Tuesday, July 19, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA X: “Penggalan” dan “Pengalan” bukan “Potongan” atau “Keratan”

Ada peribahasa Melayu yang menyentuh perasaan – kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan atau ada juga yang mengungkapkannya sebagai kasih bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan. Lafaz peribahasa ini sangat menarik kerana adanya permainan rima yang seirama melalui kata jalan dan penggalan. Maksud peribahasa ini ialah kasih ibu/bapa terhadap anak lebih mendalam daripada kasih anak terhadap ibu/bapa. Memang benar pun kasih kita terhadap ibu bapa tidak setara dengan kasih ibu bapa terhadap kita kerana mereka menjaga kita untuk memastikan kita hidup sedangkan kita menjaga mereka sementara mereka hidup!

Peribahasa ini ada silapnya, bukan pada bentuk ungkapannya tetapi pada makna penggalan yang difahami oleh para penyusun kamus peribahasa. Dalam KDE4, kata penggalan didefinisikan sebagai: 1. keratan, potongan; 2. bahagian (cerita dll). Makna kedua KDE4 ini jelas tidak berkaitan dengan peribahasa ini. Dalam KIPME2, di bawah peribahasa ini, kata penggalan diberi makna “potongan”. Oleh itu, apabila makna ini dikaitkan dengan jalan, terasa penggalan yang mungkin sepanjang seruas tebu atau seruas buluh, dll itu tampak janggal dan terlalu umum pula. Harus ada makna lain daripada kata penggalan yang digunakan oleh leluhur kita dalam peribahasa ini.
                                                            
Yang sebenarnya, penggalan yang digunakan dalam peribahasa ini bukan merujuk kepada “potongan” atau “keratan” apa-apa pun, sebaliknya merujuk kepada galah, pengait, atau penjolok, iaitu sejenis alat yang digunakan untuk menjolok atau mengait apa-apa yang tinggi, khususnya buah-buahan, petai, kelapa, dsb yang sudah tentulah lebih panjang daripada seruas (sepotong) buluh atau seruas (sepotong) tebu. Oleh sebab itu, KDE4 perlu memasukkan makna yang ketiga untuk penggalan, iaitu “galah, pengait, atau penjolok” seperti KBBI yang mendefinisikan penggalan sebagai: 1 potongan; keratan; 2 bagian (cerita dsb); 3 galah dr bambu.

Malahan, sebenarnya, di Negeri Sembilan, terdapat kata pengalan (disebut sebagai pongolan) yang merujuk kepada galah, pengait, atau penjolok ini, bahkan dalam KDE4 sendiri, kata pengalan merupakan salah satu entri di dalamnya (lihat hlm 1171). Kata ini, dalam KDE4, didefinisikan sebagai “galah utk mengait buah dll, pengait”! Lebih daripada itu, ada saya temukan bentuk kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang galah. Penyalin barangkali sedar bahawa bentuk penggalan itu memang bermaksud “galah”, lalu menggantikan penggalan dengan galah, namun usaha itu telah mengurangkan nilai keindahan peribahasa ini dari segi persamaan rimanya.

Maka, bentuk peribahasa ini, pada hemat saya, boleh sahaja terungkap dalam dua bentuk, iaitu sama ada kasih ibu/bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang penggalan atau kasih ibu/bapa sepanjang jalan, kasih anak sepanjang pengalan. Sekali lagi ditegaskan, penggalan/pengalan dalam peribahasa ini merujuk kepada “galah”, bukan “potongan” atau “keratan”.

Allahu Taala a’lam.

Monday, July 18, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA IX: “Terhengit-hengit” bukan “Terhenti-henti”

Peribahasa terhengit-hengit bagai rumput di tengah jalan, mati segan hidup tak mahu adalah antara peribahasa yang dapat dikatakan langka digunakan orang dalam penulisan dan perbualan (apatah lagi Karam Singh Walia). Peribahasa yang tergolong sebagai perumpamaan ini mendukung dua maksud, sekurang-kurangnya, iaitu “keadaan hidup yang melarat dan miskin” dan “menderitai sakit yang berpanjangan”.

