Thursday, July 12, 2012

Almarhumah Mak Ungku Azah Aziz: Sedikit tentang Dirinya

Sekelumit Kenangan
Nama Almarhumah Azah Aziz, Bonda Budayawan, memang telah lama saya kenal. Hingga demikian, apabila muncul satu demi satu orang yang senama dengannya, tidak ada lain, ingatan ini akan terus menyinggah pada diri Almarhumah Bonda Budayawan. Ada dua orang selebriti yang saya ketahui bahawa nama penuhnya seakan-akan nama Almarhumah. Walau bagaimanapun, yang paling saya kenal ialah Nor Azah Aziz, rakan setugas di Penerbit Fajar Bakti dahulu (kemudian menjadi Editor “ternama” di UP&D), yang apabila kali pertama diperkenalkan oleh pembantu Pengurus Penerbitan, saya terus menyebut perkataan “Kebetulan”. Apabila saya disoal oleh Nor Azah “Kebetulan apa?”, saya terus diam kerana sebenarnya ingatan saya memang pada diri Almarhumah Bonda Budayawan itu.

Saya adalah salah seorang staf di PFB yang sempat membaca pruf naskhah hasil kerja beliau – satu siri buku kanak-kanak peringkat awal, antaranya Adik Comel, Keluarga Kita, Kenangan Budi, dll. Buku itu masing-masing berketebalan sekitar 20 halaman. Seingat saya, pada waktu itu, ada rasa bangga dalam diri saya dan mungkin juga pada diri editor yang menangani karya karya-beliau itu serta rakan-rakan seunit dengan editor itu kerana dapat menerbitkan karya Almarhumah. (Almarhumah, kalau saya tidak salah, dirujuk sebagai Kak Azah sahaja oleh editor tersebut dan yang lain-lainnya.)
                                         
Sepintas Lalu tentang Almarhumah Bonda Budayawan
Almarhumah Bonda Budayawan, Dr. Sharifah Azah binti Syed Mohammed Omar al-Sagoff (selanjutnya disebut Mak Ungku), dilahirkan di Singapura pada 21 Ogos 1928 (5 Rabiulawal 1347 H) daripada keluarga bangsawan. Almarhumah berdarah campuran Melayu-Turki-Arab. Darah Melayunya berpangkal daripada datuknya, Dato’ Jaafar bin Mohamad (Bugis) yang merupakan MB Johor yang pertama. Darah Turkinya pula berpangkal daripada neneknya, Roqayah Hanim binti Abdullah (isteri Dato’ Jaafar) manakala darah Arabnya berpangkal daripada bapanya, Syed Mohammed bin Syed Omar al-Sagoff.

Ibu kepada Almarhumah Mak Ungku bernama Azizah binti Dato’ Jaafar, iaitu adik-beradik kandung Dato’ Onn bin Jaafar (pengasas UMNO, MB Johor ketujuh, dan bapa PM ketiga, Tun Hussein Onn). Malahan, ibunya itu juga merupakan adik-beradik seibu dengan Mejar Ungku Abdul Hamid bin Ungku Dato’ Abdul Majid (bapa Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz). Hal ini bermaksud bahawa, Almarhumah Mak Ungku sebenarnya bersepupu dengan suaminya, Profesor Diraja Tun Ungku Dr. Abdul Aziz. Malah Almarhumah Mak Ungku juga bersepupu dengan Almarhum Profesor Datuk Dr. Syed Hussein al-Attas (mantan Naib Canselor UM) dan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (Cendekiawan Islam, ahli falsafah, pengasas ISTAC, dan Tokoh Melayu Terbilang 2011).

[Untuk memahami hubungan itu, elok kiranya dibuat sedikit penjelasan. Nenda Almarhumah Mak Ungku – Roqayah Hanim binti Abdullah – berkahwin sebanyak tiga kali. Suaminya yang pertama ialah Ungku Abdul Majid ibni Seri Paduka Dato’ Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim. Perkahwinan itu melahirkan beberapa orang putera dan puteri, antaranya termasuklah Mejar Ungku Abdul Hamid (bapa Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz). Suaminya yang kedua ialah Syed Abdullah bin Syed Muhsin al-Attas. Daripada perkahwinan itu, lahirlah Syed Ali al-Attas (bapa Almarhum Profesor Datuk Dr. Syed Hussein al-Attas dan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas). Suaminya yang ketiga ialah Dato’ Jaafar bin Mohamad. Daripada perkahwinan yang ketiga ini, lahirlah Aishah, Kamariah, Dato’ Onn (pengasas UMNO, MB Johor ketujuh, dan bapa PM ketiga, Tun Hussein Onn), Azizah (ibu Almarhumah Mak Ungku), Mohammad, Ahmad, dan Yahya.]

