Wednesday, May 5, 2010

RM546 Juta Sangat Banyak, RM227 Juta Pun Banyak Juga

YB Timbalan Menteri Kewangan menceritakan perihal kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia bagi tempoh tiga tahun adalah sebanyak RM227 juta sahaja. Laporan yang mengatakan kerugian Pos Malaysia adalah sebanyak RM546 juta (sehingga Kerajaan BN mengarahkan Khazanah Nasional Bhd menjual pegangan sahamnya sebanyak 32.2% dalam Pos Malaysia Bhd) tidak betul dan tidak benar sama sekali.

Berlakunya kerugian yang bernilai RM227 juta itu (kalau mengikut mulut YB Timbalan Menteri Kewangan itulah jumlahnya tetapi kalau mengikut lidah Tan Sri Adam Kadir dahulu, jumlahnya mencecah RM546 juta) adalah kerana Pos Malaysia telah membuat pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara – Transmile Group Berhad. Saham Transmile Group Berhad telah dibeli oleh Pos Malaysia pada tahun 2004 dan jumlah saham yang dibeli ialah 20%.

Menurut YB Timbalan Menteri Kewangan lagi, pada tahun 2007, Pos Malaysia mencatat kerugian sebanyak RM33 juta manakala pada tahun 2008, Pos Malaysia telah “meningkatkan” kerugiannya kepada RM35.8 juta pula. Walau bagaimanapun, Pos Malaysia kembali mencatat keuntungan sebanyak RM75.4 juta pada tahun 2009.

Menurut beliau lagi, Pos Malaysia dijangka akan mencatat keuntungan yang lebih tinggi setelah penyusunan semula dilakukan, antaranya termasuklah dengan menaikkan tarif setem daripada 30 sen kepada 60 sen.

Beberapa persoalan timbul daripada cerita ini.

  • Yang pertama ialah siapakah si bijak pandai yang mendorong Pos Malaysia melabur dalam Transmile Group Berhad itu?
  • Yang kedua ialah siapakah pula CEO Pos Malaysia pada waktu itu – adakah beliau memiliki merit, pengalaman, kelayakan, dan lain-lain sehingga dipilih sebagai CEO atau beliau hanya kroni yang kebolehannya biasa-biasa sahaja?
  • Yang ketiga ialah mengapakah Pos Malaysia tidak lekas-lekas menjual saham itu semasa harganya tinggi?
  • Yang keempat ialah mengapakah Pos Malaysia tidak melabur dalam Malaysian Airlines Cargo Sdn Bhd (Mas Kargo)?
  • Yang kelima ialah mengapakah pengguna juga yang dimangsakan oleh kebanyakan GLC apabila hendak meningkatkan keuntungannya?
  • Yang keenam ialah walaupun nilai kerugian Pos Malaysia hanya RM227 juta bukan RM546 juta, menteri yang berkaitan tidak berasa malukah dengan kerugian yang ditanggung itu?
  • Yang ketujuh ialah mengapakah lepas satu GLC, satu lagi GLC menanggung kerugian sehingga rakyat turut berasa malu?
  • Yang terakhir sekali ialah adakah Pos Malaysia akan menerima nasib yang sama dengan BERNAS?

4 comments:

  1. Salam, tuan. RM1 juta sudah terlalu banyak untuk rakyat marhain. Risau juga melihat satu per satu GLC bermasalah. Maklumlah, saya juga bekerja di bawah naungan GLC (TNB). Hehehee...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni;
    Bertenang, insya-Allah TNB selamat walaupun ada yang tidak betul di situ - IPP, misalnya. Saya cuma berasa malu kerana kebanyakan GLC dikepalai oleh orang Melayu dan kebanyakannya pula bermasalah. Hal ini mencerminkan ketidakpandaian dan ketidakupayaan Melayu berniaga.

    ReplyDelete
  3. bukan orang melayu yang bodoh
    tapi yang dilantik bukan berdasarkan merit tapi sejauhmana ia rapat dengan UMNO dalam amalan kroni..

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Faziz;
    Oleh sebab politik kroni dilakukan Melayu, hal ini telah mencemarkan Melayu keseluruhannya dan tidak banyak antara kita yang bersedia untuk berdemo bagi memastikan penyerahan GLC seperti BERNAS kepada para kapitalis berlaku. Entahlah, orang Melayu yang kita harapkan, orang Melayu juga yang mengkhianati kita.

    ReplyDelete