Monday, February 13, 2012

Kisah Tun dan Al-Fatihah, Tok Cu

Hari Ahad, 12 Februari. Saya sedang menghadap komputer riba sambil mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran lewat You Tube serta memuat turun beberapa surah yang dibaca oleh qari yang saya minati apabila tiba-tiba nada dering SMS daripada telefon bimbit saya berbunyi. Saya segera mencapai telefon itu dan menekan butang-butang tertentu untuk membaca kandungan SMS itu.

“Salam.apak(yah cu) meninggal dunia pkl 2ptg tadi. dari tun.”

Jam menunjukkan pukul 2:19 petang. Saya segera memanjangkan SMS itu kepada adik-beradik saya serta seorang ibu saudara saya. Kemudian, saya langsung menghubungi bapa saya untuk memaklumkan hal yang mengejutkan itu sambil saya telah menetapkan pendirian untuk pergi menziarahi jenazah datuk saudara saya yang isterinya pula ialah sepupu ibu saya (kerana perkahwinan yang demikian, saya adik-beradik mengalami kesukaran, sama ada hendak memanggil anak-anak mereka yang kebanyakan sebaya dengan kami sebagai pak cik/mak cik atau abang/kakak/adik sahaja).

Saya berfikir, kalau adik-adik saya tidak menyertai saya untuk pergi ke Teluk Intan, saya akan pergi sendirian dan pulang sendirian ke Kajang pada malam itu juga. Saya terus menghubungi si pengirim SMS — Tun — untuk mengetahui cerita yang sebenarnya serta untuk bertanyakan urusan pengebumian almarhum bapanya itu. Menurut beliau, jenazah almarhum masih di hospital dan mungkin dikebumikan pada malam itu juga atau sebelum Zuhur hari Isnin.

Saya naik ke tingkat atas lalu memaklumkan hal itu kepada isteri saya yang pasti tidak akan menyertai saya kerana beliau mempunyai tugasan yang sangat perlu diselesaikan dengan segera. Tidak lama selepas mengkhabarkan berita itu, bapa saudara saya — Datuk Muhammad Mansur — menghubungi saya lalu mengajak saya pulang bersama dengannya. Pucuk dicita, ulam yang dapat, saya bersetuju dan dia juga bersetuju untuk pulang ke Kajang semula pada malam itu juga.

Kami bergerak sekitar jam 4:20 petang dan tiba di Batak Rabit, Teluk Intan pada jam 6:30 petang dan bertolak pulang ke KL pada jam 11:00 malam dan saya sendiri tiba di rumah di Kajang pada jam 2:50 pagi!

Sebelum kematiannya semalam, almarhum Yah Cu (saya memanggilnya Tok Cu, tetapi namanya yang sebenarnya ialah Hambali bin Nasir. Adik-beradik lelakinya yang lain (sudah almarhum semuanya) bernama Shafii, Hanafi, dan Maliki — kesemua mereka memakai nama pemimpin mazhab yang empat itu) ialah seorang daripada dua adik almarhumah nenek saya yang masih hidup. Berbanding datuk-datuk saudara saya yang lain, Tok Cu saya itulah yang paling saya sukai. Saya suka mendengar almarhum bercerita dan kekek tawanya.

Semasa hayat masing-masing, almarhum ialah adik almarhumah nenek saya yang paling suka “menyakat” almarhumah nenek saya yang pelatah itu. Almarhum pernah tinggal dengan keluarga almarhum nenek saya dan saya masih ingat sewaktu saya belum bersekolah (mungkin saya berusia sekitar lima atau enam tahun), saya akan menjadi pilihannya berbanding adik saya untuk dibawa ke fun fair di Sabak Bernam bersama dengan bapa saya. Masih dapat saya rasai kehangatan himpitan tubuhnya (kerana saya akan diletakkan di tengah-tengah di atas motosikal di antara almarhum dengan bapa saya) selain kemesraannya memegang saya. Peristiwa itu kerap mendatangi ingatan saya apabila saya menemuinya (selalunya pada hari raya atau majlis-majlis perkahwinan saudara-mara).

Dan peristiwa itulah yang baru terlintas dalam ingatan saya sekitar seminggu yang lalu. Dalam tempoh itu, saya juga teringat akan Tun (anak almarhum, si pengirim SMS tadi) yang sering bersolat Jumaat dengan saya di Masjid Sultan Abdul Aziz, Petaling Jaya sebelum pejabatnya berpindah ke Wangsa Maju. Apakah makna kenangan dan ingatan itu dengan kematian almarhum?

Almarhum memang sudah lama uzur-sihat uzur-sihat kerana menghidap penyakit diabetis dan gout. Almarhum pernah menjalani pembedahan mata di Ipoh dan sebagainya. Walau bagaimanapun, almarhum sangat beruntung kerana anak-anak dan cucu-cucunya yang banyak itu senantiasa berbondong-bondong dan berebut-rebut untuk membantunya dan menjaganya. Alhamdulillah.

