Friday, October 21, 2011

Kematian Qaddafi: Antara Kesabaran Ali Abi Talib dengan Amarah Rakyat Libya

Dalam suatu peperangan untuk menentang musuh Islam, Sayidina Ali ikut bertempur sehingga bertembung dengan salah seorang musuhnya. Ternyata beliau sangat gagah hingga berjaya menjatuhkan musuhnya itu ke tanah. Beliau berhasrat untuk membunuh musuh Allah itu, tetapi sebelum sempat beliau melakukannya, musuh Allah itu telah meludahi mukanya.

Kerana ludahan itu, Sayidina Ali membatalkan niatnya untuk membunuh musuh Allah itu hingga menghairankan musuh Allah itu. Bertanyalah musuh Allah itu kepada Sayidina Ali lebih kurang begini: “Mengapakah aku tidak kamu bunuh saja walhal kamu berpeluang untuk melakukannya?” Sayidina Ali menjawab lebih kurang begini, “Sebentar tadi aku bertempur dengan kamu semata-mata kerana Allah Taala, tapi sekarang aku bimbang untuk memenggal kepala kamu bukan kerana Allah sebaliknya kerana amarah.”

Kegembiraan, saya fikir, sedang berbunga-bunga di segenap bucu hati rakyat Libya apabila orang yang ditentang dan ingin digulingkan oleh mereka sejak sekian lama akhirnya berjaya ditamatkan riwayatnya (satu pengakhiran hidup yang menyedihkan untuk seorang kepala negara yang mahu atau tidak mahu, harus diakui sebagai orang yang telah berjaya membangunkan negaranya, walaupun pada masa yang sama turut membangunkan kekayaan untuk kaum keluarganya).

Sebelum pembunuhan itu, bekas kepala negara Libya yang bernama Muammar Qaddafi itu telah ditangkap (di Sirte) dan menurut berita yang disampaikan kepada kita, Muammar telah diheret dan dikasari oleh pejuang yang anti kepadanya. Beliau khabarnya dibawa dari satu lubang najis dan semasa pemindahan ke dalam trak, lengan kanannya tertembak.

Namun, semasa kenderaan itu bergerak, suatu pertempuran telah berlaku antara tentera revolusi dengan pasukan Muammar lalu sebutir peluru telah menyinggahi kepala bekas kepala negara Libya itu yang kemudiannya telah membawa kematiannya. Peluru pihak manakah yang menyinggahi kepalanya masih belum diketahui.

Cerita kesabaran sahabat Rasulullah SAW yang bernama Ali bin Abi Talib itu dengan cerita yang membawa kematian Qaddafi ini jauh bedanya. Perjuangan Sayidina Ali bertunjangkan perintah Allah yang menghendaki umatnya senantiasa sabar dan rasional dalam setiap tindakan. Perjuangan rakyat Libya jelas bertunjangkan amarah!

Seharusnya Muammar “diselamatkan” untuk dibicarakan ke muka pengadilan. Tidak kiralah di mana-mana pun beliau dibicarakan — di dalam negara atau di Mahkamah Keadilan Antarabangsa — beliau memang wajib dibicarakan. Kekejaman atau apa-apa jua kesongsangan yang dilakukannya selama beliau berkuasa dahulu (seperti yang didakwa) harus diungkit dan didedahkan.

Ironinya, kemarahan rakyat Libya terhadap Muammar Qaddafi itu didukungi oleh NATO. NATOlah yang telah menyerang konvoi Qaddafi itu sehingga menyebabkan Qaddafi tertangkap langsung kemudiannya menemui ajalnya. Siapakah yang akan mengubah wajah dan bentuk pemerintahan Libya selepas ini? Rakyat mereka atau NATO dan sekutunya?

Kita tahu akan jawabannya dan barangkali akan dapat melihat kemunculan sebuah lagi negara yang senasib dengan Iraq.

6 comments:

  1. dalam gawat pertempuran mcm2 blh berlaku, kita tidak tahu apa sebenar berlaku kepada ghadafi. nk menyalahkan pejuang pun tidak boleh begitu cepat.

    dikatakan diseret dgn kasar. itu juga perlu bukti apa puncanya. mungkin nak selamatkan dia dari hiruk pikuk pertempuran, terpaksa seret mcm kasar sikit.

    mungkin saja dia tertembak peluru sesat. atau agen2 dia sendiri yg bunuh utk elak dia dibicara dan dedahkan mcm2 lagi.

    tidak blh juga tuduh pejuang sekongkol dgn NATO dan terus dianggap subahat dgn kafir utk bunuh ghadafi.

    yg pasti pemimpin Islam mesti buat baik kpd rakyat dan adil. bukan senang nk hasut rakyat angkat senjata kalau tidak kerana memang rakyat sudah lama dizalimi.

    rakyat akan memilih dpd mati teraniaya oleh pemimpin zalim, lebih baik mati melawan.

    bukankah dizaman dharurat dulu pun org Islam ada yg terrrrrrpaksa memihak kpd british dan ada yg bersama komunis. hanya Allah yg akan mengadili setiap jiwa apa niat mereka sebenarnya.

    hanya Allah yg Maha Mengetahui sebenarnya.

    semuga Allah memelihara semua umat Islam dpd fitnah dan mengampuni dosa kita semua.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr Jaka,
    Isu saya dalam siaran ini ialah, wajarkah manusia menghukum penjenayah mengikut cara mereka sendiri dengan berdasarkan amarah pula?

    Wallahua'lam. Saya pun memang suka orang yang zalim digulingkan, tetapi hukuman janganlah ditetapkan sebegitu rupa.

    Kalau dahulu ada rakyat kita yang menyokong petualang, hal itu tidak bermakna mereka betul dan tidak boleh juga dikatakan salah tetapi kita perlu memikirkan natijahnya.

    Wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. Salam tuan,

    Saya setuju hukuman tidak patut dibuat mengikut nafsu marah. Cuma apa yg berlaku ialah keadaan kacau bilau dan ini diambil kesempatan oleh mereka yg mengikut kemarahan.

    Ia berlaku sebab peperangan terjadi diantara rakyat campir tentera. pihak pemberontak kebanyakan rakyat yg tidak terlatih, bukan tentera yg diasuh latihan Islam.

    malah saya baru terbaca satu pendapat yg sama mengatakan mungkin jg ia disengajakan utk mengelak perbicaraan.

    sama2 kita berdoa dijauhkan fitnah seperti itu. fitnah kekeliruan dalam tindakan. fitnah hilangnya pertimbangan akal dan iman kerana tekanan.

    hanya Dia yang dapat menjaga hati kita dlm keadaan seperti itu.

    tq saudara. salam silaturrahim

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Jaka,
    Allahumma Amin.

    Benar, hanya Dia yang dapat memelihara kita semua.

    Salam silaturahmi kepada Sdr juga.

    ReplyDelete
  5. salam
    ia seharusnya menjadi pengajaran kepada pemimpin yang lain...bahawa jangan jadikan kuasa sebagai hak untuk melakukan penindasan dan mengaut laba untuk diri dan kroni...benih itu telahpun tumbuh di tempat kita...

    ReplyDelete
  6. Salam, Tuan Faziz,
    Sangat betul kata tuan itu dan saya sangat bersetuju bahawa nasib yang menimpa Qaddafi harus dijadikan sebagai teladan oleh pemimpin yang lain, termasuk di sini.

    ReplyDelete