Monday, November 5, 2012

Berani Bertindak, Bijaksana Menimbang, Jangan Taasub

Ketua Pembangkang berjanji bahawa jika pakatan yang dipimpin oleh beliau berjaya menduduki tampuk pemerintahan di Putrajaya, antara tindakan awal yang akan dilakukannya dengan segera (dalam tempoh 24 jam) termasuklah menurunkan harga bahan bakar (petrol, diesel, dan yang berkaitan dengannya) dan menghapuskan PTPTN.

“Ah!” kata sebilangan orang yang sentiasa sinis terhadap pihak pembangkang, khususnya terhadap ketua pembangkang itu sendiri, “apalah susahnya menaupkan bibir atas dengan bibir bawah”. Kata yang lain pula, “Biasalah, beb, pembangkang macam dia orang tu memang pandai menanam tebu di tepi bibir”. Yang lain pula menokok, “Cakap berdegar-degar, berak di gelegar!”

Kesemua yang diperkatakan oleh pihak-pihak yang saya katakan itu jelas memperlekeh janji ketua pembangkang itu. Keluarga yang dekat dengan saya pun ada yang begitu sinis terhadap azam dan janji ketua pembangkang itu, “Alah, tipu je! Ingat senang ke nak turun-turun gitu saja!” (Kalau betul-betul turun nanti kalau benar-benar kerajaan berpindah tangan, apakah pula katanya lagi!)

Di Terengganu, sebaik-baik sahaja diisytiharkan dapat menjadi kerajaan di Terengganu pada tahun 1999, kerajaan PAS pimpinan Datuk Seri TG Abdul Hadi Awang mengisytiharkan bahawa tol di Jambatan Sultan Mahmud dihapuskan serta-merta. Sebagai hasilnya, semua rakyat beroleh manfaatnya, sejak malam itu hingga kini. Susahkah untuk melakukannya?

Kerajaan Selangor, sebaik-baik sahaja menjadi kerajaan pada tahun 2008 yang lalu, berusaha sedaya upaya untuk memberikan bekalan air percuma kepada rakyatnya. Walaupun sorong tarik dan acah-mengacah berlaku, selepas usaha digembleng, akhirnya banyak rakyat yang beroleh air percuma (termasuk saya sendiri). Susahkah untuk melaksanakannya?

Sepatutnya, kita usah memperlekeh azam dan janji pihak-pihak pembangkang itu. Yang elok kita lakukan ialah kita wara-warakan janji itu sampai semua rakyat tahu. Jangan paksa rakyat percaya, tetapi berusahalah supaya rakyat berfikir — katakan kepada mereka, berbanding dengan BR1M yang menganaktirikan ketua keluarga bergaji RM3001.00, yang manakah yang lebih baik?

Kalau ditakdirkan Allah SWT mereka benar-benar menjadi kerajaan, jika dalam tempoh 24 jam, tiada apa-apa yang turun dan dimansuhkan, kita pakat berdemonstrasi ramai-ramai seperti mereka berdemonstrasi pada Bersih dahulu. Oh, barangkali, pada waktu itu ada yang berkata, “Sudah terlambat, nasi sudah menjadi bubur. Padan muka kalian!”

Jangan melatah. Tempoh lima tahun bukanlah lama. Kita pun semakin matang, semakin bijak, semakin berani. Kalau ternyata mereka itu sama dengan kerajaan sebelumnya, kita pakat ramai-ramai untuk menubuhkan parti baharu. Kita kempen habis-habisan. Kita angkat orang yang benar-benar layak untuk memimpin kita, parti kita, negara kita. Kita berusaha untuk memenangkan mereka. Baru puak-puak tersebut sedar akan kuasa rakyat!

Memang keadaan akan menjadi haru-biru, rakyat akan bertambah pecah belah. Soalnya, sekarang rakyat bersatu padukah? Tidak, kita tidak bersatu padu kerana semua pihak yang menjadi pemimpin sedang mengejar KUASA. Yang satu sedang berusaha untuk mempertahankan kuasa, yang satu pihak lagi sedang berusaha untuk merampas kuasa.

Kalau betul mereka menitikberatkan hal ehwal kita rakyat jelata, mereka pasti akan bersatu atas nama ISLAM. Pihak yang memerintah pasti akan memanggil pihak yang ingin menurunkan harga bahan api itu dan bertanya akan formula yang hendak digunakannya. Setelah mendapati ada rasionalnya, mereka pasti akan menurunkannya sebelum sempat kerajaan mereka dirampas!

Kita perlu rasional, bijaksana menimbang, tidak taasub, dan berani bertindak. Saya berpendirian bahawa, sesuatu puak itu tidak boleh dibiarkan terlalu lama berkuasa. Orang yang berkuasa terlalu lama akan berperasaan bahawa apa-apa yang dilakukan oleh mereka senantiasa betul dan memang betul.

Walau apa-apa pun yang saya katakan, saya omelkan, saya cadangkan, pisau di tangan anda, timun pun di tangan anda. Anda boleh memilih, sama ada hendak memakan timun dengan memotong dan mengupas kulitnya dahulu, atau memakan timun itu begitu sahaja, atau hendak memakan timun dan pisau itu bersekali!

4 comments:

  1. Assalammualaikum,
    Bersamalah kita melihat kepada kebaikan yg di bawakan oleh pihak pembangkang atau pun kerajaan
    setuju dgn Saudara Zul, kita berfikir secara rasional dan jgn takut utk bersuara kpd hal2 yg mberikan kbaikan dan andai ada keburukan di pihak pmbngkang sekalipun tak bermakna pihak kjaan tak punya, natijahnya, di Sabah saja telah terasa bgitu bnyk tanah peribumi yg hanya di Goggle oleh pihak kjaan terus tuduh tak di usahakan dan di ambil alih syarikat kroni.
    Sedangkan selama pemerintahan PBS (dulu pmbngkng) skrg dah kjaan tak pernah blaku proses ambil alih tanah,
    Moralnya, arus perdana yg mencanang kebaikan belum pasti baiknya, maka bersatu dan bersamalah menilai dan kuasa rakyat utk membetulkan mana yg terlepas pandang
    pihak pemerintah dgn undi.

    ReplyDelete
  2. As-Salam, Sdr Zulninarq,
    Dengan adanya pelbagai media alternatif, kita harus lebih rasional kerana kita berpeluang untuk membaca, mencerna, dan membandingkan berita daripada arus perdana dengan yang arus alternatif.

    Terima kasih, sdr Zulninarq.

    ReplyDelete
  3. WSLM, Sebenarnya Saya 'Wanita'.
    Hik.. Suami saya nama same ngn Saudara Zul.
    Saya ada komen kat kolum saudara berkenaan perfileman malaysia itu.

    ReplyDelete
  4. As-Salam, Puan Zulninarq,

    Oleh sebab itulah saya menggunakan huruf Sdr yang boleh bermaksud Saudara atau Saudari. Cuma kalau kebetulan sudah berkahwin, eloklah saya ber-"Puan" dengan pembaca yang sudi memberikan komen.

    Terima kasih yang sebanyak-banyaknya atas makluman itu.

    ReplyDelete