Wednesday, February 8, 2012

Cerita tentang Master Khir Toyo Pula

Sebelum pulang ke kampung pada hari Sabtu yang lalu (bersempena dengan cuti Maulidur-Rasul dan Thaipusam), saya sempat membaca luahan hati Master Mohd. Khir Toyo yang telah didapati bersalah itu. Luahan hatinya itu memang membuat saya “sebak dada”. Master Mohd. Khir Toyo mendakwa bahawa dia telah “serik” untuk menjadi MB Selangor lagi.

Master Mohd. Khir Toyo menggambarkan bahawa rasa serik itu muncul dalam hatinya kerana sepanjang lapan tahun dia menjadi MB Selangor, dia tidak beroleh satu pengiktirafan pun kecuali cacian. Walhal, dakwa Master Mohd. Khir, dia telah menjalankan tugasnya dengan baik dalam tempoh itu — ekonomi baik, pekerjaan banyak, manakala setinggan berjaya dihapuskan sehingga 98%!

Sepanjang tempoh itu, Master Mohd. Khir Toyo mendakwa bahawa dia bekerja 18 jam sehari sehingga tidak mempunyai masa untuk bersama-sama dengan keluarganya serta anak isterinya (kalau demikian halnya, memang menjadi MB Selangor merupakan suatu beban dan wajar menyebabkan seseorang berasa serik. Baki enam jam tidak cukup untuk mendapat rehat yang cukup, syekh!)

Dia turut mengesahkan bahawa dia tidak akan bertanding pada PRU-13 akan datang (mempertahankan DUN Sungai Panjang) walaupun dia yakin bahawa dia akan menang jika dia bertanding di situ. Walau bagaimanapun, katanya lagi, dia berjanji untuk terus membantu BN merampas kerajaan negeri Selangor semula daripada Pakatan Rakyat (supaya kesetiaannya terlihat oleh pihak tertentu?)

Yang paling menarik daripada penjelasannya itu ialah, rasa serik untuk menjadi MB Selangor tidak pula menimbulkan rasa serik untuk dia bangkit dalam arena politik tanah air semula. Dia menjadikan kemunculan Tun Dr Mahathir selepas pemecatannya daripada UMNO oleh Tunku Abdul Rahman dahulu sebagai pendorong untuk muncul semula. (Sebagai catatan, Tun Mahathir dipecat daripada AMT UMNO pada 12 Julai 1969 dan disingkirkan daripada UMNO pada 26 September 1969.)

“Lihat Dr Mahathir, dipecat dan kemudian menjadi perdana menteri,” katanya tentang hal itu.

Komen saya tentang hal ini ialah, sesiapa yang pernah beroleh nikmat menjadi orang paling berkuasa (seperti Master Mohd. Khir Toyo) tidak pernah serik sebenarnya, sebaliknya akan terus beriltizam untuk beroleh kedudukan itu semula. Tun Dr Mahathir dapat naik sehingga menjadi PM kerana adanya bantuan/ihsan daripada Allahyarham Tun Haji Abdul Razak (peneraju UMNO dan PM Malaysia pada tahun 1971) yang sudi menerimanya menyertai UMNO (7 Mac 1972).

Dalam kes Master Mohd. Khir Toyo, dia tidak mungkin dapat menjadi MB Selangor kerana DYMM Sultan Selangor dan orang-orang dalam partinya yang mengangan-angankan jawatan nombor satu negeri itu mungkin tidak menyukainya lagi. Mungkin dia sedar akan hal itu (penarikan balik gelaran Datuk oleh DYMM Sultan Selangor adalah antara yang dapat dijadikan bukti tentang hal ini).

Untuk beroleh nasib seperti Tun Dr. Mahathir, Master Mohd. Khir Toyo memerlukan bantuan pemimpin yang nampak akan kelebihan dirinya (seperti arwah Tun Haji Abdul Razak nampak akan kelebihan Tun Dr. Mahathir). Tetapi (bukan hendak mempertikaikannya), apakah kelebihan yang menonjol yang ada pada diri Master Mohd. Khir Toyo sehingga pada suatu hari nanti orang seperti DS Mohd. Najib atau TS Mohd. Muhyiddin atau DS Mohd. Zaid Hamidi, misalnya, akan membantu kemunculannya semula dalam arena politik?

Rasa saya, kalau dapat menjadi Pengerusi organisasi atau GLC tertentu, seperti TS Mohd. Isa Abdul Samad atau TS Abdul Rahim Thamby Chik, sudah cukup. Mengangan-angankan nasib yang serupa dengan nasib Tun Dr. Mahathir (walaupun sebenarnya tidak salah), lain macam pula rasanya. Anda bagaimana?

No comments:

Post a Comment