Monday, December 14, 2009

Sekadar Mengingatkan Orang tentang Bahasa

Saya rasa banyak antara kita yang biasa menemukan dan membaca kertas-kertas iklan yang ditampal pada tiang-tiang dan dinding oleh “pengeluar-pengeluar” ubat-ubatan, khususnya yang berkaitan dengan ubat tenaga batin. Malah, iklan yang sama dapat anda temukan dalam blog-blog tertentu (Internet). Pada iklan itu disertakan perincian tertentu termasuk nama pengedar, nombor telefon yang boleh dihubungi oleh sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan ubat-ubatan tersebut, dan sebagainya.

Saya memang tidak tertarik untuk membelinya, apatah lagi untuk menghafal nombor telefon yang tertera itu. Yang menjadi tarikan saya ialah isu yang diiklankan, iaitu UBAT KUAT LELAKI. Sebagai orang yang sangat mementingkan bahasa, ada sedikit gangguan di minda saya untuk memahami ubat itu.

Adakah ubat itu untuk menjadikan lelaki kuat atau perkasa? Kalau demikian, para petani, nelayan, buruh, dan lelaki yang melakukan kerja keras perlu mencuba ubat itu. Isteri saya, tatkala hal ini saya bicarakan dengannya, secara bergurau berkata bahawa ubat kuat lelaki ialah wanita! Saya tersenyum.

Sebenarnya, saya rasa, para “pengeluar ubat” itu mengiklankan sejenis ubat yang bukan bermatlamat untuk menjadikan lelaki kuat seperti Badang atau Samson tetapi untuk memantapkan dan menguatkan kelelakian atau kejantanan para lelaki dalam hal yang berkaitan dengan hubungan seks. Jika pandangan saya ini betul, bermakna ungkapan UBAT KUAT LELAKI itu salah! Yang betul dan benar ialah UBAT KUAT KELELAKIAN (maksudnya ubat untuk menguatkan kelelakian bukan ubat untuk menguatkan lelaki!)

Kalau ungkapan itu digunakan, barulah dapat dihuraikan dengan rinci dan lanjut perihal ubat itu. Misalnya, untuk memulakannya, bolehlah dimulakan dengan kalimat seperti “Anda menghadapi masalah di ranjang? Sekarang tidak lagi kerana kelelakian anda akan kembali pulih dengan ubat ini... dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, berhati-hatilah dengan ubat-ubat ini kerana jika tidak berhati-hati, yang sudah sedia kuat dan mantap akan menjadi sebaliknya manakala yang kurang umph akan menjadi bertambah parah.

4 comments:

  1. Salam.

    Pengiklan tidak lagi mementingkan penggunaan bahasa. Asalkan iklan disiarkan, produk terjual dan untung dapat dikaut, maka ia memadai. Lucu juga rasanya mendengar iklan "rampingkan perut anda" di tv. Apa yang ramping? Pinggang atau perut? Ikut suka hati mereka sahaja...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Ha, ha. Bahagian badan sendiri pun tak kenal! Pagi tadi dengar iklan tentang bab-bab penjagaan tubuh badan juga. Watak 1 berasa hairan melihat perubahan watak 2 -rakannya - (kerana ramping) lalu berkata "Awak sedut lemak?". Pada pandangan saya kalau kawannya itu sedut lemak, tambah gendutlah dia kerana dia menyedut lemak orang lain!

    ReplyDelete
  3. dalam banyak kesalahan bahasa, UBAT KUAT LELAKI yang dijadikan contoh...

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Anon;
    Terima kasih tapi apa masalahnya kalau hal itu didedahkan? Sebelum ini, saya yakin, banyak orang (mungkin Sdr juga) tidak sedar akan kesalahan itu.

    Tak kan nak cerita kesalahan tentang "pusat membeli-belah", "tempat meletak kereta", "seni mempertahankan diri", dan sebagainya lagi yang sudah kerap didedahkan itu.

    Bentuk bahasa yang betul yang wujud sekarang bermula dengan kesedaran dan pendedahan.

    Insya-Allah, saya tetap akan mendedahkan contoh-contoh lain pada masa akan datang, tidak kira apa-apa pun kategorinya. Tujuan saya untuk membetulkan yang salah.

    ReplyDelete