Friday, February 3, 2012

Manakah Pakaian Islammu, Master Hasan?

Saya tidak tahu, dan saya berharap agar ada yang akan memberitahu saya — dalam road show (pertunjukan jalanan?) Master Hasan Ali — ada atau tidak ada beliau “menghentam” dan “membelasah” pihak pemerintah di negara ini atau kegemarannya kini hanya “menghentam” dan “membelasah” PAS yang mengenyahnya daripada parti itu serta PKR dan DAP yang pada pandangannya “antihudud” itu? (Padahal yang mengerasi usaha PAS untuk melaksanakan hudud ialah UMNO dan sekarang MCA pula.)
Sebagai panduan, jikalau kita punya kelapangan masa untuk menonton berita yang disiarkan TV3, akan kita dapati Master Hasan Ali lebih banyak “menghentam” dan “membelasah” PAS, PKR, dan DAP (PAKATAN). Tidak tahulah pula kita kalau memang ada Master Hasan Ali “menghentam” dan “membelasah” pihak pemerintah di negara ini, tetapi TV3 tidak berminat untuk menyiarkannya.
Waktu beliau berceramah di Bangi baru-baru ini, Master Hasan, kata kawan saya, telah mencanangkan perihal langkah yang akan diambil oleh DAP apabila Putrjaya berjaya ditawan oleh pihak PAKATAN. Beliau mendakwa, apabila Putrajaya ditawan, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah republik. DAP juga, kata Master Hasan, akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara ini.
Kalau benar, jelas bahawa Master Hasan tidak menggunakan akal “doktor”nya. Berapa banyak kerusi Parlimenkah yang ditandingi dan diduduki DAP hingga mereka boleh bertindak bersendirian untuk membuat keputusan merepublikkan Malaysia ini? Di manakah PAS dan PKR? Di manakah UMNO dan para sekutunya? Untuk membuat keputusan, DAP perlu ada dua pertiga majoriti di Parlimen. Atau kalau tidak ada dua pertiga, mereka mesti membeli kerusi itu — mungkin daripada GERAKAN, MCA, SNAP, dan kerusi juak-juak Melayu yang boleh dijual beli (seperti beliau?).
Master Hasan, kalau Master ingin berkata yang benar, memperjuangkan kebenaran, hentam dan belasahlah sama rata. Yang tidak betul dalam kerajaan BN, hentam dan belasahlah juga. Janganlah hentam yang “tidak betul” dalam PAS dan dalam PKR dan dalam DAP sahaja sedang apa-apa yang tidak betul dalam kerajaan pemerintah Malaysia langsung tidak diusik. Sekarang saya lihat, road show Master itu bukan untuk menjelaskan yang benar, tetapi untuk melepaskan dendam terhadap PAS yang mengenyah Master.
Master tidak harus bertukar pakaian daripada pakaian Islam. Jadikanlah Islam itu benar-benar pakaian Master, dan jangan sekali-kali menjadikan yang lain (kekecewaan, takhta, dll) sebagai pakaian Master. Orang yang cerdik dan celik jumlahnya sudah demikian banyak dalam negara kita ini. Mereka tahu dan sedar yang mana bohong dan kelentong, yang mana ugutan dan momokan, dan yang mana kudus dan lurus. Jangan menuding serampangan kerana Master tentu tahu, satu jari menuding pihak lain, paling kurang tiga jari lagi menuding diri sendiri.
Allahu Taala a’lam.

6 comments:

  1. Kepala ikan senangin betul Hassan Ali ni.Bagi le idea yang bernas untuk membangunkan / MEMANTAPKAN ISLAM. Bukan dok bantai PAS , DAP dan PKR.Macam orang gila talak je........

    ReplyDelete
  2. HASAN ALI MUSANG BERBULU AYAM.CAKAP MEMARTABATKAN ISLAM TAPI HARI2 KUTUK ORANG DAN PAKAIAN SERUPA PRESIDEN AMERIKA.BAHOLO PUYA ORANG

    ReplyDelete
  3. Salam, Anon-Anon,
    Sama-samalah kita berdoa agar siapa-siapa yang kaki kelentong dikurniai Allah SWT hidayah-Nya lalu mereka kembali ke pangkal jalan untuk terus sama-sama membangun bersama Islam.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Sdra Zulkifli,

    Untuk berlaku adil diharapkan Sdra tonton ucapan penuh Datuk Dr. Hasan Ali di Bangi. Petiklah buah yang baik dari pohon ucapan beliau kerana memang diakui ada buah yang tidak elok, tetapi perhalusi dengan saksama semoga Allah memberi kita pertunjuk dan bukan menghukum dan mencaci sesuka hati kita pada hal kita sendiri(terutama diri saya ini) bukan sebaik yang dituduh. Masyarakat Islam/Melayu mengharap PAS sebagai pemacu dan penyelamat ummah sekali gus Ketua (yang kita percaya tidak tercemar dengan rasuah dan terpalik dengan sekandal moral dalam pentabiran) dalam Pakatan seperti UMNO dalam Barisan dalam erti kata PAS adalah "Decision Maker" dalam perkara pokok terutamanya berhubung dengan Islam.
    Wassalam.

    ReplyDelete
  5. Salam, Sdr Abd. Rahman,
    Saya hanya menyentuh ucapan Dr. Hasan Ali tentang DAP bukan kerana sebab lain melainkan disebabkan oleh momokannya itu. Beliau harus sedar bahawa momokan itu kurang sesuai kerana menampakkan beliau kurang cerdik. Beliau sepatutnya menuduh PR secara keseluruhannya yang ingin merepublikkan Malaysia dan menyatukan Malaysia dengan Singapura.

    Niat beliau kita fahami, iaitu untuk memperteguh kesatuan Melayu dengan cara berawas-awas dalam konteks menjalin hubungan dan meyakini bangsa-bangsa lain di negara kita, khususnya Cina.

    Di Bangi, beliau turut menyentuh pendirian DAP yang antihudud itu (dengan mengatakan "over my dead body"), tetapi beliau tidak menyentuh perihal BN-UMNO yang terang-terang menentang hasrat PAS Kelantan hendak mengimplemantasikan undang-undang hudud dahulu.

    Hal itu sahaja yang saya sentuh kerana beliau bersikap tidak sama rata (adil) sehingga menampakkan sifat dendamnya sahaja.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  6. Salam, Sdr Zul,
    Terima kasih diatas penjelasan Sdra. Sama-sama kita peringatkan beliau dalam hal diatas.
    Mungkin Sdra lebih dekat dengan beliau dan saya yang juah di Utara Malaysia dan hanya orang kebanyakan.
    Dapat hendaknya beliau membaca komen Sdr.
    Untuk pengetahuan Sdr Zul, sewaktu Forum Isu Murtad di Tanjung Bunga Pulau Pinang beliau ada menyebut diakhir ucapannya iaitu," demi menjaga kepentingan Ummah Islam amnya bangsa Melayu dari tejerumus dalam masaelah Murtad ini, maka kita memerlukan perubahan dalam sistem negara kita. Perubahan itu terletak ditangan tuan-tuan."

    Wallahhua'lam.

    ReplyDelete