Almarhumah Mak Ungku mendapat pendidikan hingga peringkat menengah sahaja (Sekolah Menengah Convent Johor Bahru). Pelajaran menengahnya terbantut apabila Jepun menduduki Tanah Melayu dan apabila Almarhumah hendak menyambung pelajarannya semula, Almarhumah telah dilamar sebagai isteri oleh Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz. Maka pada tahun 1946, berkahwinlah Almarhumah Mak Ungku yang pada ketika itu baru hendak menjejaki usia 18 tahun.

Lebih kurang setahun selepas perkahwinan itu, iaitu pada 26 Ogos 1947, Almarhumah Mak Ungku beroleh satu-satunya zuriatnya – seorang puteri – yang diberi nama Ungku Zeti Akhtar (Tan Sri Datuk). Puterinya itu kini menjadi peneraju (Gabenor) Bank Negara Malaysia, malah telah diiktiraf sebagai salah seorang Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia pada tahun 2009. Daripada puterinya itu, Almarhumah Mak Ungku beroleh dua orang cucu lelaki – Alif Ayman dan Aziz Ayman dan beberapa orang cicit.

Almarhumah Mak Ungku pernah berkhidmat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru selama dua tahun (1949-1951 dan kemudiannya berkhidmat dalam kerja-kerja kesetiausahaan di Jabatan Sosial, Universiti Malaya, Singapura dan selanjutnya menjadi setiausaha kepada Pendeta Za‘ba di Jabatan Pengajian Melayu di universiti yang sama. (Di sini, Almarhumah semakin terdedah pada sastera Melayu.)

Almarhumah selanjutnya telah menjadi setiausaha kepada Ketua Pengarang NST, Leslie Hoffman yang kemudiannya telah memperkenalkannya kepada dunia kewartawanan. Akhirnya, Almarhumah terlibat secara langsung dalam dunia kewartawanan dan telah memahatkan namanya sebagai wartawan selama lebih 20 tahun, iaitu 16 tahun (1957-1973) di Berita Harian dan 5 tahun (1973-1978) di Utusan Melayu/Utusan Malaysia.

Keterlibatannya dalam dunia kewartawanan telah menimbulkan suatu kesedaran kepada dirinya lalu atas inisiatifnya, Almarhumah Mak Ungku telah mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) dan menjadi presidennya yang pertama (1971-1978) dan terus menjadi penasihat PERTAMA kemudiannya. Almarhumah juga salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) untuk membela nasib wanita dan kanak-kanak.

Almarhumah Mak Ungku memang wajar diangkat dan diiktiraf sebagai budayawan Melayu kerana Almarhumah memang memenuhi kriteria itu. Dirinya sendiri (walaupun berdarah campuran Arab-Turki-Melayu) amat dekat dengan ciri-ciri budaya Melayu – lembut tutur bicara, murah dengan senyuman, dan sentiasa anggun berbaju kurung. Lebih daripada itu, Almarhumah Mak Ungku memperlihatkan dedikasi dan kecintaan yang tinggi bagi melestarikan pelbagai bentuk budaya warisan Melayu (daripada pantun hinggalah kepada busana Melayu).

Almarhumah Mak Ungku sangat dalam pengetahuannya dan sangat teliti dalam hal busana tradisional Melayu. Sebagai buktinya, selain mengetahui semua potongan pakaian tradisional dan jenis-jenis kainnya, Almarhumah juga sangat arif akan cara-cara untuk mengenakan apa-apa pakaian tradisional serta sangat tahu akan apa-apa aksesori yang perlu dipadankan dengan sesuatu jenis pakaian tradisional. Oleh sebab itulah Almarhumah sering dijadikan sebagai sumber rujuk oleh orang yang terlibat dalam bidang itu. (Dalam dan arifnya pengetahuan Almarhumah dapat kita kesan dalam bukunya Rupa dan Gaya: Busana Melayu.)