Tentang kata terhengit-hengit itu, saya yakin bahawa banyak pengguna bahasa Melayu yang tidak tahu akan maknanya. Makna kata ini, baik dalam KDE4 mahupun dalam KBBI, ialah “selalu sakit-sakit; merana”, yang dengan demikian, dalam peribahasa itu, memang sangat padan digandingkan dengan keadaan rumput yang tumbuh di laluan manusia, yang sering diinjak orang hingga demikian payah dan sengsara hidupnya!

Kebanyakan kamus peribahasa, termasuklah KIPME2 menggunakan bentuk yang sama inilah – terhengit-hengit bagai rumput di tengah jalan, mati segan hidup tak mahu! Malangnya, entah bagaimana KDE4 tidak pula menggunakan bentuk yang dibicarakan ini. Di bawah entri rumput (hlm 1353), dapat kita temukan bentuk terhenti-henti bagai rumput di tengah jalan, mati segan hidup tidak mahu!

Jelas bahawa ungkapan terhenti-henti itu langsung tidak padan dengan rumput yang tumbuh statik di tempat asal hidupnya (tidak bergerak ke mana-mana), bahkan tidak sesuai juga untuk digandingkan dengan ungkapan mati segan hidup tidak mahu itu. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada kesilapan dalam KDE4 itu adalah sama ada penyalin awal tidak sedar akan kewujudan kata hengit itu ataupun kerana silap taip.

Maka, perlulah peribahasa itu dibetulkan bagi menanjakkan derajat KDE4 yang menjadi “kitab pegangan” para pengguna bahasa Melayu di negara ini! 

Friday, July 15, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA VIII: “TOMBONG” BUKAN “SOMBONG”

PADA siaran saya lama dahulu, ada saya ketengahkan bentuk-bentuk ungkapan peribahasa yang salah dalam kamus-kamus pegangan kita, khususnya KDE4 dan KIPME2. Pendedahan ini tidak ada matlamat lain selain untuk membetulkan serta memelihara dan memurnikan mutiara kata pusaka nenek moyang yang diwariskan kepada kita sejak saman silam. Walau bagaimanapun, pendedahan ini belum tentu betul sepenuhnya, bahkan perlu dibincangkan dan dikaji dengan sewajarnya.

Sekali ini, saya hendak membicarakan peribahasa bagai ayam di tombong, kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi (KDE4) dan bagai ayam si tombong, kokok berderai-derai ekor bergelumang tahi (KIPME2). Terdapat perbedaan kecil pada peribahasa yang mempunyai maksud yang sama ini – orang yang cakapnya besar sedangkan kaumnya sendiri hidup melarat – iaitu pada ungkapan di tombong dan si tombong. Kata tombong itu, pada kedua-dua kamus, diertikan sebagai “sombong”!

Benarkah tombong pada peribahasa itu bermaksud “sombong”? Sebenarnya, tidak! Tombong pada peribahasa itu berasal daripada kata tumbung yang bermaksud “kecambah dalam buah kelapa tua yang berwarna putih kekuningan, isinya lembut dan boleh dimakan”. Daripada bentuk tumbung kelapa itulah munculnya tumbung/tombong pada peribahasa yang dibincangkan ini, yang merujuk kepada sejenis penyakit dubur terkeluar (bawasir/prolaps) yang bukan sahaja dialami manusia, tetapi juga haiwan seperti ayam.

Ayam yang menderitai penyakit ini memang najisnya bergelimang di ekornya (kerana ayam tidak dapat membasuh najisnya seperti manusia, apatah lagi memakai lampin bagi mengelakkan najisnya mengotori ekornya). Namun memang demikian sifatnya ayam, betapa kotor pun ekornya oleh najis daripada penyakit tumbung duburnya itu, tetap juga berdegar-degar kokoknya. Maka, daripada keadaan ayam yang demikianlah leluhur kita berkias untuk menyindir golongan yang dimaksudkan dalam peribahasa ini.

Saya merujuki Kamus Besar Bahasa Indonesia dan kamus tesaurus bahasa Melayu, tidak saya temukan kata tombong/tumbung yang mendukung maksud “sombong” seperti dalam KDE4 yang barangkali terhasil semata-mata untuk menempatkan peribahasa ini. Mungkin kata ini ada dalam dialek tertentu, saya kurang pasti. Lebih daripada itu, ungkapan di tombong pada peribahasa ini dalam KDE4 jelas tidak tepat kerana ungkapan yang benar ialah si tombong/si tumbung.

