Tuesday, February 21, 2012

Al-Fatihah: Perginya Seniman-Biduan Abdul Latif Ibrahim

Generasi muda barangkali banyak yang tidak kenal akan susuk yang popular dengan nama glamor Latif Ibrahim. Kalau kebetulan ibu bapa atau datuk nenek mereka kerap memainkan lagu-lagu beliau seperti “Mengenang Dikau Kembali”, “Nora”, “Manis Kata di Bibir Saja”, “Pilihlah Aku”, dan sebagainya, kenallah mereka akan susuk yang pernah diberi julukan handsome boy itu. Seniman/Biduan Latif Ibrahim adalah insan seni yang saya minati kerana dua faktor — suara dan rupanya.

Ya, beliau memang handsome (macho kata orang sekarang). Sebagai biduan, beliau memang berpakej — suara yang jantan dan rupa yang macho. Beliau juga berbakat dalam lakonan dan sempat beberapa kali menjadi pelakon teraju dalam beberapa buah filem, antaranya termasuklah filem box office “Hapuslah Air Matamu” (tahun 1976), “Dendang Perantau” dan “Sumber Ilhamku” (kedua-duanya pada tahun 1979), “Bintang Pujaan” (tahun 1981) dan “Senja Merah” (tahun 1982).

Sebagai pelakon utama, beliau tidak pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) walaupun filem lakonannya (“Sumber Ilhamku” memenangi tiga kategori dalam FFM1 dan filem “Bintang Pujaan” pula memenangi empat kategori dalam FFM2). Sebagai pelakon pembantu juga, rasa saya, beliau tidak pernah beroleh apa-apa pengiktirafan dalam mana-mana festival filem. Saya yakin bahawa beliau tidak mengejar pengiktirafan itu.

Saya, secara peribadi merasakan bahawa lakonan beliau (baik dalam filem ataupun drama) biasa sahaja. Biasa dalam konteks pandangan peribadi saya ialah lakonannya tidak sehebat Allahyarham Nordin Ahmad, Allahyarham S. Kadarisman, Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud, Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Rahim Razali, dan Eman Manan!) Walau bagaimanapun, beliau tidak kurang daripada Jamal Abdillah, Hail Amir, Datuk Yusuf Haslam, dan kebanyakan pelakon sekarang.

Terus terang, saya lebih meminati beliau sebagai penyanyi. Masih saya ingat, lagu beliau, “Mengenang Dikau Kembali” dan “Manis Kata di Bibir Saja” menjadi siulan rakan-rakan dan saya sendiri semasa kami bersekolah menengah. Kemudian, muncul lagu “Nora” yang menyerlahkan kejantanan suaranya. Sebelum itu, saya sangat suka akan lagu “Mengharap Kasihmu” yang disadur daripada lagu Inggeris "Papa” nyanyian Paul Anka (kalau tidak salah saya).

Saya pernah menonton beliau bermain bola sepak di Stadium Merdeka bagi mewakili Artis Malaysia untuk menentang pasukan Artis Indonesia. Beliau bermain dengan baik bersama dengan Dhalan Zainudin (bekas abang iparnya) dll hingga berjaya membawa kemenangan kepada pasukan Artis Malaysia (saya tidak ingat akan jumlah jaringannya). Banyak penonton yang hadir pada masa itu. Penonton yang fanatik, dari Indonesia, khususnya, sampai masuk ke padang lalu ditahan oleh FRU!

Beliau, anak seni yang bernama Abdul Latif Ibrahim, ialah sebahagian insan yang pernah menyukakan dan menghiburkan hati kita. Jasa dan sumbangannya yang kecil, tetapi bermakna itu wajarlah mendapat balasan daripada kita, seelok-eloknya dengan bacaan Al-Fatihah kerana insan itu, pada sekitar jam 6:10 petang 20 Februari 2012, telah berhijrah ke alam abadi kerana dijemput oleh Tuhan kita — Allah Rabbuljalil. Marilah kita berdoa agar almarhum beroleh keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Amin.

CATATAN

Almarhum Abdul Latif Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur sebagai akibat komplikasi pelbagai penyakit, termasuk penyakit jantung. Almarhum sudah beberapa hari mendapat rawatan di institut itu, malah sebenarnya pernah berada dalam keadaan kritikal pada hujung tahun lalu.

No comments:

Post a Comment