Pelibatan Almarhumah dalam bidang itu telah mendorong pihak-pihak tertentu (agensi kerajaan, khususnya) melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah mereka, antaranya termasuklah Ahli Lembaga FINAS, Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (telah dibubarkan), Ahli Lembaga Penasihat Karyaneka (telah dibubarkan), Ahli Lembaga Pembangunan Kraftangan Malaysia, ahli Tribunal Hak Cipta, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Abdul Razak.

Ketokohannya dalam bidang kebudayaan dan kewartawanan telah diberi pengiktirafan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana pada tahun 2008, universiti itu telah menganugerahinya Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan. Selain itu, Almarhumah pernah diangkat sebagai Tokoh Wanita Johor, Wanita Cemerlang Avon Tan Sri Fatimah, serta Anugerah Jarum Berlian.

Dalam lapangan penulisan, banyak buku yang telah dihasilkannya. Selain Rupa dan Gaya Busana Melayu, Almarhumah Mak Ungku telah menghasilkan pelbagai buku bacaan/pantun kanak-kanak seperti Adik Comel, Adik Sayang, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak serta Songket: Satu Warisan Malaysia, Selayang Kenangan, dll.

Insan yang menyerahkan sebahagian jiwa raganya terhadap budaya negara ini – Sharifah Azah Mohammad Alsagoff – telah pergi. Zaharah Nawawi mengangkat Almarhumah Mak Ungku sebagai Kartika di Langit Seni. Benar, jasa dan sumbangan Almarhumah itu ibarat Kartika, tetap bersinar menghiasi dada langit lalu menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak bangsa yang ditinggalkan oleh Almarhumah. Akan ke manakah koleksi busananya itu?

9 comments:

  1. Assalamulaikum;

    Dalam buku bertajuk Ungku Aziz karangan Mustafa b. Ali Mohd (1985) terbitan Pelanduk Publication ada dinyatakan Azah Aziz ingin menyambung pelajarannya setelah tamat pendudukan Jepun di Tanah Melayu, tetapi Ungku Aziz yang kerap datang bertandang ke rumah ibu saudaranya (ibu Azah Aziz) itu menyatakan Azah Aziz tidak perlu menyambung pelajaran kerana dia sanggup mengajar Azah Aziz. :D

    ReplyDelete
  2. As-Salam, Cik Mistree;
    Betul, daripada bahan yang banyak saya baca, dikatakan bahawa Almarhumah memang hendak menyambung pelajarannya, tetapi Prof Ungku Aziz berkata bahawa "Kalau berkahwin dengannya sama seperti Almarhumah sudah menjejakkan kaki ke universiti". Marilah kita terus menyedekahinya Al-Fatihah, setiap kali kita mengingatinya.

    ReplyDelete
  3. Wa'salam.

    Tuan,

    Terlebih dahulu saya mohon maaf tujuan saya menulis komen ini bukanlah hendak menunjuk pandai tetapi sekadar berkongsi ilmu yang dianugerahkan Allah menerusi pembacaan saya dan saya tidaklah pakar dalam bahasa Arab.

    Menurut Mohd. Azri Mohd Nasaruddin dalam artikelnya yang bertajuk Gelaran Bagi Si Mati di dalam Majalah I keluaran bulan Mac 2010 bilangan 89 dalam ruangan Fikrah Tajdid menyatakan pertama, gelaran almarhum tidak begitu sesuai digunakan kerana maksud almarhum ialah "dia telah mendapat rahmat Allah" atau teknikalnya "secara pasti Allah telah merahmatinya" sedangkan hak mutlak untuk merahmati atau menyeksa seseorang insan bukanlah hak kita sebagai manusia. Merahmati dalam hal ini merupakan hak Allah begitu juga jika Allah hendak menyeksa juga merupakan hak Allah.

    Kedua, sebagai gantinya gelaran yang sesuai digunakan ialah allayarham bermaksud "Allah merahmatinya" di mana secara teknikalnya merujuk kepada "mudah-mudahan Allah merahmati rohnya".