Sama ada hendak menggunakan tumbung (rasmi) atau tombong (dialek Negeri Sembilan), yang pasti kata ini bukan mendukung maksud sombong dan hal ini perlu diperbetulkan, khasnya pada peribahasa yang dibicarakan ini.

Thursday, July 14, 2016

PERIBAHASA WARISAN BANGSA VII: PERIHAL “SAYAT” DAN “SAYAK”

Kata sayat dalam bahasa Melayu bermaksud “hiris”. Daripada kata akar sayat itu muncullah kata sesayat yang sama maksudnya dengan “sehiris” selain memunculkan kata menyayat yang sama pula dengan kata “menghiris”.

Kata sayak pula, dalam bahasa Melayu, merujuk kepada tempurung kelapa yang dibelah dua. Sayak, pada zaman dahulu, digunakan sebagai bekas dengan pelbagai tujuan – sebagai mangkuk, cawan, senduk, gayung, dan sebagainya.




Beberapa contoh sayak dan kegunaannya

(Gambar diambil daripada 
Anak-Anak Minang@MinangOfficial dan
maharadjo.wordpress.com)

Seperti biasa, cendekiawan silam – leluhur kita – kerana dekat dengan alat ini, mengangkat derajat sayak dengan menjadikan alat ini sebagai salah satu unsur kiasan dalam bidalan/perumpamaan/peribahasa ciptaan mereka.

Hingga demikian, muncullah peribahasa dijual sayak, dibeli tempurung sebagai kiasan kepada “sesuatu yang tidak menampakkan perbezaan daripada yang lama”. Kemudian ada pula peribahasa biasa di sayak dibawa ke dulang, biasa kepada awak dibawa kepada orang yang bermaksud “kejahatan diri sendiri janganlah diukur dengan kejahatan orang lain”. Akhir sekali, ada peribahasa air yang jernih, sayak yang landai yang bermaksud “segala sesuatu berlaku dengan adil dan benar”.

Untuk kata sayat yang bermaksud “hiris itu”, ada peribahasa kurang sesayat sebelanga yang bermaksud “sesuatu yang hanya sedikit sahaja kurangnya”. Peribahasa kurang sesayat sebelanga inilah yang hendak dibicarakan dalam siaran kali ini.

Betulkah demikian bentuknya – sayat dan belanga digandingkan dalam peribahasa? Belanga seperti yang kita ketahui, ialah periuk yang dibuat daripada tanah, digunakan sebagai bekas untuk menanak nasi dan bubur, memasak sayur, ikan, dll, menjerang air, dsb.

Jadi, bagaimanakah sesayat menjadi padanan untuk sebelanga. Apakah yang disayat? Daging atau sayur atau mangga atau bawang, boleh jadi! Walau bagaimanapun, sebelanga daging, sayur, mangga, bawang, yang tiga suku penuh cukupkah sesayat untuk memenuhkannya?

Atau kalau penuh tepu belanga itu, sebenarnya, baik sayatan daging, sayur, mangga, atau bawang masih boleh dimuatkan ke dalamnya. Tidak mungkin kurang sesayat sahaja untuk memenuhkan belanga itu. Tidak percaya anda cubalah!

Saya berpendapat bahawa bentuk ungkapan yang tepat bagi peribahasa ini ialah kurang sesayak sebelanga. Dalam konteks ini, hanya kurang sesayak santan, air, beras/nasi, bubur, dsb untuk menjadikan belanga itu penuh dengan muatan yang dimaksudkan.

Walau bagaimanapun, semua kamus peribahasa yang saya rujuk (termasuklah KDE4 dan KIPM2) menggunakan bentuk ungkapan kurang sesayat sebelanga. Hal ini perlu diteliti dan dikaji semula supaya keintelektualan leluhur kita melalui peribahasa terpelihara.

Wallahutaala a‘lam. 

Friday, August 28, 2015

1 SEPTEMBER 2015 – MELANGKAHLAH MAB, SELAMAT TINGGAL MAS

MULAI 1 September 2015, akan bermulalah era baharu bagi MAS yang mulai tarikh itu tidak lagi beroperasi sebagai entiti kerajaan sebaliknya beroperasi sebagai entiti komersial. Beroperasi sebagai entiti komersial bermaksud bahawa syarikat penerbangan itu tidak lagi boleh meminta talian hayat daripada kerajaan apabila kelak ditimpa masalah. Mulai tarikh itu juga, MAS “dikuburkan” namanya untuk kemudiannya dikenal dengan nama yang baru – MAB (Malaysia Airlines Bhd).

