Friday, May 14, 2010

Keras Sangatkah Lidah?

Gaya dan cara orang berbahasa Melayu bermacam-macam. Ada orang yang tidak menyebut sesuatu kata dalam bahasa Melayu dengan betul. Ada (malah banyak sekali) orang yang langsung tidak mematuhi hukum tatabahasa.

Memang banyak rakyat Malaysia yang tidak mematuhi nahu bahasa Melayu dan tidak dapat mengenal pasti bentuk dan sebutan sesuatu kata dengan betul. Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak rajin untuk mempelajari nahu bahasa mereka sendiri dan culas untuk mengenal pasti bentuk dan sebutan sesuatu kata. Sikap buruk ini berlaku terus-menerus kerana mereka berpendirian bahawa dengan cara apa-apa pun orang Malaysia berbahasa Melayu sesama mereka, kebanyakannya akan faham.

Dalam hal menyebut sesuatu kata dengan betul dan tepat, nasib bahasa Melayu dapatlah dikatakan sebagai malang kerana bangsanya sendiri jarang-jarang hendak mendalami bahasanya sendiri walhal pada masa yang lain mereka dapat pula menyebut kata masquerade, picturesque, island, isle, aisle, honest, dan lain-lain dengan tepat dan baik walaupun ejaan untuk kata-kata itu sangat pelik kerana sebutannya jauh berbeda dengan yang divisualkan.

Orang yang paling biasa kita lihat tidak mematuhi hukum tatabahasa dan seperti tidak dapat menyebut sesuatu kata dengan tepat ialah public figure (figura awam?) seperti ahli-ahli politik, para artis, para penggiat media, malah ahli-ahli akademik sendiri. Oleh sebab “figura awam” ini sering menjadi perhatian, menjadi ikutan, dan diminati kebanyakan orang, maka tidak keterlaluanlah kalau dikatakan bahawa mereka inilah yang bertanggungawab menyebarluaskan kesalahan bahasa kepada kebanyakan orang. (*Kini, kesalahan seperti itu semakin leluasa melalui pengaruh SMS.)

Sebagai contohnya, banyak “figura awam” yang menyebut kata u/ngu sebagai ung/gu dan kata dungu sebagai dunggu. Malah, ada kalangan “figura awam” yang bukan calang-calang ketokohannya menyebut kata su/kan sebagai so/kan dan kata bu/ruh sebagai bo/roh. Tokoh yang yang bukan Melayu pula menyebut kata darah sebagai dara, dadah sebagai dada, mewah sebagai mewÄ›, dan sebagainya. Hal ini tidak termasuk “figura awam” yang menyebut kata seksa sebagai siksa, kata gores sebagai guris, dan sebagainya. Orang yang mendengar memang faham dan tahu akan apa-apa yang diperkatakan oleh “figura awam” itu, tetapi yang salah janganlah disebarluaskan! Kalau kata dalam bahasa Inggeris (seperti yang disenaraikan itu) dapat disebut dengan betul (siap dengan qolqolahnya), maka sukar sangatkah untuk menyebut kata dalam bahasa Melayu dengan betul. Keras sangatkah lidah?

Saya ingin menarik perhatian para pembaca melalui gambar ini. Apakah tanggapan para pembaca sekalian?


Kalaulah demikian arahannya, saya fikir banyak orang yang beragama akan menceroboh kawasan itu.


4 comments:

  1. Salam, tuan.
    Melihat pada gambar yang tuan paparkan itu, tidak mustahil satu ketika nanti saya juga ingin menjadi penceroboh. Teringin juga ambil tahu dakwah bagaimana yang diberikan. Sesekali, mahu juga mentarbiah diri. Hehehehee...

    Nota: nampaknya, para peguam perlu mengambil kursus berkaitan dakwah pula, jika dahulu mereka mendakwa, kini mereka mendakwah...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Kena hati-hati juga kalau hendak menceroboh di situ, bimbang pihak yang hendak mendakwahi kita itu Kristian , Hindu, atau sebagainya. Mereka peguam pulak tu. Macam mana?

    ReplyDelete
  3. salam akhi Zul...

    kalu dlm blog lagi kalut bahasa2 ni di porak perandakan .. he he he

    ReplyDelete
  4. Salam, Ummi Humaira yang dimuliakan Allah SWT;
    Betul juga tu. Eloklah kita sama-sama membetulkannya, demi kelangsungan bahasa kita.

    ReplyDelete