    Seperkara lagi Mohd. Azri Mohd Nasaruddin juga menyatakan gelaran "allayarhamah" merujuk kepada sifat perempuan menyalahi tatabahasa Arab kerana perkataan "allayarham" merupakan kata kerja. Secara analoginya, beliau menyatakan penggunaan "allayarhamah" sama seperti kita menyatakan "Muhammad menulis" (merujuk kepada sifat lelaki) manakala untuk perempuan "Aisyah menulisah" (merujuk kepada sifat perempuan melalui penambahan imbuhan -ah).

    Maka, merujuk kepada penyataan di atas, ketidaksesuaian juga berlaku dalam situasi jika diterjemahkan kepada penggunaan "almarhum" (untuk lelaki) kemudian timbul gelaran bagi si mati (perempuan) dengan cara mewujudkan "almarhumah".

    Wallahu 'alam.

    ReplyDelete
  4. Salam, Cik Mistree,
    Terima kasih atas maklumat ini. Saya sebenarnya pernah mendengar Datuk Dr. Ismail Ibrahim menyebut gelar yang betul untuk perempuan yang meninggal dunia. Allahyarmah itu salah, kata beliau. Saya lupa akan gelar yang betul yang diberikan oleh beliau.

    Saya cenderung untuk menggunakan "Almarhum/ah" kepada sesiapa yang sudah mati kerana saya selalu bersangka baik terhadap orang yang mati itu. Allah itu Maha Pemberi Rahmat. Yang memberi haiwan (anjing) minum dari dalam kasutnya pun diberi Allah balasan syurga apatah lagi yang menghidangi tetamunya makan dan minum. (Insya-Allah, amalan yang sedikit itu yang diterima-Nya). Apatah lagi pengakhiran hayat manusia semasa sakarat tidak kita ketahui. Dan oleh sebab perkataan kita itu doa, maka saya berharap agar dengan menggunakan perkataan "Almarhum" itu akan menjadi doa agar Allah benar-benar merahmati si mati. Amin.

    Saya tidak mendahului Allah dalam hal rahmat ini, malah saya mendahulukannya pada setiap ketika.

    Tentang "Almarhumah" itu, saya bersetuju bahawa tidak harus ada "Almarhumah" bagi padanan "Almarhum" jika kita bersumber kepada bahasa Arab secara langsung. Tetapi, jika kita berbalik kepada sifat bahasa Melayu, saya kira ada hujah lain pula.

    ReplyDelete
  5. Assalammualikum,
    Mungkin petikan dari nukilan ini dapat mencerahkan perbahasan topik diatas (bukan saya yang menulisnya)

    Majlis fatwa Dan Pembahasan Ilmiyah. Ketua Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz; wakil: Abdurrazaq Afifi; Anggota: Abdullah Al Gadyan dan Abdullah Qu’ud).

    Mengenai ucapan almarhum, jika maknanya pemberitaan tentang keadaan si mayit bahawa ia telah mendapatkan rahmat dari Allah, maka ini haram. Karena ucapan ini berarti sama dengan memastikan bahwa si fulan termasuk penduduk surga. Padahal ini termasuk perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah dan orang-orang yang diberi tahu oleh Allah ‘Azza wa jalla.

    Syaikh bin Baz mengatakan, “Ahlus Sunnah Wal Jama’ah berkeyakinan, sesungguhnya tidak diperbolehkan memberikan persaksian atas diri seseorang -bahwa orang itu di surga atau di neraka- kecuali yang telah dijelaskan dalam nash Al Qur’an, seperti Abu Lahb (sebagai penghuni neraka), dan orang yang dipersaksikan Rasulullah Shalallahu ‘alihi wa salam sebagai penghuni surga, seperti sepuluh shahabat(yang diberitakan akan masuk surga) atau yang semisalnya. Demikian juga (tidak diperbolehkan) persaksian atas seorang bahwa ia maghfur lahu (mendapatkan ampunan) atau al marhum(mendapatkan rahmat). Oleh karena itu, sebagai ganti dari ucapan al marhum dan al maghfur, sebaiknya diucapkan : “Ghofarullahu lahu” Semoga Allah mengampuninya, atau “Rahimahullahu” Semoga Allah merahmatinya. Atau ungkapan sejenis yang termasuk do’a bagi si mayit. Lihat Majmu’ Fatawa Wa Maqalatu Mutanawwi’ah, 4/335.

