Tuesday, February 14, 2012

Kalau Jiran “Berperang”, Sebenarnya Kiamat Semakin Hampir!

Kisah ini berlaku di sebuah taman perumahan sekitar dua puluh tahun yang lalu (atau lebih sedikit) yang melibatkan dua keluarga berjiran sebelah-menyebelah. Keluarga yang duduk di rumah paling tepi belum begitu lama menghuni rumah yang baru dibeli itu (bukan rumah baharu melainkan rumah lama juga).

Sejak jiran baharu itu menghuni rumah tersebut, jiran yang satu lagi (si isteri) kerap memandikan haiwan peliharaannya di porch rumahnya. Air mandian haiwan itu masuk ke rumah jiran baharu itu kerana kebetulan kedudukan rumah jiran baharu itu lebih rendah daripada rumah jiran yang membela haiwan peliharaan itu.


Kerana air mandian itu memasuki ruang porch rumahnya (mungkin juga diikuti oleh bulu-bulu serta berak dan kencingnya), jiran baharu itu (si suami) menegur perbuatan jirannya, “Puan, kalau boleh awak janganlah mandikan haiwan peliharaan awak dekat sini. Awak tengok, air sisa masuk ke dalam kawasan rumah saya.”

“Kalau awak tidak suka air sisa ini masuk ke dalam rumah awak, awak buatlah tembok....” Demikian wanita itu memberikan saranan kepada jiran baharunya. Barangkali kerana sedar akan kebenaran kata-kata wanita itu, lelaki yang menjadi jiran baharu wanita itu berlalu dari situ dan seterusnya masuk ke dalam rumahnya.

Tidak beberapa lama daripada perbualan kedua-dua jiran itu, seorang kontraktor datang membuat ukuran di rumah si jiran baharu itu — untuk menukar pagar kawat yang celus air mandian haiwan itu dengan tembok yang dapat menahan kemasukan air kotor itu. Dahulu sekadar kawat pemisah, kini akan ada tembok pemisah!

Selepas lebih kurang dua minggu, tembok pemisah (separuh batu, separuh pagar besi) pun siap dibina. Selain membina tembok pemisah, kawat yang memagari sekeliling rumahnya dahulu ikut ditukar dengan tembok separuh batu separuh pagar besi itu. Alang-alang buat, buatlah semua, begitulah agaknya fikir si jiran baharu itu.

Rupanya-rupanya ada masalah baharu dalam hubungan kedua-dua manusia berjiran itu. Si jiran pencinta haiwan itu gemar menambat haiwan peliharaannya pada pagar besi yang menjadi sebahagian daripada tembok pemisah baharu itu walhal sebelumnya, haiwan itu ditambatnya pada pagar kawat di hadapan rumahnya.

Haiwan itu kerap menggeleparkan badannya. Kalau angin bertiup menghala ke rumah jiran baharu itu, bulunya mendarat pada pakaian yang tersidai. Haiwan itu pula suka berbuat bising sehingga mengganggu ketenangan si jiran baharu. Apabila hal ini diadukan oleh si jiran baharu, si jiran pencinta haiwan membengkenginya.

Pada suatu hari, kedua-dua jiran itu bertengkar. Jiran baharu itu “diwakili” oleh si suami, manakala jiran yang satu lagi “diwakili” oleh kedua-dua suami isteri. Selain bau perkelahian yang kurang enak, ada bau lain yang tidak kurang tidak enaknya, malah sampai tekak terasa loya dan isi perut seperti hendak terkeluar.

Rupa-rupanya, si jiran baharu telah menyimbahkan bancuhan tahi ke dinding rumah si pencinta haiwan. Hal itu dilakukan oleh si jiran baharu kerana dua hari sebelum itu, si jiran pencinta haiwan itu telah menyimbahkan air kencing pada kenderaan, lantai porch, serta sebahagian dinding rumah jiran baharunya.

Punca si jiran pencinta haiwan menyimbahi rumah jirannya dengan air kencing adalah kerana si jiran baharu telah memukul haiwan peliharaan si pencinta haiwan dengan kayu hoki! Punca si jiran baharu melakukan hal yang demikian adalah kerana aduannya tidak diendahkan oleh si pencinta haiwan itu.

Menjelang petang, si jiran baharu mengambil pelepah-pelepah kelapa kering yang gugur di depan rumahnya. Dia memotong-motongnya dan mengikatnya menjadi jamung dan kemudiannya menyandarkannya pada tembok di luar rumahnya. Dia turut meletakkan tong putih plastik (yang kelihatannya seperti berisi air).

Sehingga malam, tidak ada apa-apa yang berlaku — jamung masih di situ, tong putih masih di situ. Yang pasti, selepas perbuatan si jiran baharu menyusun jamung pada tembok pagarnya, susuk keluarga si jiran pencinta haiwan tidak kelihatan lagi! Mereka melarikan diri rupa-rupanya (entah kerana takut, entah kerana benci!)

Tidak beberapa lama, rumah si pencinta haiwan diduduki oleh keluarga lain — pembeli baharu. Tidak lama selepas kejadian itu, si jiran baharu pun berpindah. Rumah itu sebentar diduduki oleh penyewa dan kemudiannya tinggal kosong hinggalah akhirnya bertukar milik, sama seperti rumah jirannya.

Saya pernah menjadi pencinta haiwan. Suatu ketika, haiwan peliharaan saya berjumlah lebih 20 ekor. Jiran di sebelah kanan rumah saya tidak menegur kesukaan saya hinggalah pada suatu hari anaknya telah terpijak akan najis haiwan peliharaan saya yang rupa-rupanya telah membuang najis di dalam kawasan rumahnya.

Berak di atas rumput di kawasan rumahnya tidak menjengkelkannya, saya kira. Yang menjengkelkannya ialah apabila anaknya yang terpijak najis itu telah masuk ke dalam kereta lalu mengotori bahagian dalam kereta sehingga meninggalkan bau busuk yang bukan kepalang hingga meloyakan tekaknya, barangkali.

Dia mengadukan hal itu kepada saya. Isteri saya menyuruh saya menyerahkan semua haiwan peliharaan itu kepada pihak pengendali haiwan peliharaan. Saya akur kerana hubungan kejiranan perlu dipelihara walaupun hati saya sebak apabila melihat haiwan-haiwan peliharaan saya bising apabila ditinggalkan di pusat pengendali itu.

Jiran saya itu kemudiannya berpindah. Rumahnya disewakannya. Kini, penyewa rumah itu pencinta haiwan. Jiran di kiri rumah saya pun pencinta haiwan. Rumput di rumah saya kerap diberaki, lantai dan dinding di bahagian luar rumah saya kerap dikencingi, namun saya memilih untuk membersihkannya bukan memerangi jiran-jiran saya.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nisa, ayat 36 yang bermaksud:

Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan Dia dengan apa-apa pun jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.

Rasulullah SAW pula bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yg menyakiti jirannya, maka sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yg menyakiti aku, maka sesungguhnya dia telah menyakiti Allah Taala. Dan sesiapa yg memerangi jirannya, maka sesungguhnya dia telah memerangi aku, dan sesiapa yg memerangi aku, maka dia telah memerangi Allah.
(Diriwayatkan oleh Abu As-Syeikh Ibnu Hibban)

Tidak akan datang kiamat
sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim, dan bersikap buruk terhadap jiran.
(Ahmad dan Hakim)

Kita bukan baik, tetapi kita harus senantiasa ingin menjadi baik dan senantiasa berharap agar Allah SWT mempermudah diri kita untuk melakukan kebaikan.

No comments:

Post a Comment