Monday, February 20, 2012

Fikiran Kita di Balik Tragedi Kebakaran Penjara di Honduras

Di Honduras pada hari Selasa lalu, sebuah penjara di Comayagua telah terbakar. Sehingga kini, 359 orang daripada 852 orang banduan — lebih dua kali ganda daripada jumlah yang sepatutnya boleh dimuatkan di dalam penjara itu — telah terkorban. Kejadian kebakaran penjara itu merupakan yang paling buruk sejak sekurun lalu.

Ahli keluarga mangsa kebakaran itu meratapi kematian orang yang disayangi mereka. Hati saya tersentuh. Hati saya juga pernah tersentuh apabila melihat rakyat di negara ini yang bersusah payah menziarahi sanak-saudara mereka yang berada di dalam penjara pada hari-hari raya (dengan kebenaran pihak berkuasa penjara).

Begitulah sayangnya manusia kepada kaum keluarga mereka walaupun ternyata ahli keluarga mereka itu tergolong sebagai manusia jahat yang pada pandangan sebilangan orang tidak wajar diberi peluang kedua. Para ibu bapa, khususnya, tidak akan tergamak untuk membuang anak mereka walaupun si anak telah mencalit arang di muka mereka.

Allah SWT berlebih-lebih lagi sifat kasih dan sayang-Nya kerana Dialah pemilik hakiki sifat ar-Rahman dan ar-Rahim. Walau bagaimana jahat dan kufur sekalipun manusia itu, Dia tetap menyayangi mereka — menganugerahi mereka rezeki, akal, kehidupan, dan semuanya. Malah, Dia bersedia untuk menerima taubat manusia yang berdosa.

Jadi, tidak salah orang menyayangi anak/ahli keluarga mereka yang berstatus banduan kerana Allah SWT juga menyayangi umat mereka. Salah kalau kita menghina ibu bapa bapa/ahli keluarga yang beranakkan/berkeluargakan banduan kerana Allah SWT sendiri mempunyai hamba yang jahat dan berperangai lebih buruk daripada iblis!

Kita jangan melampau-lampau mencela, seolah-olah kita lebih baik dan pihak yang kita cela tidak akan menjadi baik....

No comments:

Post a Comment