Friday, April 8, 2011

Pencari Kebenaran Lebih Banyak daripada Pencari Kerja

Teoh Beng Hock mati. Sampai sekarang orang masih mencari kebenaran. Kugan mati, ada juga orang yang mahu tahu akan kebenarannya. Altantuya dibom hingga bersepai jasadnya, walaupun sudah ada orang yang dihukum daripada kejadian itu, tapi orang masih ingin tahu akan dalang pengeboman wanita itu yang sebenarnya. Kapal selam dibeli ratusan juta ringgit dan kononnya ada yang beroleh durian runtuh daripada pembelian itu, sampai sekarang orang (rakyat) hendak tahu akan kebenarannya.

Tidak cukup orang yang menjadi rakyat di negara ini terkial-kial mencari kebenaran daripada pelbagai peristiwa dan kejadian itu, mereka terpaksa lagi mencari kebenaran daripada penayangan video lucah yang dihalalkan oleh pihak berkuasa (kerana tiada tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap orang-orang yang menganjurkan tayangan itu). Memang rakyat hendak tahu sangat akan gerangan/sosok dalam video itu yang sebenarnya, namun bukan sedikit rakyat yang hendak tahu akan kebenaran yang hakiki, mengapakah undang-undang sedia ada tidak digunakan untuk menahan si penganjur yang menggelarkan diri mereka Datuk T itu?

Belum pun reda pencarian rakyat terhadap kebenaran tentang semua kejadian yang digalurkan itu, meledak pula peristiwa kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Penolong Pengarah Kastam Malaysia yang kebetulan mati di pejabat SPRM. Mahu tidak mahu, kejadian yang baharu ini akan memaksa rakyat mencari kebenaran lagi.

Bilangan rakyat yang menjadi pencari kebenaran di negara kita terbukti lebih banyak jumlahnya daripada bilangan rakyat yang mencari kerja kosong di negara kita kerana orang yang mencari kerja kosong turut menjadi pencari kebenaran.

11 comments:

  1. Salam, Tuan Zul.
    Jalan mencari kebenaran juga semakin kabur, semakin ramai yang tersesat jalan... :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu,
    Orang mencari kebenaran kerana banyak pembohongan. Pembohongan itu telah membuatkan kita teraba-raba dan tersesat.

    ReplyDelete
  3. Khabarnya Anwar merupakan dalang pembunuhan AlTantuya. Bagiamana ya?

    ReplyDelete
  4. Salam, Anon,
    Semakin payah dan sulit kita hendak mendapatkan kebenaran. Sama-samalah kita berdoa agar yang benar bersinar terang, yang batil lenyap tidak berkubur.

    ReplyDelete
  5. Tuan, kita lihat skrg nampaknya keghairahan Anwar nak jadi PM tidak dapat diselindung lagi. Daripada penilaian saya banyak benar tuduhan buruk dikenakan terhadap beliau. Dalam banyak-banyak itu, tidak mustahil ada yang benar-benar betul. Saya tidak menilai isu-isu kontemporari, saya melihat kepincangan beliau sejak dulu. Pada saya beliaulah yang memulakan konspirasi kerana keghairahan tersebut. Apa pandangan tuan?

    ReplyDelete
  6. Salam, Anon,
    Saya bersetuju bahawa mungkin ada antara tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar yang memang benar, tetapi saya sama sekali tidak bersetuju bahawa beliau terlibat dalam gejala homoseksual dan melanggani pelacur dan yang seumpama dengannya.

    Begitu juga hal konspirasi. Konspirasi memang senantiasa wujud dalam dunia politik. Dalam konteks Anwar, saya bersetuju bahawa beliau turut terlibat dengan konspirasi, tetapi saya tidak bersetuju bahawa beliau yang memulakannya. Lama sebelum beliau dipecat daripada jawatan TPM dahulu, saya beberapa kali mendengar kalimat "Anwar TPM yang tidak akan menjadi PM" daripada mulut pihak para akademik khususnya. Apabila saya melahirkan rasa ingin tahu, mereka berkata "Tunggu sajalah...."

    Saya rasa bahawa konspirasi untuk menafikan peluangnya menduduki kerusi PM sudah wujud lama sebelum pemecatannya.

    Wallahua'lam. Elok kita bersangka baik dan jangan ikut terlibat dalam hal-hal/tuduhan-tuduhan yang membabitkan zina atau yang seumpama dengannya. Yang lain-lain bergantunglah pada penilaian masing-masing.

