Saturday, February 4, 2012

Terima Kasih, Allah; Tahniah Panglima!

Begitulah manusia pada kebanyakan waktu — tidak dapat melakukan banyak kerja apabila dilingkari oleh kesibukan. Dalam erti kata yang lebih mudah, keupayaan manusia sangat terbatas. Begitulah halnya diri saya ini, kerana ada tugas yang perlu dibereskan segera, saya tenggelam dalam amanah itu sehingga capek dan tidak punya masa untuk menelaah khabar dan segala macam cerita lewat Blog sahabat dan mentor saya di dunia maya.

Yang paling menarik dalam kesibukan saya itu, hati ini kerap kali didesak-desak untuk menghubungi mentor saya untuk bertanyakan perkembangan dirinya yang pernah diceritakannya kepada saya tidak begitu lama selepas menamatkan tugasnya di luar negara. Walau bagaimanapun, entah mengapa, desakan yang kerap muncul tatkala saya sibuk itu akan dengan sangat pantas lenyap. Maka, teruslah keinginan itu terbantut sehingga menjadikan saya antara orang yang lewat untuk mengetahui berita gembira itu.

Kemudian, kerana menyedari hakikat bahawa sekadar ingat untuk bertanya sahaja tidak memadai jika tidak terus bertindak, maka saya menghantar SMS kepadanya. Pantas juga saya menerima jawabannya — betul bahawa beliau telah menjadi nakhoda di situ setelah tiga minggu menjadi “pembantu jurumudi”. Alangkah berbunga-bunganya hati ini kerana itulah harapan saya sejak beliau menjadi Pengarah di Jabatan Bahasa di situ! Selepas menghantar SMS itu, saya masih juga seolah-olah tidak kecukupan masa untuk melayari Internet serta menjengah Blognya.

Akhirnya, saya memaksa diri saya untuk mencuri sedikit kesibukan itu bagi memuatkan entri yang sudah saya tulis dua tiga hari sebelumnya tentang perasaan hati saya terhadap seorang “Master”. Perihal diri “Master” itu pun kebetulan saya ikuti melalui TV (bukan melalui Blog seperti sebelumnya) dan melalui cerita seorang kawan. Selepas entri itu saya muatkan, saya langsung menjengah Blog beliau. Rupa-rupanya sudah ada khabar tentang hal itu lewat sajak Pesyair Ahmad Sarju — bahawa PROFESOR DR. AWANG SARIYAN ialah KETUA PENGARAH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA yang baharu.

TAHNIAH, Prof. Kalau harapan yang bermain di hati saya sejak sekian lama itu tergolong sebagai doa, bersyukur benar saya kerana doa saya itu telah dimakbulkan Allah SWT. Cembul sudah beroleh penutupnya, sirih sudah pulang ke gagang. Sekali lagi saya menaruh harapan, Dewan Bahasa dan Pustaka yang sejak lebih sedasawarsa lesu dan malap, akan kembali segar dan mekar (sebaik-baiknya lebih segar dan mekar daripada era sebelumnya) apabila diterajui oleh Panglima Bahasa ini. Insya-Allah.

Selamat Maju Jaya, Prof.

8 comments:

  1. Salam Sdr. Zul,

    Terima kasih atas doa dan harapan. Saya menerima lantikan menjadi jurumudi bahtera DBP sebagai amanah. Syukur Allah memelihara perasaan saya daripada teruja apatah lagi bangga atas lantikan yang di luar dugaan saya sendiri. Saya insaf bahawa tanggungjawab dan cabaran yang besar menunggu saya. Saya menyertai semula bahtera tamadun itu dalam keadaan bahtera itu sedang dilambung ombak, khususnya kemelut penswastaan pencetakan dan pengedaran terbitan DBP yang menjelang tiga tahun tamat perjanjiannya menghadapi krisis dengan syarikat konsesi yang dilantik. Syukur untuk buku teks tahun 2012 pengurusan di bawah teraju Dato' Termuzi Abd. Aziz dapat dicetak dan diedarkan menjelang sesi persekolahan 2012 walaupun dalam kemelut yang gawat. Tidak dapat dibayangkan betapa besarnya krisis negara yang berlaku jika buku teks tidak dapat disiapkan dan dihantar ke sekolah di seluruh negara pada waktu yang sepatutnya.

    Langkah sementara yang berkesan itu ternyata belum menamatkan kemelut, kerana ada tempoh hampir dua tahun yang perlu ditunggu sebelum tiba tarikhntamatnya perjanjian penswastaan. Sementara itu, cabaran terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan tidak pula memperlihatkan keadaan yang lebih membahagiakan. Tugas utama saya adalah untuk memastikan terlaksananya Dasar Bahasa Kebangsaan dengan semaksimumnya dalam rangka menjadikan bahasa Melayu berperanan sebagai wasilah pembinaan negara melalui pelaksanaannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perantaraan segala bidang ketamadunan negara.

    Kepada Allah kita berdoa mudah-mudahan Dia memberikan inayah-Nya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum Sdra Zul.

