Tuesday, November 9, 2010

Ada Sedikit Rasa Pelik tentang Dato’ Zaid

Rasanya macam pelik pula apabila mendengar tokoh yang kononnya “berprinsip” hingga sanggup letak jawatan Menteri dan melambung ke dalam PKR – Dato’ Zaid Ibrahim – menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR, angkat kaki dari PKR.

Yang menyebabkan pelik itu datang dalam rasa kita (mungkin saya sahaja) ialah dia dahulu, kalau tidak salah, dibawa masuk ke dalam PKR oleh Datuk Seri Anwar sendiri. Dia diberi jawatan besar-besar juga dalam parti. Kemudian, beliau diberi peluang bertanding dalam PRK Hulu Selangor. Banyaklah yang diperolehnya berbanding dengan orang yang lebih lama berjuang dalam PKR berbanding dengannya yang baru masuk PKR pada Jun 2009.

Jadi, apabila dia menyuruh ketua yang membawanya masuk angkat kaki dari parti itu, terus terbetik dalam hati: “Biar betul dia ni!”

Perbuatan Dato’ Zaid itu lebih kurang sama dengan cerita orang dagang yang dibenarkan duduk di beranda oleh tuan rumah. Kemudian, dia dipersilakan masuk ke dalam rumah, lalu diberi makan oleh tuan rumah. Setelah dijamu dengan makanan yang enak-enak, hanya kerana tidak diberi sirih sebagai pencuci mulut, dia keluar rumah sambil memaki dan menghamun tuan rumah. Kemudian, dia mencabar tuan rumah supaya turun ke laman, bertarung dengannya.

Susah juga. Seharusnya, sebagai pejuang, dia perlu tahan dan sabar. Dia perlu mengikut gerak dan nafas parti bukan parti yang mengikut gerak dan nafasnya. Dia perlu melondehkan sedikit rasa kesempurnaannya supaya dapat menggarap kekurangan dengan pandangan yang positif. Tidak ada parti dalam negara ini, malah di dunia sekali pun, yang sempurna. Al-Quran yang sempurna itu pun tidak disempurnakan orang sampai ada yang menolak hudud.

2 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Kata orang, 'kuasa' dan 'harta' berhantu (atau sebenarnya orang yang tidak mampu mengendalikan dirinya dalam memperoleh kedua-duanya itu yang hantu).

    Demikianlah, apabila kuasa menjadi matlamat dan bukan wasilah untuk mencapai matlamat luhur, maka karamlah kebanyakan orang yang rakus dalam usaha memperoleh kuasa.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof;
    Tidak keterlaluan kalau dikawakan bahawa hampir semua politikus tepu dengan aksi yang sukar dijangka. Yang pasti 3 ta itulah yang dalam fikiran mereka - takhta, harta, wanita.

    ReplyDelete