Friday, February 17, 2012

Buku Jingga Bukan al-Quran!

Apakah bedanya kedua-dua orang ini — si pembuang Buku Jingga (yang berisi manifesto pembangkang) dengan si pemberi penyapu (kepada PBT) yang rendah prestasi di Selangor pada 2007 dahulu? Saya tidak ada jawaban lain melainkan menyamakan kedua-dua orang itu — bahawa mereka miskin adab, papa tatasusila. Yang seorang — si pemberi penyapu itu — sudah beroleh pembalasan (daripada perbuatannya itu?). Yang seorang itu sedang menunggu pembalasan, barangkali.

Buku Jingga bukan al-Quran yang sehingga demikian tidak boleh dicampak buang, tetapi Buku Jingga sebahagian daripada lambang demokrasi. Tidak sedar? Jika anda tidak bersetuju dengan kandungannya atau anda mendapati kandungannya hanya momokan dan janji-janji kosong yang tidak logik dan dusta, bahaskanlah secara berhemah dan bijaksana. Anda berdirilah di atas pentas atau babitkan diri dalam mana-mana wacana atau forum, bidas kandungannya dengan fakta dan data.

Anda seorang yang bertaraf menteri (walaupun baru Timbalan Menteri), tetapi perbuatan anda seperti penagih madat (di Felda atau di mana-mana sahaja) — tidak memiliki kerasionalan dan kewarasan. Bagaimanalah agaknya perasaan anda kalau “kitab” perlembagaan parti anda dicampakkan orang? Jangan buat perkara yang anda sendiri tidak ingin/tidak suka diperlakukan terhadap diri anda. Anda bukan makan padi, tetapi anda makan nasi!

No comments:

Post a Comment