Thursday, February 23, 2012

Kisah Faris Nur Daniel Lewat Blog Mazidul

Saya pertama kali membaca kisah Faris Nur Daniel, 6 tahun, yang menderitai penyakit Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH) atau secara mudahnya disebut sebagai barah darah adalah pada 20 Februari lalu lewat laman blog “Bersama Mazidul”. Saya kemudiannya membaca entri-entri sebelumnya tentang diri Faris, putera terkecil Shamrulismawi Ismail dan Zuraini Mohamad itu.

Benar, air mata saya bergenang-genang sepanjang membaca entri-entri Mazidul tentang Faris itu. Seorang anak kecil berwajah comel, sedang berdepan dengan penyakit yang berkaitan barah (bukan hendak mempertikaikan ketentuan Allah, nauzubillah). Gambar-gambar yang terpapar lewat entri Mazidul menceritakan penderitaan anak yang sekecil itu, oh....

Saya pun belum sempat untuk memasukkan wang ke dalam akaun Shamrulismawi untuk membantu meringankan beban biaya rawatan anakandanya itu walaupun saya sudah memperuntukkan sejumlah wang untuk tujuan itu. Tidak kiralah di mana-mana pun rawatan itu dijalankan, kita insan yang mampu harus bersikap pemurah — bantulah apa-apa yang termampu.

Seputar jam 8:00 pagi tadi, saya menjengah blog Mazidul lagi untuk mengetahui perkembangan anak kecil itu. Hanya ada entri “Saya Rela dan Reda ...”. Saya tidak menyusuli blog itu lagi hinggalah sebentar tadi. Tajuk yang tertera ialah “Faris Telah Pergi Buat Selamanya ... Al-Fatihah”. Saya terkedu walaupun tidak terkejut. Saya tidak menangis walaupun sedih....

Saya bersetuju dengan Sdr Shamrulismawi Ismail, “Jika Allah lebih sayangkan Faris, saya reda dan rela berbanding melihat keadaan dia sekarang, menderita kesakitan....” Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Takziah kepada Shamrulismawi Ismail dan isterinya, Zuraini Mohamad (yang kini khabarnya sedang berbadan dua).

Al-Fatihah. Saya ada membaca suatu artikel — anak sekecil itu tidak usah dikenduritahlilkan kerana sudah sahih bahawa anak itu suci dan tiada balasan dosa dikenakan kepada dirinya. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment