Friday, May 21, 2010

Presiden itu Sedang Ditekan-tekan

Saya sedang meneka-neka perihal perkembangan semasa dalam sebuah pertubuhan. Fasa menekan sedang bermula. Kali ini, fasa menekan itu rasa saya, lebih serius dan terus-menerus. Sama ada kaedah yang digunakan oleh pihak penekan semasa hendak menyungkurkan mantan PM akan digunakan terhadap Presiden yang bukan ahli Yang Berhormat itu, sama-samalah kita tunggu.

Pada fasa ini, langkah pertama telah pun dimulakan oleh penekan yang berjawatan Timbalan Ketua Pemuda pertubuhan itu. Timbalan Ketua Pemuda itu menyeru Presiden itu berundur lebih awal. Sang Presiden yang “sangat Ultraman” itu menyahut seruan Timbalan Ketua Pemuda itu dengan memberinya habuan berupa penyingkiran.

Kini, langkah kedua dimulakan oleh penekan yang berjawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat pula. Rasional yang diberikan oleh anggota itu terhadap seruannya ialah Sang Presiden yang Ultraman itu sudah lama sangat berkuku sebagai Presiden pertubuhan itu. Katanya lagi, “Kaum mereka akan bersatu kalau dia (Sang Presiden) meletakkan jawatan”.

32 tahun memimpin sesebuah pertubuhan memang sangat lama dan panjang. Kita tidak pasti mengapa orang berasa seronok memeluk jawatan ketua terlalu lama. Mungkin orang seperti itu merasakan dirinya hebat dan dia ingin mencipta sejarah. Mungkin. Orang yang rasional selalunya akan berundur semasa mereka berada di puncak kejayaan. Ah, orang-orang yang Ultraman tidak mungkin melakukan demikian!

Sang Presiden itu sudah terlalu banyak memangkas, suatu karakter yang hampir sama dengan karakter seorang lagi mantan Presiden sebuah pertubuhan lain. Kita lihat sekali ini, masih tajamkah parang Sang Presiden yang Ultraman itu untuk memangkas orang-orang yang menyerunya berundur.

Alah, berikan sajalah SSM kepadanya! Dia layak, apa!

4 comments:

  1. Salam, Tuan.
    Kali pertama saya membaca catatan berkaitan ULTRAMAN yang sangat menarik. HEhehehee.. Beginilah jadinya jikalau kita tidak puas memegang kuasa. Sesiapa pun yang ada pangkat (yang menjadi sumber kekayaan) akan jadi begini. Contoh mudah adalah dengan melihat usia persaraan. Daripada 55 tahun dilanjutkan ke 56 tahun, kemudian dicadangkan ke usia 58 tahun pula. Graduan semakin ramai menganggur dek kerana yang berusia ini enggan berundur (graduan akhirnya dijadikan kambing hitam - disalahkan kononnya tidak berkualiti menyebabkan mereka sukar mendapat kerja)... Dunia dan segala isinya memang tidak akan memuaskan hati sesiapa termasuk kita, jikalau kita terus alpa. Semoga tidak dijangkiti virus ULTRAMAN ini.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Ya, saya jadi jengkel dengan kenaikan usia persaraan itu. Semakin lama semakin banyak siswazah menganggur. Takkan nak suruh mereka jadi pemandu teksi, pemandu bas Rapid, dan lain-lain.

    Nak jadi pekerja kilang juga semakin sukar. Dulu ada Colgate Palmolive, Lever Brothers, Nestle, dsb tetapi sekarang semua dah berhambus ke Thailand, China, dll.

    Dengan wang persaraan yang ada, dengan sedikit bantuan anak-anak, saya kira para pesara mampu untuk menangani hidup hari tua mereka. Para siswazah yang baru nak hidup silap gaya menjadi peragut!

    ReplyDelete
  3. Tuan-tuan,
    Masalahnya sekarang yang minta bersara awal juga tidak dibenarkan. Saya ingin memohon bersara pilihan tetapi tindakan ini dipandang sinis dan diberikan gambaran awal permohonan saya tidak akan diluluskan.

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu Ghazali;
    Hal ini juga suatu unsur penindasan. Kalau sudah "tiada hati" kepada tugas, seperti Cikgu, bukankah lebih baik "dibebaskan".

    Kalau bersara awal, dalam tempoh yang produktif ini, tentu lebih banyak karya Cikgu yang bakal terhasil.

    Cabut saja tak boleh ke?

    ReplyDelete