Sunday, May 16, 2010

Atlet Malaysia Lemah Ketahanan Mental?

Kekalahan pasukan badminton Malaysia di tangan pasukan badminton China pada peringkat separuh akhir Piala Thomas bukanlah suatu isu besar dan kita tidak perlu sampai berasa sangat malu atas kekalahan itu. Saya berkata demikian kerana kita kalah di tangan pasukan badminton yang mempunyai barisan pemain yang memang handal. Lin Dan, Fu Haifeng dan Cai Yun serta Chen Jin bukanlah sembarangan pemain. Status pemain badminton China itu sebenarnya sama dengan status pemain badminton Denmark yang kita kalahkan pada peringkat suku akhir — Peter Hoeg Gade, Jan Ø Jørgensen, Joachim Persson, Carsten Mogensen/Mathias Boe, dan Lars Paaske/Jonas Rasmussen. Hal ini juga bukan menjadi isu kerana kita hanya merupakan pilihan ketiga dalam kejohanan ini dan pihak BAM sendiri khabarnya menyasarkan kejayaan kita hingga peringkat separuh akhir sahaja!

Cuma kita berasa sedikit kecewa dengan cara kita kalah di tangan pasukan badminton China yang merupakan pasukan pilihan utama itu. Baik Lee Chong Wei dan Koo Kean Kiat dan Tan Boon Heong apatah lagi Wong Choon Han, semuanya tidak dapat melepasi 10 mata pada set kedua dalam persaingan pada peringkat itu. Chong Wei kalah 17-21, 8-21 di tangan Lin Dan, Kean Kiat dan Boon Heong kalah 15-21, 10-21 di tangan Haifeng dan Cai Yun manakala Choon Han kalah 16-21, 7-21 di tangan Chen Jin. Saya menjangkakan Chong Wei dan Kean Kiat/Boon Heong akan kalah dalam permainan rubber.

Pada pandangan saya, isu besar yang harus dibicarakan daripada kekalahan itu ialah sifat pemain kita. Mereka ini, tidak kira dalam sukan apa-apa pun, akan tewas apabila harapan yang tinggi diletakkan di pundak mereka. Mengapakah hal ini selalu berlaku kepada atlet kita? Adakah tahap ketahanan mental mereka begitu lemah? Saya berpendapat bahawa latihan gigih tidak memberikan makna apa-apa kalau ketahanan mental mereka tumpul!

Lihat sahajalah kekalahan kita di tangan pasukan badminton Jepun dalam perlawanan peringkat kumpulan — betapa lemahnya ketahanan mental beberapa orang pemain kita sehingga kita kecundang 2-3 di tangan pasukan bukan pilihan itu. Sebagai imbasan, inilah keputusan penuh perlawanan Malaysia-Jepun itu.

  1. Lee Chong Wei mn Kenichi Tago 21-12, 21-13
  2. Koo Kean Keat/Tan Boon Heong mn Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto 21-13,21-17
  3. Wong Choong Han kk Sho Sasaki 17-21, 18-21
  4. Mohd Fairuzizuan Tazari/Zakry Latif kk Kenichi Hayakawa/Kenta Mazuno 15-21, 12-21
  5. Muhammad Hafiz Hashim kk Shoji Sato 10-21, 21-14, 18-21

Sebagai perbandingan, kita bandingkanlah Lin Dan, pemain badminton China itu. Selain memiliki corak permainan sempurna dari aspek teknik dan mantap pula tahap fizikalnya, dia juga memiliki ketahanan mental yang luar biasa! Dia dapat menyerap tekanan yang diberikan oleh penyokong tempatan yang sebahagian besarnya merupakan penyokong pasukan badminton Malaysia. Begitu juga halnya dengan pemain badminton China yang lain.

Jadi, sesuatu perlu dilakukan kepada atlet kita supaya mereka dapat menunaikan harapan tinggi rakyat Malaysia yang telah mengorbankan wang mereka demi pembangunan sukan.

4 comments:

  1. Salam, tuan.
    Kata mereka, kita belum cukup kuat.
    Kata kita, pasukan kita sudah cukup tua.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Yang kedua itu sangatlah betulnya. Dah ganyut pun masih nak dipilih untuk melawan orang yang berusia 21 tahun!

    ReplyDelete
  3. tidak juga, bagi saya team malaysia bukan tidak kuat tetapi china terlalu gagah...

    ReplyDelete
  4. Salam, Anon;
    Hakikat bahawa pasukan China sangat handal memang saya akui. Hal ini saya sentuh dalam perenggan pertama siaran saya. Cuma mental mereka perlu dibaiki. Itu isu besarnya. Kita lihatlah bagaimana Indonesia kalah di tangan China malam tadi. Adakah mereka tidak melawan seperti pasukan kita? Saya menyokong Indonesia malam tadi dan saya puas hati dengan cara mereka kalah.

    ReplyDelete