Monday, May 9, 2011

Kita Pun Dungu Juga, Rupa-rupanya

Heh, heh, heh! Terlambat rupa-rupanya hendak memberikan respons tentang RON97 = RM2.90 seliter sekarang. Harga ini sedang diguna pakai sekarang walaupun harga minyak mentah sudah turun jauh — sekitar AS99.00 setong. Harga RM2.90 itu dinaikkan semasa harga minyak mentah sekitar AS110.00 setong.

Siapakah yang dungu dalam hal ini? Bukan kita, tentunya kerana kita hanya merupakan pihak yang didungukan. Lagipun, kebanyakan kita bukan pengguna RON97 yang bermutu itu. Kebanyakan kita pengguna RON95! Jadi, apakah yang hendak diributkan dengan kenaikan harga itu?

Okeylah, kita mengakulah bahawa kebanyakan kita bukan pengguna RON97. Yang menggunakan RON97 kebanyakannya orang kaya, orang berstatus, orang berjawatan tinggi. Jadi, mereka inilah yang sedang didungukan oleh kerajaan. Padan muka mereka, ha, ha,ha!

Hei, mereka mungkin didungukan oleh kerajaan tetapi mereka memang tidak terjejas sangat pun. Mereka ini merupakan golongan yang boleh membuat pelbagai tuntutan perbelanjaan melalui syarikat atau jabatan. Mereka memang tidak rasa apa-apa. Oleh sebab itulah mereka tidak begitu bising.

Cuma kalau ikut logik, kalau harga RON97 naik dan bos-bos besar ini (orang kaya) merupakan penggunanya dan mereka ini boleh pula membuat tuntutan perbatuan, sudah tentulah kadar tuntutan perbatuan itu dinaikkan. Yalah, tak kanlah kadarnya masih sama semasa harga RON97 berharga RM2.10 seliter dulu!

Apabila kadar itu dinaikkan, tak kanlah hanya bos-bos sahaja yang akan menikmati kenaikannya. Kakitangan lain tak kan tengok sahaja. Jadi, kenaikan kadar tuntutan perbatuan itu akan melibatkan semua orang di syarikat itu. Maka, belanja syarikat pun meningkatlah!

Kalau belanja syarikat meningkat, apa natijahnya? Ha, kalau kebetulan syarikat itu merupakan pengeluar barang pengguna, harga barangan pun terpaksalah dinaikkan untuk menampung peningkatan belanja syarikat tadi. Siapakah pengguna barangan mereka? Kebanyakannya kitalah sebab kita tidak mampu untuk makan di hotel. Orang kaya mampu berbuat begitu kerana mereka boleh membuat tuntutan elaun keraian pula.

Oleh sebab itu, kalau ada pemimpin yang berkata bahawa kenaikan RON97 tidak menjejaskan rakyat marhaen macam kita, kita buat tak dengar sahajalah sebab kita sedia maklum bahawa mereka memang dungu. Oleh sebab mereka tidak mahu kelihatan dungu, maka mereka selalu mendungukan kita.

Cuma, yang menyebabkan kita kelihatan dungu dalam hal ini ialah kitalah yang memilih mereka!

4 comments:

  1. syabas saudara di atas satu analisis yang baik...

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Fauzi,
    Terima kasih atas penghargaan dan teima kasih jua kerana Sdr masih terus mengikuti catatan saya.

    ReplyDelete
  3. hahahaha...
    "...yang menyebabkan kita kelihatan dungu dalam hal ini ialah kitalah yang memilih mereka!"

    right on the dot Saudara Zul.

    ReplyDelete
  4. Salam, Cik Dopey
    Saya tak memilih mereka, tetapi oleh sebab majoriti memilih mereka, maka saya pun secara tidak langsung sebahagian daripada mereka.

    ReplyDelete