Wednesday, May 19, 2010

Wanita dan Ahli Parlimen

Wanita sering menyebabkan lelaki tidak dapat menunggang nafsunya dengan betul. Wanita sering menyebabkan orang lelaki tidak dapat mengatur akal fikirannya dengan waras. Wanita sering menyebabkan orang lelaki kelihatan bodoh.

Ketiga-tiga keadaan itu, selain pelbagai keadaan lain yang memperlihatkan kedunguan lelaki apabila melibatkan wanita, mengesahkan ungkapan “Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia”.

Di negara kita, seorang Ahli Parlimen, sekali lagi saya ulangi, seorang Ahli Parlimen, telah membelakangkan undang-undang yang sewajibnya diketahui oleh beliau hanya kerana seorang wanita. Dia telah melakukan kesalahan yang terdapat dalam undang-undang syariah di negara ini, iaitu mengamalkan poligami tanpa kebenaran mahkamah. Apakah akibat langsung daripada perbuatannya itu?

Beliau telah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000.00 atau penjara enam bulan jika tidak mampu membayar denda itu. Itulah akibat yang ditanggungnya atas perbuatannya itu, yang berpunca daripada kegilaannya terhadap seorang wanita.

Tetapi, kesan yang lebih parah daripada perbuatannya itu ialah beliau telah mencalar imej Ahli-ahli Parlimen yang lain dan jika beliau terus kekal sebagai Ahli Parlimen, kerosakan imej itu akan terus menjadi liabiliti kepada semua Ahli Parlimen.

Wanita tidak salah apa-apa. Mereka pendamping lelaki, oleh itu bijaksanalah mengawal nafsu dan akal.

Jika hendak menambah cabang, beranikan hati. Jika hati tidak berani, bergayutlah pada cabang yang satu itu. Jika masih hendak bercabang-cabang juga, buanglah cabang lama itu. Kalau cabang lama masih disayangi, lupakanlah niat di hati.

Negara kita berundang-undang. Undang-undang perlu sentiasa dipatuhi. Sentiasa!

4 comments:

  1. Salam, tuan.

    Sebagai seorang suami dan ketua keluarga yang baik, dia seharusnya boleh mendidik dan memimpin isterinya. Jikalau dia boleh mendidik isterinya dengan baik (sehingga boleh menerima Islam dan isu poligami dengan baik), maka dia tidak perlu main 'aci sorok' sehingga terheret pula ke mahkamah.

    Nah, memimpin keluarga sendiri pun dia tidak boleh, bagaimana pula dia boleh dipilih sebagai pemimpin rakyat?

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Ya, itulah isunya, memimpin institusi keluarga yang kecil itu sudah tidak betul, bagaimanakah hendak memimpin institusi masyarakat.

    Malangnya, kebanyakan pemimpin yang bergelar ahli Yang Berhormat selalunya enggan bertanggungjawab terhadap rakyat apbila didakwa atau telah dibuktikan bersalah. Mereka masih terus bermuka tebal, enggan melepaskan jawatan itu YB dan lain-lain. Di negara luar, Korea Selatan, misalnya, apabila didakwa mereka langsung undur diri.

    Kalau ketua di Sime Darby boleh disuruh bercuti kerana Sime Darby rugi, orang yang bersalah itu tidak boleh disuruh begitukah?

    ReplyDelete
  3. Tuan, benarkah si dia ini sudah dihukum penjara? Bukankah undang-undang menyatakan seseorang yang memegang jawatan dalam kerajaan boleh lucut kelayakannya apabila dipenjara melebihi 2 hari? Kalau tidak silap saya, itulah yang kami pelajari di sekolah dahulu (mata pelajaran Pengajian Am). Jikalau benar, maka dia tidak layak dengan jawatannya sekarang. Apakah mungkin akan ada lagi PRK? heheheee...

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu Marni;
    Sah, dia dijatuhi hukuman denda dan penjara sebulan (bersekali). Ambik kau! Sekarang proses merayu-rayu. Ha, ha, ha. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut mata leta.

    ReplyDelete