Thursday, December 3, 2009

Memahami Slogan Negara

Menjadi bercelaru pandangan saya terhadap kerajaan yang memerintah negara sekarang ini. Slogan yang muluk-muluk yang lahir daripada kepala pemimpin-pemimpin tampaknya hanyalah retorik-retorik yang sifatnya cantik pada sebutan, hodoh pada amalan. Dulu ada slogan “Kepimpinan Melalui Teladan (KMT)”, “Bersih, Cekap, Amanah (BCA)”, dan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang (CGT)” dan kini ada yang lebih menarik – “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” (1MRDPD).

Tentang KMT itu, falsafahnya baik tetapi penghayatan dan amalannya tidak perlulah kita gembar-gemburkan lagi kerana hampir tidak ada pemimpin yang dapat dijadikan teladan. BCA lagilah hampeh. Yang tidak bersih, yang tidak cekap, yang tidak amanah sama banyak dengan yang bersih, cekap, dan amanah (kalau kurang pun, sikit saja nisbahnya; entah-entah lebih!). Kalau tidak, tak kanlah indeks rasuah negara ini sampai mengaibkan negara dan rakyatnya. Tentang CGT, pembaca nilailah sendiri! Pada saya, slogan inilah yang paling kabur kejayaannya.

Sekarang 1MRDPD. Tampaknya, melalui slogan ini, yang didahulukan kepada rakyat ialah BEBAN. Subsidi petrol akan dikaji (akan dimasuhkan?) dan khabarnya akan diberikan kepada golongan yang layak sahaja. Walhal, tahun lalu (November 2008), semasa harga minyak mentah jatuh sehingga AS$55.00 setong, petrol RON97 tetap dijual pada harga RM2.00 sedangkan menurut Menterinya pada waktu itu, harga kos bagi petrol itu ialah RM1.61! Kita, semua pengguna, membayar 39 sen melebihi harga yang sebenarnya (tetapi Menteri Kewangan pada waktu itu menyatakan kerajaan membayar subsidi 30 sen pada bahan ini).

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan khabarnya akan membincangkan cadangan untuk mengurangkan atau menghapuskan subsidi gula pada peringkat kabinet tidak lama lagi. Sebabnya, peruntukan tahunan untuk mensubsidikan gula bagi keperluan rakyat sangat tinggi – RM720 juta, kata beliau! Selain itu, pemansuhan itu juga perlu bagi “melahirkan rakyat sihat” (anda pergilah ke Tukar Tiub, baca posting CARA RAKYAT DITIPU).

Dan sekarang, hal yang tidak kurang sensitifnya kepada rakyat akan dilaksanakan pula, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun 2010. Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, bayaran tambahan itu akan digunakan untuk faedah para pelajar – untuk menampung hal ehwal pentadbiran sekolah dan penambahbaikan beberapa kemudahan yang disediakan. Dikatakan juga bahawa yuran itu nanti akan digunakan sebagai insurans untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan. Dan kenyataan yang paling menarik daripada beliau ialah “Bayaran tersebut tidak akan membebankan ibu bapa dan para pelajar”.

Orang yang seperti ini, yang hampir semua aktiviti dan belanjanya dibiaya kerajaan melalui elaun dan pelbagai tuntutan – perbatuan, petrol, parkir, penginapan, dll – tahukah mereka erti beban yang sebenarnya?

[Tiga hal di atas hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai “rancangan” kerajaan untuk membebani rakyat yang sebahagiannya telah dan akan dilaksanakan manakala hanya sebahagian kecil sahaja yang dibatalkan.]

4 comments:

  1. Hakikatnya rakyat didahulukan hanyalah retorik sahaja demi kepentingan politik.
    Sebenarnya bayaran yuran persekolahan bukan sahaja membebankan ibu bapa tetapi turut memeningkan guru-guru yang menguruskan kutipan. Isu ini akan kembali panas menjelang pembukaan sesi persekolahan 2010 nanti. Akhirnya pendidikan kita bukan lagi percuma tetapi ke arah pendidikan berbayar, cuma caranya dilaksanakan sedikit demi sedikit...

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Mendewa;
    Saya pun tidak faham, inikah "ganjaran" yang wajar diberikan kepada rakyat yang memilih mereka? Seharusnya sekolah harus bebas daripada beban seperti ini.

    ReplyDelete
  3. Pelajaran kini bukan percuma dan bersifat atas amanah kepada kerajaan.

    Menterinya juga tidak turun padang dan melihat apa yang terjadi dengan mata hati.

    ReplyDelete
  4. Salam Sdr Setiakasih,
    Mungkin ada beliau turun padang tetapi bersifat "sekali-sekala" dan pada waktu itu laporan yang diterima muluk-muluk belaka. Hal yang realiti dan benar tidak didedahkan dan Menteri agaknya tidak mahu ambil tahu perkara-perkara yang tidak didedahkan dalam apa-apa pertemuan dan laporan yang diberikan.

    ReplyDelete