Yang menimbulkan rasa ralat di hati saya ialah (saya suarakannya semasa berbual dengan Tun selepas membacakan roh almarhum bapanya Yasin dan doa), mengapakah Tun tidak memberitahu saya perihal almarhum yang sudah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan sejak 1 Februari lalu. Saya memberitahu Tun, saya berada di kampung di Sabak Bernam pada 4-6 Februari lalu. Kalau saya diberitahu, kata saya, insya-Allah, tidak sampai sejam saya akan menjengahnya di hospital. Tun, saya lihat, serba salah.

Saya kemudian teringat akan diri saya semasa dimasukkan ke hospital sebagai akibat vertigo yang saya hidapi. Saya melarang isteri dan anak saya memaklumkan hal ini kepada keluarga saya (adik-beradik saya, khususnya) kerana saya berfikir bahawa mereka sepatutnya tahu akan keadaan diri saya jika mereka senantiasa mengambil tahu perihal diri saya. Maksud saya ialah mengapakah mereka menunggu diberitahu bukan mengambil tahu?

Hal yang sama mengenai batang hidung saya sendiri. Mengapakah saya menunggu Tun memberitahu saya sedang pada masa yang sama saya tidak mengambil tahu perihal dirinya dan diri bapanya yang saya ketahui sakit itu? (Maafkan saya, Tun.... Saya sangat tahu kamu tidak marah, dan saya harap kamu tidak sedar bahawa saya ... kadangkala agak bodoh.)

Ya Allah, hamba-Mu ini bermohon kepada-Mu, ampunkanlah dosa-dosa Tok Cu saya itu, terimalah segala amal ibadatnya, bebaskanlah dia daripada azab kubur, himpunkanlah dia di Padang Mahsyar bersama-sama dengan orang-orang yang beriman, bebaskanlah dia daripada azab api neraka supaya seterusnya dia dapat tinggal di kampung asal semua umat manusia — syurga. Al-Fatihah. Amin....

4 comments:

  1. Assalamualaikum Sdra Zul,

    Ucapan takziah dari saya atas kehilangan dan perginya Almarhum Tok Cu saudara.
    Saya suka pada yang saudara catatkan pada ayat "Hal yang sama............."
    begitulah kita insan yang Allah cipta ini. Semoga roh beliau dimasukkan dengan orang-orang yang bersabar dan beriman. Semoga Allah redha atas AlMarhum. Ameen...

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Abd Rahman,
    Terima kasih terhadap simpati pihak Sdr itu.

    Ya, sebenarnya jika kita saudara-mara saling mengambil tahu, tentu kita tahu akan perkembangan diri masing-masing.

    Sebagai insan yang lemah, saya menyedari kesilapan dan kelemahan saya itu.

    Terima kasih, sekali lagi.

    ReplyDelete
  3. Salam Adinda Zul,


    Alfatihah. Takziah dan simpati diucapkan kepada adinda dan seluruh keluarga Tok Chu adinda itu.

    Hikmah serta-merta jelas timbul daripada peristiwa sedih yang berkenaan:

    Kita sememangnya harus sentiasa minat-meminati, sayang-menyayangi, peduli-mempeduli antara satu sama lain. Malangnya sering kali terjadi kita alpa untuk bertindak sedemikian . . . sehinggalah kadangkala kita baru 'terasa' sangat akan sesuatu 'kelewatan'.

    Tak mengapalah adinda. Barangkali budaya komuniti kita yang kurang mendidik kita untuk menjadi orang yang berani menunjukkan kasih sayang secara terang-terangan.

    Dengan izin . . . " Yeah that's right bro, just compensate oneself if that's the least one can do . . . ," sampuk si jiran omputih teman tu.

    Tabik kepada adinda kerana menghasilkan penulisan yang menyentuh perasaan sebegini rupa . . .

    ReplyDelete
  4. Salam kasih sayang, Da,
    Hendak memulakan yang payah ... Da. Dalam saling berhubung (untuk mengetahui khabar diri masing-masing).

    Kadang-kadang ego menguasai diri kita - orang tak hubungi kita, apa perlunya kita menghubungi mereka.

    Kadang-kadang kita berprasangka, entah-entah dia tak suka dihubungi selalu, entah-entah dia sibuk, entah itu, entah ini.... Selalu.

    Uda dengan teman memang jarang-jarang berhubung, tapi d'Suarang ada. Banyak yang teman tau tentang Uda.

    Cuma, kita perlu bertukar sekarang - seminggu atau dua minggu sekali kita berhubung ... cuma nak mulakan tu yang payah.

    ReplyDelete