Wednesday, May 12, 2010

Fikiran yang Jungkir Balik

Semasa PRK Hulu Selangor hendak berlangsung baru-baru ini, peribadi calon yang bernama Dato’ Zaid Ibrahim telah dihina oleh pihak yang hendak merampas kerusi Hulu Selangor itu. Kejahatan silam Dato’ Zaid, yang dikategorikan mereka sebagai peminum arak tegar, telah didedahkan kepada umum.

Di pihak yang mendedahkan kejahatan silam Dato’ Zaid itu, niat mereka tidaklah sukar untuk ditelah. Mereka sebenarnya hendak membuka mata para pengundi Islam di kawasan Hulu Selangor, bahawa calon yang bernama Dato’ Zaid Ibrahim itu tidak Islamik dan oleh sebab tidak Islamik, beliau tidak layak dipilih sebagai Wakil Rakyat untuk bercakap di Parlimen.

Dari sisi lain, pendedahan itu telah “menyerlahkan” sikap dan pendirian pihak yang membuat pendedahan itu, iaitu bahawa mereka sangat menitikberatkan Islam. Dengan kata lain, mereka sangat Islamik.

Malangnya, setelah pihak yang membuat pendedahan itu berjaya membuka mata para pengundi Islam di Hulu Selangor dan setelah mereka kelihatan “agak” Islamik, tiba-tiba timbul pula berita mereka hendak mengeluarkan lesen perjudian kepada pihak-pihak tertentu bersempena dengan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung pada bulan Jun akan datang.

Orang jadi keliru dan celaru dengan tindakan mereka kerana setelah “melarang” para pengundi di Hulu Selangor memilih Wakil Rakyat yang kononnya kaki botol (tidak Islamik), mereka hendak membenarkan rakyat keseluruhannya mengamalkan perjudian pula. Betapa jungkir baliknya fikiran mereka!

Kekeliruan dan kecelaruan yang sama dapat kita lihat dalam pendakwaan yang dikenakan terhadap penasihat sebuah parti pembangkang. Penasihat parti itu sedang dibicarakan di mahkamah kerana didakwa telah “melakukan” seks luar tabii dengan orang yang sejantina dengannya. Pada masa yang lain, seorang lagi pengamal seks luar tabii (yang baru sahaja memenangi kerusi Presiden sebuah parti) bebas dan tidak dikenakan dakwaan apa-apa pun di mahkamah. Walhal perlakuan seks luar tabii Presiden itu sahih dan nyata buktinya. Celaru tak fikiran kita? Jungkir balik tak fikiran mereka?

Berbalik kepada soal niat untuk mengeluarkan lesen perjudian itu – khabarnya pihak yang telah berjaya memperlihatkan (untuk seketika) keIslamikan mereka itu, akan tetap meneruskan niat mereka (malah khabar terbaharu mengatakan bahawa pengendali perjudian itu sudah pun dipilih). Walhal jauh sebelum tindakan itu, pihak yang kelihatan Islamik itu dan kita juga telah diingatkan oleh Allah SWT perihal arak dan judi di dalam beberapa surah, antaranya surah al-Maidah, ayat 90:

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, bertenung nasib dan juga berhala-berhala merupakan najis dan sebahagian daripada amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya semoga kamu berjaya (yakni di dunia dan di akhirat)”.

Allah juga telah mengingatkan mereka dan kita sendiri di dalam surah al-Baqarah, ayat 219:

Dan mereka bertanyakan kamu (wahai Muhammad) perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua-duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak daripada kebaikannya”.

Berdasarkan ayat 219 dalam surah al-Baqarah itu, jelas bahawa dosa yang dikendong oleh amalan perjudian sangat banyak berbanding dengan kebaikannya. Tetapi, disebabkan fikiran mereka jungkir balik, yang dipilih oleh mereka ialah yang lebih banyak itu, iaitu dosa.

Jadi, siapakah yang dapat memberikan jawaban ini – adakah Allah SWT akan menangguhkan pembalasan-Nya terhadap orang yang meneruskan niat mereka untuk mengeluarkan lesen perjudian itu? Mungkin mereka berpendirian bahawa Allah SWT akan menangguhkan balasannya kerana baru-baru ini mereka juga telah melakukan sesuatu yang Islamik – menghentikan amalan pengalungan bunga di Tugu Pahlawan!

Lagi celaru fikiran kita. Lagi jungkir balik fikiran mereka. Wallahualam.

4 comments:

  1. Salam, Tuan Zulkifli.
    Apa yang tuan catatkan ini bukanlah sesuatu yang baru di Tanah Melayu tercinta. Apa sahaja yang memberi kelebihan dan manfaat bagi geng pakatan, akan dikatakan haram oleh geng barisan. Apa sahaja yang akan memberi kelebihan dan manfaat kepada geng barisan, akan dikatakan haram pula oleh geng pakatan. 2x5 dan 5x2. Pi mai pi mai, dok tang tu la juga. Perjuangan hak rakyat yang sebenar, entah di mana. Kecewa, bukan? Itulah yang ditanggung rakyat dahulu, kini dan selamanya!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Soal pokok dalam hal ini ialah mengapakah pihak pemerintah begitu desperado hingga tergamak untuk mengeluarkan lesen perjudian itu? Sampai bilakah fatwa para mufti tidak diendahkan? Mengapakah raja dan sultan tidak menegur hal ini, tetapi pada waktu yang lain memilih untuk melarang orang berceramah hal politik di surau dan masjid?

    Saya "kompius".

    ReplyDelete
  3. Ya, kita semakin keliru dengan apa yang benar dan apa yang salah. Semakin lama, semakin banyak perkara salah yang diputar belit sehingga kita menyangkanya sebagai benar. Memang aneh apabila ketua agama sendiri tidak bersuara dalam hal ini, tetapi tidak aneh apabila kita kenang semula pesan Rasulullah s.a.w, pada akhir zaman nanti semua orang suka berbuat dosa sehingga orang yang tidak melakukan dosa pula yang berasa bersalah kerana tidak ikut melakukan dosa. Nauzubillahi mikzalik. Semoga Allah menjauhkan kita daripada menzalimi diri sendiri.

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu;
    Oh, hampir lupa saya akan peringatan Rasulullah SAW itu! Memang benar, bercakap benar dan melakukan kebaikan sudah seperti kelihatan janggal sekarang. Astaghfirullahal azim.

    ReplyDelete