Tuesday, November 2, 2010

Tahniah Semua, Demi Pencapaian Sekali Lagi Rakyat Didahulukan

Saya pengguna tetap petrol RON97. Hari ini, petrol itu dinaikkan harga runcitnya – daripada RM2.10 seliter kepada RM2.15 seliter.

Berapakah kadar kenaikannya itu? Hm, RM2.15 tolak RM2.10. Oh, tidak banyak, lima sen seliter sahaja kadarnya! Apalah sangat lima sen tu!!!!

Tampaknya kenalah saya beralih kepada RON95 yang murah sedikit tetapi mengasarkan bunyi enjin kenderaan saya. Kasar sikit sahaja, apalah sangat.

Lagipun, apakah lagi pilihan yang kita ada di negara yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian ini? Terima dan telan sahajalah.

Patutlah kadar tol tidak akan dinaikkan untuk tempoh lima tahun akan datang. Rupa-rupanya hendak menumpukan perhatian kepada kenaikan harga petrol!

Kalau tidak mahu rugi lima sen, kita gunakanlah pengangkutan awam yang “memang terkenal efisien” di negara kita ini. Cuma kadang-kadang kita rasa takut sedikit.

Yalah, ada pemandu kenderaan awam ini yang tidak berlesen dan memandu dengan sebelah tangan sahaja. Itulah yang bahayanya. Yang lain okey!!!

Ataupun kita belilah kereta yang berteknologi hibrid. Kereta itu menjimatkan penggunaan petrol. Cukainya pun baru sahaja diturunkan.

Sudah ada pengeluar yang menurunkan harga jualannya pun. Selepas diturunkan harganya, harga jualannya sekitar RM100,000 sahaja. RM100,000 mahal sangat ke?

Murahlah kalau dibandingkan dengan kereta yang berharga RM400,000. Rakyat marhaen bukankah sudah banyak yang kaya?

Awas, lain kali kalau ada pemimpin yang kurang sihat, kita mesti bersiap siaga. Kalau tidak gunung berapi meletus di Indonesia, mungkin ada harga barang yang akan naik.

4 comments:

  1. Assalamualaikum Sdr Zul,
    Lama kita tak saling bertukar pandangan tentang masalah semasa. Saya agak sibuk menyudahkan beberapa kerja penulisan peribadi atau yang diminta bantuan saya.Namun setiap hari berusaha mengikuti perkembangan ekonomi-sosial-politik secara amatur saja. Nah! sangat banyak harapan dan impian indah nampaknya menunggu rakyat, tetapi dalam waktu yg sama kehidupan menjadi semakin kompleks, rumit dan mahal. Saya kira inilah rumusan yang dapat saya simpulkan tentang masa depan anak-anak kita semua. Minyak, komputer, rumah, pengangkutan,barang keperluan (semakin banyak diperlukan ), dan kos penedidikan rasmi dan bukan rasmi, telepon, Astro , alarm, bil2 cukai pintu etc. etc. Mari kita peringatkan rakyat.

    ReplyDelete
  2. Salam, Tuan Zul.

    Harus diingat, harga RON95 dan Diesel tidak akan naik sehingga hujung tahun ini sahaja. Itu bererti, kita masih boleh menikmati harga RON95 yang ada sekarang hanya untuk 54 hari sahaja lagi. Selepas itu, terpulanglah kepada kerajaan sama ada mahu mendahulukan rakyat atau tidak dalam menanggung beban subsidi negara (ayat mereka juga la ni)...

    Apa pun, impian rakyat masih tertunda nampaknya. Susah juga hendak menanggalkan kotoran degil yang sudah 53 tahun disumbat menjadi mentaliti rakyat sehingga masih ada yang tidak berani berubah dan mencari perubahan...

    ReplyDelete
  3. cuba baca akhbar - mana ada orang bantah kenaikan 5 sen... 5 sen je...

    ReplyDelete
  4. Salam, Dato’ Baha, Cikgu Marni, dan Saudara Mohd. Kholid;
    Dato’ Baha,
    Terima kasih kerana Dato’ sudi bertukar-tukar pandangan dalam Blog ini. Syabas jua kerana Dato’ masih terus dan berupaya untuk berkarya. Saya menunggu hasil karya Dato’ dan diharapkan agar ada promosinya lewat Blog Dato’ nanti.

    Keadaan sekarang memang betul sangat kompleks dan menuntut perhatian yang bijaksana daripada rakyat. Tetapi kalau keadaan seperti di Galas berlaku (bukan kecewa kerana PAS kalah), tampaknya usaha untuk mengingatkan dan membijaksanakan rakyat seperti sia-sia. Mereka mudah dikaburi oleh wang, Dato’.

    Cikgu Marni,
    Saya bersetuju bahawa sangat banyak rakyat di negara ini yang tidak berani berubah. Kesimpulan yang biasa saya dengar daripada mulut warga senior yang menjadi pendukung parti pemerintah ialah “siapa-siapa pun jadi kerajaan sama sahaja”.

    Sdr Mohd. Khalid,
    Agaknya mungkin ada “titah” daripada pihak tertentu yang melarang hal kenaikan harga petrol itu disentuh dan dipolemikkan di dalam media arus perdana.

    ReplyDelete