samalah kita berharap agar Dato' Mansor dapat menerbitkannya.

    ReplyDelete
  9. assalammu'alaikum...
    saya juga turut belasungkawa atas pemergian almarhumah amelia kassim. beliau adalah mak saudara kandung saya. adik kepada arwah ayah saya. hasil pernikahan kedua datuk saya. sukar bagi saya untuk mempercayai berita yang dibawa ole adik bongsu almarhumah, sehingga saya membaca laman blog tuan. sama2 lah kita berdoa semoga ruh almarhumah dicucuri rahmat NYA - al-Fatihah.

    ReplyDelete
  10. Salam, Cik Wani,
    Allahumma Amin. Saya juga sukar untuk mempercayai hal ini, tetapi ketentuan Allah harus kita terima dan kita redhoi.

    Kekesalan saya ialah sebelum pemergiannya, saya lama tidak menemuinya untuk mendengar Allahyarhamah meyapa saya dengan pertanyaan "Apa kabo, Anakanda?".

    ReplyDelete