Wednesday, December 30, 2009

Azam Tahun Baharu Pun Bida‘ah Juga

Bersempena dengan kehadiran tahun baharu Masihi 2010 ini, banyaklah hal yang tidak perlu akan dihidangkan kepada rakyat negara ini. Dalam hal ini, rakyat yang paling banyak terlibat dalam meraikan kehadiran tahun baharu 2010 itu kelak sudah tentulah golongan remaja. Perlukah kehadiran 2010 Masihi itu disambut dengan sedemikian rupa?

Ada ibu bapa Islam yang sedar bahawa sambutan tahun baharu Masihi itu sesat dan menyesatkan lalu melarang anak mereka terlibat dalam “pesta” itu. Alasan yang dipegang ibu bapa Islam yang sedar itu mudah – sambutan tahun baharu Masihi tidak terdapat dalam budaya dan agama Islam seperti halnya dengan sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Israk dan Mikraj, Ramadhan al-Mubarak, Nuzul al-Quran, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidil Adha, dan lain-lain. Ada ibu bapa yang berjaya menghalang anak-anak mereka daripada terlibat dengan sambutan itu, tetapi tidak kurang yang gagal mengawalnya. Di satu sudut lain, bukan sedikit jumlah ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka meraikan sambutan itu!

Aktiviti-aktiviti yang direncanakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengisi dan membesar-besarkan sambutan tahun baharu 2010 itu sebenarnya lebih condong ke arah yang melalaikan dan sangat berlawanan dengan roh Islam – nyanyian, tarian, makan minum, pengiraan detik jam 12:00 yang diikuti sorak-sorai, dan sebagainya itu yang berserta dengan percampuran lelaki perempuan – hanya sesuai untuk orang yang mempeloporinya, iaitu orang bukan Islam! Mengikuti dan meniru amalan orang bukan Islam ditegah oleh Islam. Hal ini ada dinyatakan di dalam al-Quranul Karim (surah al-Furqan, ayat 72) yang bermaksud:
... mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.
Nabi SAW sendiri ada menyentuh hal ini melalui sabda baginda:

Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang daripada (kalangan) mereka.”
(Riwayat Abu Daud)

Perkara terpenting yang perlu diingat oleh sesiapa pun juga ialah, tahun baharu – sama ada tahun baharu Hijrah mahupun tahun baharu Masihi – tidak akan memberikan makna apa-apa sekiranya hari yang bertarikh 1 Muharam atau 1 Januari yang disambut mereka itu tidak lebih baik daripada hari-hari yang dilalui mereka sebelumnya!

Semua pihak perlu berhenti “memberikan sokongan” kepada peminat pesta tahun baharu Masihi ini. Media massa tidak usahlah mengadakan apa-apa program yang bersangkutan dengannya. KTM Berhad tidak perlulah melanjutkan perkhidmatannya sehingga awal pagi 1 Januari bersempena dengan sambutan itu. Pihak Jabatan Agama Islam di semua negeri perlu lebih lantang bersuara tentang kesongsangan sambutan itu, bukan kepada orang bukan Islam, tetapi kepada orang Islam. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (yang menguruskan hal-hal berkaitan agama Islam) mesti berani bersuara.

Kepada saya, tidak perlulah ditanyai apakah azam tahun baharu saya.

4 comments:

  1. Salam, tuan. Apabila memperkatakan tentang pesta sambutan tahun baru, saya teringat bicara seorang teman seperjuangan.

    Katanya, "Bulan September adalah bulan menyambut kelahiran anak luar nikah hasil pesta malam tahun baru dan Oktober pula bulan menyambut kelahiran anak luar nikah hasil pesta Valentine's Day. Kalau tidak percaya, tunggulah katibaan dua bulan tersebut, pasti banyak kes buang anak berlaku pada ketika itu".

    Nauzibillah... Semoga Allah memberikan hidayah Nya kepada anak-anak muda beragama Islam. Amin.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni;
    Amin....

    Kalau itulah hakikatnya, sudah terlalu jauh lajaknya anak-anak muda kita. Besar benar fitnah dunia ini kepada kita.

    Semoga petunjuk juga diberikan kepada ibu bapa supaya mendidik anak mereka dengan betul. Amin....

    ReplyDelete
  3. Salam.Tahun ini sambutannya diadakan pada malam jumaat. Para orang-orang besar agama diam membisu.Tiada komen diberikan. Melompat, menarilah anak remaja islam kita sampai pagi. Bila azan subuh berkumandang mereka semua pun mulalah melelapkan mata.

    Selamat tahun baru masehi.

    ReplyDelete
  4. Salam, Syekh;
    Teman saya terserempak dengan sekumpulan remaja (lelaki perempuan) yang dilihatnya berkumpul di sekitar kediamannya pada tengah malam tahun baharu keluar dari hotel yang ada di taman perumahan kami pada keesokan paginya. Apakah sangkaan kita?

    ReplyDelete