Monday, October 31, 2011

iPhone, iPad Mampu, Derma untuk Masjid Seringgit!

Tiada sesiapa pun yang pernah menduga bahawa hidup ini baru dianggap sebagai betul-betul lengkap dan sempurna apabila seseorang itu memiliki telefon bimbit. Tidak ada sesiapa pun, 20 tahun dahulu, yang menyangka bahawa Internet bakal menyempurnakan dan melengkapkan kehidupan seseorang. Lebih dahsyat lagi, orang langsung tidak pernah terfikir bahawa tanpa televiyen kabel (seperti ASTRO), kehidupan manusia akan menjadi lompong dan kosong.

Sehingga demikian, ada sebilangan orang yang akan termangu-mangu dan “tidak dapat hidup” kalau tidak ada telefon bimbit, tidak kiralah yang “biasa-biasa” atau yang “luar biasa” seperti iPhone, iPad, Blackberry, dan lain-lain sebagainya itu. Sebilangan yang lain akan kelihatan seperti orang ketagihan madat kalau sehari-harian tidak dapat melayari Internet (untuk berfacebook, bertwitter, berchating, dan lain-lain sebagainya). Sebilangan yang lain tidak akan berasa seronok kalau pada hari itu tidak dapat menonton program sukan seperti golf dan tenis yang disiarkan oleh pihak ASTRO itu.

Demikianlah orang menilai maksud kesempurnaan hidup pada zaman ledakan TMK atau ICT sekarang. Walhal, pada suatu ketika dahulu, kesempurnaan hidup selalunya dinilai menerusi keupayaan manusia “mengadakan” makan minum untuk keluarganya, keupayaannya bergaul dalam masyarakat, dan lain-lain sebagainya. Dalam Islam, kesempurnaan hidup dinilai menerusi kecintaan penganutnya terhadap Allah SWT dan rasul-rasul-Nya, yang menerusi kecintaan itu, akan melahirkan insan yang cinta akan agama yang dianutinya — Islam.

Kerana menganggap telefon bimbit, Internet, dan ASTRO keperluan hidup yang tidak boleh tidak mesti disediakan dalam kehidupan harian, orang tidak kisah sangat untuk menghamburkan duit untuk tujuan itu. Sebilangan orang yang taasub terhadap telefon bimbit, misalnya, dengan senang hati menukar telefon bimbit demi telefon bimbit sebaik-baik sahaja model-model terbaharu berada di pasaran.

Kerana Internet yang dilanggani sebelum ini sangat sederhana kelajuannya, misalnya, banyak orang yang sanggup berbelanja lebih untuk melanggani Internet yang berkelajuan tinggi pula. Kerana saluran yang dilanggani tidak memadai, misalnya, bukan sedikit pula orang yang menambahkan bilangan saluran ASTRO mereka walaupun pertambahan itu turut menambahkan kadar bayaran langganannya yang waktu belakangan ini dinaikkan secara serampangan!

Di satu sisi lain, hal yang menyerlahkan kesempurnaan hidup yang sebenarnya — agama — dikesampingkan orang. Berapa banyakkah antara kita yang sanggup mengeluarkan empat lima ratus ringgit untuk menyertai ibadah qurban, misalnya? Bukan sedikit orang yang hanya menghulurkan seringgit dua kepada pengutip derma masjid semasa khutbah Jumaat walhal di dalam poket mereka berisi iPhone dan Blackberry!

Baik telefon bimbit, Internet, atau ASTRO, padankanlah biaya untuk memilikinya dengan keperluan. Kalau kalian memang mampu untuk memiliki/menyediakan yang mahal-mahal untuk diri dan keluarga kalian, pastikanlah kalian juga mampu untuk berbelanja besar bagi hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan agama Islam kalian. Sebagai contohnya, peruntukkanlah RM50 sebulan (sekurang-kurangnya) untuk disedekahkan kepada masjid atau surau (satu Jumaat sedekahkan RM10, lima Jumaat = RM50). Berhentilah untuk bersedekah RM1 kalau kalian pemilik iPhone, iPad, tablet, dan lain-lain sebagainya. Wallahualam.

4 comments:

  1. sheikh,
    gua pakai henpon cina. jd kalau gua sedekahkan 1 ringgit, kira okey le tu. Dak gitu...?

    ReplyDelete
  2. Saya pakai henfon yang kena menjerit selalu sebab payah nak dengar suara di talian. Jadi saya derma seringgit juga. Tapi derma belakang2 bukan masa orang kutip. Sebab malu he he.

    ReplyDelete
  3. Salam, Bro Zamani,
    Gua cuma hendak orang adil kepada diri mereka dan agama mereka. Selalu orang kata apa salah derma seringgit, yang penting ikhlas! Hi hi.

    Setia betul lu ngan henpon lu tu. Tabik, ahhh!

    ReplyDelete
  4. Salam, Syeikh Kerol,
    Yang tu dah silap! Beli baru, ahh, tak pun gi repair.

    Boleh derma seringgit, tapi hari-hari. Pastikan hari-hari pergi solat jemaah di mana-mana surau atau masjid dan hulur seringgit. Sebulan dah RM30. Oklah tu!

    ReplyDelete