Wednesday, May 25, 2011

Halal Haram Makanan Kita: Marilah Bertindak

Saya marah sangat. Saudara-saudara pun tentu marah juga apabila soal HALAL HARAM makanan untuk umat Islam diperolok-olokkan oleh pengusaha dan peniaga yang rakus akan kekayaan, yang haloba akan keuntungan. Hal seperti ini memang sering mengejutkan dan menggemparkan kita, bukan baru-baru ini sahaja tetapi dah lama dah....

Pernah suatu ketika dahulu, roti yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat terkenal diisytiharkan tidak halal. (Sampai sekarang saya tidak membeli roti keluaran syarikat itu lagi. Saya tidak mahu tertipu untuk kali kedua, ketiga, dan seterusnya.) Ayam keluaran syarikat yang berpangkalan di utara tanah air pun pernah dikatakan tidak halal dimakan kerana cara penyembelihannya yang melanggar syarat dan syariat.

Malah, kita pernah diberitahu bahawa kebanyakan kopitiam di Selangor juga tidak mendapat pengesahan halal daripada pihak berkuasa agama (mereka sendiri tidak pernah memohonnya). Tetapi, yang mengejutkan saya dan menimbukan kemarahan saya hingga saya menulis di sini ialah apabila kek keluaran sebuah restoran terkenal dikatakan bahawa mengandungi DNA babi!

Saya marah kerana restoran itu adalah antara restoran kegemaran saya dan keknya adalah antara menu pilihan saya. Saya, selama ini, sangat percaya bahawa restoran itu sangat menitikberatkan soal HALAL HARAM kepada pelanggan Islamnya. Tetapi rupa-rupanya saya telah terpedaya. Tanpa saya sedari, saya telah mendarahdagingkan tubuh saya dengan unsur-unsur HARAM.

(Insya-Allah, saya tidak akan menjejakkan kaki saya ke restoran itu lagi walaupun diisytiharkan HALAL pada suatu hari nanti.)

Apakah yang harus kita lakukan untuk mengatasi hal ini? Yang pertama sekali, saya fikir, kita kena kembali kepada budaya kita — Melayu. Adakah kek (seperti yang dijual di restoran itu), biskut, burger, bebola ikan, mihun, mi, laksa, dan lain-lain itu makanan tradisi Melayu? Jawabannya ialah “tidak”. Kesemua makanan itu berasal daripada bangsa lain, sesetengahnya sudah lama berasimilasi dengan kita, sesetegahnya masih baharu.

Makanan yang ada dalam budaya kita ialah makanan yang simpel, antaranya termasuklah ubi rebus (bakar, goreng, dll), pisang goreng (rebus, bakar, dll), pelbagai jenis kerepek pisang dan kerepek ubi serta malinjau, lepat dan pengat (ubi, pisang, dan labu), bubur (kacang, nasi, pulut hitam, dll), keropok lekor, baulu, dodol, bertih, dan lain-lain. Adakah makanan asal kita itu memerlukan DNA babi untuk menyedapkannya? Tidak sama sekali. Jadi, fikir-fikirkanlah sendiri.

Yang kedua, umat Islam harus bersatu. Kita harus membalas perbuatan mereka yang memanipulasi pengesahan HALAL oleh pihak yang berkuasa itu. Kita perlu berada di premis-premis yang terlibat dan memaklumkan perihal penyelewengan dan pemanipulasian oleh pengusaha dan peniaga itu kepada semua umat Islam yang lalu di hadapan prmis mereka, khususnya yang berhasrat untuk makan di situ. Kita perlu memperlihatkan kuasa kita sebagai umat Islam!

Seterusnya, kita wajar menyarankan pihak berkuasa agama di negeri dan Persekutuan supaya memperkenalkan hukuman yang setimpal. Dalam hal ini, kalau pihak berkuasa boleh memberikan sijil pengesahan HALAL kepada mana-mana pengusaha dan peniaga, mereka juga seharusnya boleh memberikan sijil pengesahan HARAM kepada pengusaha dan peniaga yang melanggar syarat pemberian sijil HALAL.