      Saya ini cuma insan biasa yg sering mengikuti perkembangan bahasa di tanah air kita ini. Terlebih dahulu diucapkan tahniah diatas lantikan Prof Awang Sariyan. Buat saya orang perjuangan bahasa begini sepatutnya sudah lama diberikan kedudukan dalam mempertabatkan bahasa Melayu di bumi tercinta ini.
      Semoga bahasa Melayu diberi tempat yang sewajarnya dengan adanya orang-oang seperti Prof menerajui DBP.
      Negara jiran lain sudah tidak ada masaelah dengan bahasa resminya, malangnya bagi Malaysia, isu bahasa masih menjadi perdebatan dan yang sedihnya yang menjadi juaranya menentang kedudukan Bahasa Melayu adalah orang Melayu sendiri.Kita doakan semoga DBP dapat kembali memimpin dan menjuarai dalam perlaksanaan bahasa dalam negara ini.
      Insyallah.

      Delete
  2. Salam Adinda Zul,

    Begitu ketinggalan 'kapal terbang' teman ni rupanya!

    Teman dah slow gamaknya dalam kerja 'menghidu' perkembangan menarik seperti ini. Maklum dah lama beno pencen daripada beraktiviti mengikuti hala kemajuan tokoh-tokoh bahasa dan sastera kita(yang pernah teman kenal rapat ketika bertugas dahulu).

    Tak mengapa le. Teman cuma nak ucapkan terima kasih kepada adinda kerana memaparkan berita ini . . . sehinggakan teman baru saja tahu tentangnya . . .

    Melalui ruang komen ini juga teman berkirim salam kepada Sdr Awang Sariyan sambil mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas perlantikan itu.

    Dah lama . . . sepatutnya!

    ReplyDelete
  3. Salam, Prof,
    Sesiapa pun yang diletakkan di posisi yang Prof sandang sekarang akan berdepan dengan suatu realiti yang “menakutkan” seperti yang Prof gambarkan sendiri. Rakyat (saya sendiri, misalnya) sedang mengikuti perkembangan ini dengan sedekat-dekatnya, khususnya hal berkaitan Dasar Bahasa Kebangsaan yang seperti kata Prof “tidak pula memperlihatkan keadaan yang lebih membahagiakan” itu.

    Walau bagaimanapun, saya secara peribadi sangat yakin bahawa Proflah tokoh paling layak untuk menangani hal-hal demikian (sepatutnya Prof telah diberi tanggungjawab itu selepas persaraan Dato’ A. Aziz Deraman dahulu, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui rencana-Nya). Insya-Allah Taala, jika tidak berlaku politiking sepanjang Prof mengemudi bahtera bahasa ini, semua masalah akan dapat Prof tangani satu per satu, satu per satu.

    Saya akan senantiasa berdoa agar Prof terus kekal kuat dan beriltizam tinggi untuk meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya selain beroleh sokongan kakitangan yang tidak berbelah bahagi untuk mendepani masalah dalaman di situ. Amin.

    ReplyDelete
  4. Salam, Uda,
    Alhamdulillah, beliau dipilih Allah SWT untuk menakhodai DBP yang sudah beberapa lama "seperti tidak bernakhoda" itu.

    Dinda pun terasa lewat mengetahuinya walaupun telah lama tahu bahawa beliau akan duduk sebagai salah seorang timbalan nakhoda.

    Baik lewat sedikit daripada tidak tahu langsung, kan Da?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Adinda,

      Setuju sangat teman dengan pernyataan adinda tu.

      Jiran omputih teman pun (dengan izin) menyatakan:
      "Better late than never".

      Sebenonya . . . belum le terlalu lewat sangat kita ni weh. Berita tentang perlantikan Sdr Awang itu baru hari ini dapat teman baca dalam Harian Metro (9 Feb 2012).

      Apa pun kita doakan yang terbaik untuk beliau. Amin.

      Delete
  5. Salam, Sdr Abd. Rahman,
    Ya, setuju sangat saya dengan pandangan Sdr bahawa negara jiran kita tidak ada masalah apa-apa dengan hal pemerkasaan bahasa rasmi mereka.

    Entah mengapa, kita masih lagi terkial-kial untuk menobatkan bahasa rasmi kita. Hal ini akan terus berlanjutan kalau pemimpin kita bersedia untuk mencagarkan apa-apa sahaja demi kuasa. Lihat sahaja isu "Interlok".

    ReplyDelete
  6. Salam Sdra Zul,

    Saya bersetuju dengan Sdra Zul berhubung dengan Isu Interlok satu contoh yang amat melukakan bukan sahaja penulisnya malah saya sebagai orang kebanyakan pencinta sastera.
    Apabila saya bertanya kepada seorang Ahli Parlimen (melalui e-mail) mengapa beliau hadir dihari kaum itu berkumpul hendak membakar buku itu, jawapan yang diberi ialah dalam Parlimennya terdapat pengundi kaum tertentu yang perlu dijaga dan difahami akan perasaan kaum itu.
    Sedangkan Interlok ditulis berkisar sebelum Malaya Merdeka.
    Arthur Haley (penulsi Roots) sewaktu menukilkan kisah abang kandungnya Georage Haley yang disiarkan didalam Reader's Digest pada tahun 1963 ada menceritakan bagaimana abangnya seorang penuntut undang-undang Negro yang pertama diterima
    menuntut Universiti Arkansas. Beliau menulis "He might have entered Harvard Law Schoo, where he would not have had to live the life of a PARIAH." Kenapa mereka tidak memprotes pengunaan perkataan itu. (Makalah ini telah disiar kembali dalam Reader's Digest 2011 Edisi Khas)
    Apakah setiap kali kita perlu bertolak ansur sehingga menyebabkan seni dan sastera itu menjadi "pariah" yang tidak ada lagi nilainya lantaran undi sesuatu kaum itu hendak diraih dan dijaga.

    ReplyDelete