    Namun jika makna al marhum itu sebagai ungkapan optimisme atau harapan semoga si mayit mendapatkan rahmat, maka tidaklah mengapa mengucapkan kata-kata ini. (lihat Majmu’ Fatawa , Syaikh Muhammad bin Shalih Al Utsaimin, 3/85).

    Untuk menghindari kesalahan dalam memahami, semestinya jika kalimat al marhum diganti dengan rahimahullah atau ghafarallahu lahu, atau Allahu yarhamuhu atau sejenisnya yang merupakan do’a.

    Allah adalah Arrohiim (pengasih), karena Allah itu Arrohiim (pengasih) berarti ada Almarhum (yang di kasihi)Nya, siapakah yang dikasihi oleh Allah itu?, yang dikasihi oleh Allah itu adalah makhluk (ciptaan)Nya, jadi semua makhluk Allah akan mendapatkan kasih sayang-Nya baik yang masih hidup atau yang sudah meninggal, oleh karena itu kalimat Almarhum itu tidak hanya milik orang yang sudah meninggal, tapi yang masih hiduppun berhak disebut Almarhum, jadi kita tidak perlu marah ketika ada orang yang mengatakan kepada kita Almarhum, justru kita harus senang karena Almarhum itu adalah yang dikasihi oleh Allah SWT.

    Dalam Al Quran Surat Al Furqon ayat 63-67 terjamahnya:

    Dan hamba Allah yang maha Rohman itu adalah ; orang-orang yang berjalan dimuka bumi ini dengan tidak menyombongkan diri, dan apabila memaki kepada mereka orang-orang yang bodoh; mereka membalas dengan perkataan yang baik (salam). Dan mereka adalah orang-orang yang senantisa menghabiskan waktu malamnya dengan melakukan sujud dan berdiri (sholat)karena Tuhannya. Dan mereka adalah orang-orang yang selalu memohon “ya Allah Tuhan kami jauhkan kami dari siksa Jahannam, karena sesungguhnya Jahannam itu sipatnya kekal”. Sesungguhnya Jahannam itu adalah seburuk-buruknya tempat menetap dan kediaman. Dan mereka adalah orang-orang yang apabila berinfaq tidak berlebihan dan tidak bakhil (menahan) akan tetapi mereka melakukannya diantara itu dengan wajar.

    Kita dapatkan ciri-ciri mereka yang dikasihi Alloh.

    Pertama, tidak sombong.

    Kedua, selalu bertutur kata dengan baik, bahkan dihina sekalipun.

    Ketiga, rajin sholat malam (Tahajud).

    Keempat, selalu memohon kepada Allah agar dijauhkan dari siksa neraka.

    Kelima, senang berinfaq / bersodaqoh.

    Baiklah, setelah itu Apakah kita telah memiliki kelima sifat tersebut, jika belum maka sebaiknya jangan berharap untuk memperoleh gelaran almarhum/almarhum.
    Insyallah.

    ReplyDelete
  6. As-Salam, Syeikh AbdurRahman,
    Alhamdulillah dan terima kasih atas komen panjang ini dan ternyata komen dan penjelasan itu sangat besar gunanya kepada saya dan pembaca sekalian.

    Saya akan belajar menggunakan kalimat "Allahu yarhamuhu" itu walaupun penggunaan "Almarhum" yang saya sukai itu langsung tidak bermaksud untuk mengelompokkan si mati sebagai orang yang telah menerima rahmat Allah sebaliknya sebagai suatu bentuk harapan/doa agar si mati beroleh rahmat-Nya.

    Terima kasih lagi sekali, Syeikh.

    ReplyDelete
  7. Penulisan anda membuatkan saya mengagumi beliau!

    ReplyDelete
  8. Salam, saya nak tanya adik beradik nya atau keluarga nya di singapura.saya harap dapat menulis tentang salasilah keluarga nya lebih terperinci.terima kasih.wassalam.

    ReplyDelete
  9. As salam, kepada penulis, saya amat meminati keluarga Engku Zeti Akhtar kerana ibu bapa beliau banyak menyumbang kepada pendidikan intelek dan zaman kanak-kanak saya membesar dengan buku-buku pantun yang dihasilkan oleh ibu beliau. Alhamdulillah dapat mengenali keluarga bekas gabenor negara yg menjadi kebanggaan rakyat malaysia.

    ReplyDelete