Untuk menjadikan MAB berdaya saing dan mencatat keuntungan, langkah-langkah penstrukturan semula telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan yang baharu. Daripada sejumlah 20,000 orang tenaga kerja yang pernah bernaung di bawah payung MAS, pihak pengurusan yang baharu telah melakukan tindakan drastik dengan hanya “mengekalkan” 14,000 orang daripada mereka. Hal ini bermaksud bahawa pihak pengurusan baharu telah “membuang” 6,000 orang daripada mereka dengan pampasan. Pihak pengurusan baharu juga telah membuat rundingan semula kontrak-kontrak pembekalan selain merasionalkan laluan dan destinasi penerbangan.

14,000 orang tenaga kerja yang dikekalkan sekarang bakal mencipta sejarah baharu jika sejarah silam MAS yang memalukan itu segera dipadamkan dengan semangat untuk maju bersama syarikat, semangat untuk membina kerjaya bersama syarikat, dan yang lebih penting memiliki semangat patriotik yang tinggi untuk menanjakkan nama ikon penerbangan negara ini. Ya, kalian bakal pencetus sejarah baharu syarikat penerbangan ulung negara ini seandainya kalian, dengan kebijaksanaan pihak pengurusan MAB, dapat mengembalikan RM19.2 bilion wang rakyat yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk memulihkan MAS sepanjang tempoh 2001–2014 dahulu.

MAB tidak akan kembali pulih, malah mungkin akan terus lenyap dari persada dunia penerbangan tanpa keikhlasan dan ketelusan serta kesungguhan 14,000 orang tenaga kerja yang dikekalkan. Demikian juga, tanpa keberanian dan ketegasan pihak pengurusan yang khabarnya telah memperbaik dan memperbetul kontrak-kontrak pembekalan yang didakwa berat sebelah dan lebih membebankan MAS dahulu, MAB juga akan menghadapi kesukaran untuk mencatatkan keuntungan.

Harus kita ingat, bercakap soal MAS bukan seperti kita bercakap tentang syarikat biasa; kita sebaliknya bercakap tentang ikon negara – seperti PNB, seperti Felda (?), seperti Tabung Haji, dll. Dalam hal ini, sebarang kesilapan oleh pihak kerajaan dalam memilih peneraju yang menguruskan syarikat-syarikat itu hingga menyebabkan syarikat itu telungkup, akan mengaibkan negara, mengaibkan bangsa kita juga. Dalam konteks MAS (dan kini MAB), kita harus berasa malu terhadap syarikat penerbangan di Singapura yang tidak mempunyai destinasi penerbangan domestik, sebaliknya hanya bergantung harap pada destinasi penerbangan antarabangsa, tetapi masih mampu menjadi antara peneraju syarikat penerbangan dunia!

Oleh itu, kepada semua tenaga kerja yang tinggal, ayuh mulakan langkah anda mulai 1 September nanti ke arah mengangkat darjat MAB sebagai salah sebuah peneraju penerbangan dunia! Siap sediakan fizikal dan mental anda untuk mencapai matlamat itu.

Monday, August 24, 2015

NASIB MELAYU (BANGSATKAH)

Bagi orang-orang yang normal, tidaklah sulit hendak menaupkan bibir atas dan bibir bawah, hendak menggoyang-goyangkan lidah. Gerak-gerakkanlah bibir bawah, goyang-goyangkanlah atau kontal-kantilkan lidah, maka terhamburlah deretan kata. Apa-apa sahaja kata — sama ada yang molek ataupun yang jelik — akan terhambur dan terloncat daripada mulut, daripada sepatah menjadi ayat yang beruntai-untai, meretup-retap bak bertih digoreng!

Demikianlah keadaannya — amat mudah untuk seseorang berkata macam-macam — yang berdegar-degar ataupun yang biasa-biasa. Hingga demikian, terkejut dan tertanya-tanyalah kita apabila ada pihak yang berkata bahawa kita orang Melayu akan bangsat tanpa PEKEMBAR. Sangat mudah kalimat itu dituturkan, semudah meluahkan kotoran dari dalam mulut, tetapi bukan sedikit yang terlopong dan terkerising — sama ada hendak mengeyakannya ataupun sebaliknya.