Dalam erti kata yang lain, mana-mana pengusaha dan peniaga yang melanggar syarat pemberian sijil HALAL hendaklah diwajibkan untuk menampal atau menggantung kalimat “HARAM KEPADA UMAT ISLAM” di premis perniagaan mereka atau pada bungkusan produk mereka. Hal ini dilakukan demikian sebagai denda kepada mereka atas perbuatan mereka memperlekeh sijil HALAL itu dan yang lebih penting kerana mereka telah menganiaya umat Islam di negara ini.

Kita bukan menafikan hak mereka, tetapi kita memperjuangkan hak kita.

5 comments:

  1. Memang tak salah saudara Zul marah... sebenarnya memang patut sangat-sangat pun. Seuma orang pun akan marah jikalau mereka tertipu sebegitu rupa. Tetapi hakikatnya, adakah isu halal haram Islam sahaja yang penting di negara ini? Bagaimana dengan isu halal haram kaum lain?

    ReplyDelete
  2. Sdr Anon,
    Kepada umat Islam, isu halal haram ini sangat penting. Kaum lain, kalau bukan Islam, tentulah menjadi tanggungjawab ketua agama masing-masing menanganinya.

    ReplyDelete
  3. salam...
    maaf,kalau restoran 'secret recipe' yang dimaksudkan,ada penjelasannya di sini

    http://tenangsudey.blogspot.com/2011/05/isu-haram-secret-recipe-beri-penjelasan.html

    ReplyDelete
  4. maaf saudara zul... isu halal haram ni bukannya penting untuk orang islam sahaja... tapi untuk semua kaum juga... masing-masing ada hukumnya yang wajib dan harus...

    saya pasti saudara zul pun ketahui yang sebenarnya... walau bagaimanapun ketua agama kaum lain melolak sampai pecah anak tekak pun tak ada gunanya. takkan ada sebarang perubahan.

    just because they are taking it, that doesn't mean that it is ok for them... cuba bayangkan... ubat-ubatan jenis kapsul, semuanya (kapsul) dibuat daripada gelatin lembu. tapi orang india dan juga cina tak boleh makan. tapi kalau tak makan matilah semuanya yang sakit sebab dah takde pilihan lain... sebenarnya ada je kapsul yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan di pasaran. memanglah ianya mahal sedikit, tapi, kalau keadaan ini adalah terbalik... sudah tentunya kerajaan tak akan berfikir panjang untuk berbelanja lebih... yang sedihnya... dan kenyataannya ialah... asalkan sebarang perkara itu boleh untuk orang islam maka, ianya "dibolehkan" juga untuk semua kaum lain... bukankah ini dah kira berdosa dari segi agama islam..?

    lagipun kalaulah benar kerajaan ni prihatin dan saksama pada semua kaum... soal sebegini tak perlu diberitahu dan diteriakkan. patutnya dah difahami dan diperlakukan dengan sendirinya. bukankah gitu..?

    kalau semua kaum lain boleh tahu dan faham hukum halal haram islam kenapa tidak hukum kaum lain juga diketahui dan difahami dengan cara yang sama..?

    (mengeluh panjang)

    ReplyDelete
  5. Sdr Anon,
    Betullah, hal demikian itu (kapsul bergelatin lembu) tidak diambil berat oleh pihak kerajaan. Seharusnya hal ini patut diketengahkan.

    Sebenarnya, saya sendiri meragui gelatin lembu itu. Mungkin benar, kapsul itu bergelatin lembu, tetapi adakah lembu itu disembelih? Islam hanya boleh makan mana-mana bahagian lembu, kerbau, kambing, dll setelah disembelih.

    Oleh sebab itu, pandangan dan cadangan Sdr supaya kerajaan memilih gelatin bersumberkan sayuran wajar diterima. Saya setuju. Orang bukan Islam tidak ragu-ragu, orang Islam pun begitu.

    ReplyDelete