Friday, February 10, 2012

Janganlah Kerana Perdana Menteri Orang Malaysia...

Sudah acap kali ditazkirahkan, diceramahkan, diwara-warakan, dan sebagainya oleh orang yang arif akan hukum-hakam/agamawan (mufti, ulama, ustaz, dll) — bahawa orang Islam tidak boleh/haram menghadiri apa-apa majlis ibadat agama lain. Dalam erti kata lain, kalau majlis orang kafir yang ada unsur keagamaan itu dihadiri dengan sengaja walau dengan apa-apa tujuan pun, aqidah orang Islam itu terjejas/rosak.

Oleh sebab itu, apabila pemimpin nombor satu negara ini menghadiri sambutan Thaipusam pada 7 Februari 2011 yang lalu di Batu Caves, saya yakin bahawa bukan sedikit hati orang Islam yang berasa kurang senang. Menteri yang bertanggungjawab tentang Islam sukar untuk menegur hal itu kerana lazimnya “muncung yang telah penuh oleh air dan perut pula berisi batu” menjadi “berat mulut” untuk berbuat demikian.

Oleh itu, saya menunggu agamawan lain yang ada autoriti untuk membuat teguran itu dan akhirnya, agamawan yang sama membuat teguran lagi tanpa berselindung-selindung. Beliau, Sabihus-Samahah Tan Sri Harussani, Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, telah melahirkan rasa terkilannya terhadap perbuatan pemimpin nombor satu negara itu yang telah menggadai akidahnya kerana hadir dalam sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves itu.

Saudara-saudara boleh merujuk kepada Malaysian Insider tentang kenyataan Sabihus-Samahah yang senantiasa menjunjung kebenaran Islam itu. Seperti beliau, kita seharusnyalah ikut sama berasa terkilan oleh perbuatan pemimpin nombor satu kita itu yang seolah-olah lebih “mendahulukan kepentingan politik” daripada kepentingan akidahnya. Menjadi Perdana Menteri orang Malaysia tidak bermakna beliau boleh “menggadai akidah”nya.

Mari kita sama-sama menghayati maksud surah al-Kafiruun:

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! (1) Aku tidak menyembah apa-apa yang kamu sembah. (2) Dan kamu bukan penyembah (Allah) yang aku sembah. (3) Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa-apa yang kamu sembah. (4) Dan kamu (pula) tidak menjadi penyembah (Allah) yang aku sembah. (5) Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (6)

Begitulah lebih kurang maksud surah al-Kafiruun yang mengandung enam ayat itu. Surah itu dengan jelas menyatakan bahawa akidah dan ibadah orang Islam tidak ada tolak ansurnya dengan orang-orang kafir. Jangan kerana muhibah ayat itu “menjadi tidak laku kepada kita”.

Wallahu alam.

3 comments:

  1. Sdra Zul,

    Sudah berapa kali perkara yg sama dibangkitkan oleh para Ulamak terhadap sikap pemimpin negara kita yang tidak tahu batas agama dan politik.

    Bukan saja Najib, Anwar Ibrahim (Sinar harian 27Jan2012) pun sama juga dijangka hadir di Kuil Sg. Petani Kedah pada 7hb Feb 2012, tetapi diprotes oleh Pengerusi Pengurusan Kuil tersebut atas alasan keselamatan dan ketenteraman awam. Tidak tahu sama ada dia hadir atau tidak. Soal pokoknya begitulah sikap pemimpin Islam negara kita, tidak kira pemerintah atau pembangkang.

    Harap pemimpin dari PAS tidak bersikap begitu kerana mereka lebih alim dalam soal agama.

    Apabila Datuk Harusani memberi nasihat eloklah kita dengar dan amati baik-baik. Selalunya bila kena muka sendiri keluarlah cacian dari ahli sesuatu parti atau pertubuhan terhadap Datuk Harunsani tak kiralah dari BN atau PR.

    Muhasabah dan terima dengan baik supaya orang bukan Islam tahu Islam ini tidak menerima Pluralisama.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr. Abd Rahman,
    Marilah kita menjadikan Islam sebagai asas yang sebenar-benarnya apabila menilai dan memperkatakan sesuatu. Dengan melakukan demikian, kita tidak akan memihak mana-mana tokoh, parti politik, dsb sebaliknya kita akan mengikut saranan/panduan Islam yang syumul itu.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Terima kasih. Catatan saya diatas semuanya menuju kepada tidak memihak mana-mana tokoh politik. Apa yang saya ingin sarankan dan akan terus lakukan apabila sesuatu itu bertentangan dengan syariat Islam saya akan terus bersuara sekadar yang saya mampu.

    Apa guna kita terus bertempik, menjerit mengatakan Islam saja wadah keadilan tetapi bila kepada mereka yang dilemparkan hukuman kita sama garang menghukum tetapi orang serumah kita bersikap begitu kita diamkan.

    ReplyDelete