Tulisan Jawi telah demikian lama menjadi bangsat, tidak lagi menjadi alat penting untuk penyebaran ilmu, malah keberadaannya di negara ini bak melukut di tepi gantang, lapar sangat baru berguna. Siapakah yang membangsatkannya? Bahasa Melayu sendiri kini seakan-akan menjadi bahasa bangsat, bahasa merempat, bahasa kelas rendah walaupun diangkat Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi. Siapakah yang membangsatkannya?

Keluasan tanah rizab Melayu semakin hari semakin mengecut — daripada 3.1 juta hektar (23.92%) pada tahun 1931 kepada 1.57 juta hektar (11.99%) pada tahun 2009. Siapakah yang membiarkannya menjadi kecil? Bukan cerita dongeng tanah milik orang Melayu diambil untuk pembinaan sekolah, hospital, kilang, pembandaran, dan lain-lain sedang tanah milik orang bukan Melayu tidak diusik seinci pun.

Melayu Pulau Pinang semakin terhimpit, terdera, tersisih, dan terbangsat. Kampung-kampung Melayu diambil alih sesuka hati. Agak-agaknya, siapakah yang membangsatkan mereka sejak awal dahulu? DAP ... GERAKAN ... PAS? Negeri Kelantan diterajui oleh PAS (bukan UMNO) sejak lebih 20 tahun dahulu, bangsatkah Melayu di negeri itu? Negeri Selangor diterajui oleh PR (PAS-PKR-DAP) sejak tahun 2008 yang lalu, bangsatkah Melayu di negeri itu?

Di peringkat negara, ya Melayu sekarang menjadi bangsat — oleh GST, oleh kenaikan harga barangan (kenaikan harga rumahlah yang paling membangsatkan Melayu sekarang!), oleh kadar RM yang menjunam (sampai diletakkan pada taraf POA — Price On Application/Asking), oleh pengangguran, oleh pemberhentian kakitangan, oleh macam-macam! Siapakah yang memerintah negara kala ini?

Sangat bagus untuk menyedarkan rakyat tentang hakikat ketuanan Melayu, tentang nasib Melayu masa depan, tetapi semaklah hakikat sebenarnya dengan sebaik-baiknya — akuilah kesilapan, berjanjilah, dan beriltizamlah untuk membetulkannya....

Wednesday, August 12, 2015

WAH, LALAT

SEGALA jenis lalat ... daripada langau, pikat, lalat hijau, lalat kerbau, lalat kuda, lalat tse-tse, lalat buah datang berdengung dan berdenging, menyerbu penduduk di mukim Masnagara. Tidak ada satu pun lalat yang segala macam dan jenis itu yang datang dari tempat yang bersih dan suci melainkan datangnya dari tempat yang kotor, jijik, dan cemar jua adanya. Kerana datangnya demikian banyak dan bergerombolan, maka jeralah orang-orang di Masnagara yang menjadi mangsa serbuan menepis serbuan segala macam lalat itu. Tidak cukup dengan menepis dan menangkis, mereka menyemburnya dengan segala macam racun serangga. Namun demikian, segala kaedah dan alat pembunuh serangga itu tidaklah pula dapat menghapuskan serbuan lalat-lalat itu. Maka, muncullah idea baharu  mereka meletakkan segala macam kotoran dan sampah sarap, daripada sisa makanan sampailah kepada najis dan bangkai di sekeliling mereka supaya lalat-lalat itu tidak menyerbu mereka melainkan menyerbu kotoran dan sampah sarap di sekitar mereka. Ternyata gerombolan lalat itu tidak mengganggu mereka. Bebaslah mereka daripada gangguan lalat-lalat itu. Walau bagaimanapun, bau yang yang berpunca daripada segala macam kotoran dan sampah sarap itu sedikit banyak mengganggu penduduk Masnagara hingga bukan sedikit daripada mereka yang tidak lalu makan oleh gangguan bau itu. Sekarang mereka sedang memikirkan idea baharu pula, kotoran dan sampah sarap yang mengeluarkan bau busuk itu seharusnya hendak diapakan supaya kehidupan mereka tidak terganggu olehnya?