Sunday, January 16, 2011

DUN Tenang Bakal Selamatkan “Interlok”?

PRK DUN Tenang (N05) akan berlangsung pada 30 Januari akan datang. Kerusi DUN itu, pada PRU12, dimenangi oleh UMNO-BN melalui wakilnya, Datuk Sulaiman Taha, dengan majoriti 2,492 undi. Calon yang ditewaskan oleh Datuk Sulaiman ialah Tuan Haji Mad Saim Siran yang mewakili PAS-Pakatan Rakyat. Pilihan raya kecil kerusi DUN itu terpaksa diadakan selepas Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Pengundi berdaftar di DUN Tenang berjumlah kurang lebih 14,500 orang. Daripada jumlah itu, 50% merupakan pengundi Melayu, 38% pengundi Cina, dan 12% pengundi India.

UMNO-BN, pada pandangan saya, akan memenangi kerusi itu sekali lagi berdasarkan hakikat bahawa Johor merupakan kubu UMNO-BN yang sangat ampuh.

Jadi, wajarkah PAS-Pakatan Rakyat menyaingi UMNO-BN di situ?

Orang Melayu perlu bijak berpolitik. Pada hemat saya, kerusi DUN Tenang akan digunakan oleh pihak yang menentang penggunaan novel “Interlok” untuk memperoleh sesuatu daripada kemenangan UMNO-BN kelak. Pemimpin MIC baru-baru ini berandaian bahawa 80% daripada kira-kira 1,780 orang pengundi berdaftar bangsa India di Tenang akan menyokong calon UMNO-BN. Jika UMNO-BN menang dan terbukti bahawa kemenangan itu memang dibantu oleh 80% pengundi India, ada kemungkinan mereka akan menggunakan sokongan itu untuk mempengaruhi kerajaan dalam hal yang berkaitan dengan “Interlok”!

Jadi, bagaimanakah caranya kita hendak memastikan kerajaan UMNO-BN tidak berasa terhutang budi hingga terpaksa akur terhadap permintaan golongan pendesak itu supaya “Interlok” disingkirkan daripada peranannya sebagai salah satu komponen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia? Salah satu cara yang paling baik ialah PAS-Pakatan Rakyat tidak meletakkan calon mereka di situ supaya UMNO-BN memenanginya tanpa bertanding. Dengan cara itu, UMNO-BN tidak akan terhutang budi kepada pihak yang berkenaan!

Kita tidak berpolitik dalam isu “Interlok”, tetapi peluang politik yang ternganga di Tenang mungkin akan digunakan oleh pihak tertentu bagi merealisasikan tuntutan mereka. Mahu tidak mahu kita harus menggunakan peluang politik itu demi “Interlok”. Kerana mereka kelihatan keterlaluan, maka kita juga harus demikian.

5 comments:

  1. Salam, Tuan Zulkifli.
    Sesungguhnya jalan menegakkan kebenaran tidak pernah semudah yang kita jangka. Seharusnya kita rela berkorban apa sahaja asalkan kebenaran dapat ditegakkan di tanah air tercinta. Atas dasar itu, saya bersetuju dengan pandangan tuan. Demi cinta, yang lain jatuh ke nombor dua! Ya, demi cintakan kebenaran.

    Entah sampai bila agaknya, semua isu mahu dipolitikkan. Rimas!

    ReplyDelete
  2. kadang kala kecewa rasanya bila orang kita sahaja yang berkorban. Kerana mereka malu mengaku, kita korbankan karya. Mungkin satu ketika sejarah pon diminta dilukis lain mengikut kehendak diaorang. semua nak satu, tapi satu untuk siapa? sekolah pon taknak kongsi?

    ReplyDelete
  3. Salam, Cikgu Marni dan Sdr Azam;
    Pengorbanan ini, jika dipraktikkan, memperlihatkan kebijaksanan kita demi kelangsungan bangsa dan tidak lupa demi memperlihatkan perpaduan bangsa kita (walaupun berlainan parti politik) dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan bersama.

    Tatkala kuasa kita semakin menghaus, memang kita seharusnya tidak perlu terlalu berkorban tetapi kalau yang kita korbankan jelas lebih menguntungkan kita, kita wajar melakukannya.

    ReplyDelete
  4. sdr zul,

    saya baca ada banyak entri berkaitan 'interlok'.
    saya ingin bertanya sama ada sdr sudah membaca 'edisi murid' yang sebenarnya sudah diedit daripada karya asal SN abdullah husin.
    jika belum, saya cadangkan sila baca dulu, sebelum beri ulasan.
    janganlah 'dipetik' sana sini. terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Sdr Anon January 18 8:30 AM,
    Sdr sudah baca entri saya yang lain sebelum ini tentang Interlok? Kalau belum, jangan buat komen yang berbentuk tuduhan seperti itu. Saya bukan burung kakaktua.

    ReplyDelete