    ReplyDelete
  7. Salam Tuan, terima kasih kerana mahu berdiskusi secara rasional. Persoalan yang saya mahu ketengahkan adalah, mengapakah Anwar yang sering menjadi bahan. Jika semuanya konspirasi UMNO, maka ramai lagi tokoh lain yang menjadi sasaran. Kenapa tidak Nik Aziz, tidak Haji Hadi, tidak Lim Kit Siang, tidak Karpal. Tetapi banyak sasaran itu ialah Anwar. Ada video klip, ada rakaman perbualan telefon dengan wanita, ada perbualan telefon dengan lelaki lembut, ada kes di mahkamah, semua Anwar. Kenapakah UMNO tidak ada sasaran lain, sedangkan musuh Umno bukan Anwar semata-mata. Jawabannya mungkin, tokoh-tokoh lain tidak ada tabiat buruk seperti itu. Akan tetapi yang menjadi sasaran itu barangkali memang benar ada tabiat seperti itu. Wallahualam.

    ReplyDelete
  8. Salam Anon,
    Terima kasih, Sdr.

    Satu hakikat yang tidak ada pada TG Nik Aziz, TG Hadi Awang, dan Lim Kit Siang (sebenarnya mereka ini kena "attack" juga oleh pihak BN) ialah tahap negara luar kenal mengenali mereka berbeza dengan tahap DSAI dikenali oleh pihak negara luar itu. DSAI lebih berpengaruh dan disenangi oleh pihak luar. Mana-mana pemimpin negara pun, kalau seteru politik mereka disenangi oleh negara luar, AS terutamanya, akan sering berasa bimbang.

    Selain itu, secara umumnya, DSAI disenangi oleh semua lapisan masyarakat di dalam negara kita, khususnya golongan muda. Ceramahnya lazim mendapat sambutan tanpa perlu menggula-gulakan ahli parti dengan memberikan token dan makan percuma bagi "meramaikan" ceramahnya seperti yang selalu dilakukan oleh BN-UMNO.

    Cuba Sdr fikirkan, misalnya, adakah TS Abd Rahim Thamby Chik disenangi oleh semua lapisan masyarakat? Adakah TS Muhyiddin disenangi oleh semua lapisan masyarakat?

    Ditambah dengan sepadunya sokongan pemimpin parti lain (DAP, PAS, dll) untuk mengangkat DSAI sebagai PM kalau PR berkuasa, hal seperti ini menjadi kebimbangan BN lantas sesuatu harus dilakukan terhadap beliau.

    Khabarnya, pihak polis sudah mengesahkan bahawa orang dalam video yang diedarkan Datuk Trio itu bukan DSAI. Apakah fikiran kita tentang hal ini?

    ReplyDelete
  9. Pada saya, jika pihak polis mengesahkan bahawa pelakon dalam video berkenaan bukan Anwar, maka kesan paling besar akan menimpa BN kerana tindakan boleh tersebut. Adalah sangat bodoh sekiranya BN/UMNO mewujudkan konspirasi itu kerana rakyat akan hilang kepercayaan sepenuhnya jika video tersebut merupakan konspirasi untuk menjatuhkan Anwar. Sebenarnya konspirasi sebodoh itu akan memudahkan perjalanan Anwar ke Putrajaya. Persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin kerajaan sebodoh itu? Kita tunggu perkembangan selanjutnya tentang siasatan video berkenaan.
    Tentang pandangan masyarakat terhadap pemimpin pua, dalam demokrasi sesiapa yang menjadi sokongan majoriti akan mendapat mandat. Setakat ini sokongan yang diberikan kepada kerajaan masih majoriti, dan yang minoriti masih perlu berusaha untuk memenangi hati rakyat. Masalahnya, bila?

    ReplyDelete
  10. Salam, Anon,
    Kalau kita hendak mengatakan Datuk Trio itu sebagai wakil UMNO-BN dalam konspirasi itu, haruslah kita meletakkan pemimpin UMNO-BN sebagai bodoh kerana merencanakan konspirasi sebodoh itu. Soalnya, adakah Datuk Trio itu wakil kerajaan UMNO-BN? Kita juga harus bertanya, apakah perlunya rencana pendedahan video itu pada masa ini sehingga isu sebodoh jam Omega pun hendak dipanas-panaskan?

    Janganlah difikirkan sangat mudah-sukarnya jalan DSAI ke Putrajaya. Jika Allah menghendakinya ke Putrajaya, tanpa apa-apa isu pun DSAI akan tetap ke sana. Yang harus kita bimbangi ialah pendedahan video seks ini dan yang lain-lainnya terhadap DSAI dan sesiapa sahaja atas sebab hendak mempertahankan kuasa ialah Allah semakin mendedahkan kejahatan pihak yang berkuasa sekarang.

    Wallahu a'lam. Saya berdoa agar Allah mengampuni kita semua.

    ReplyDelete
  11. Ya, kita berserah saja dan tunggu Kun Fayakun-Nya. Mudah-mudahan kita akan menerima petunjuk Allah dengan hati yang terbuka tanpa mempertikaikannya. Terima kasih.

    ReplyDelete