Sunday, October 16, 2011

Selamat Ke Tanah Suci Makkah

Beberapa orang teman yang rapat dan yang kurang rapat sudah ada yang tiba di Tanah Suci Makkah atau Madinah. Di kariah saya, Pak Usop khabarnya sudah pun selamat tiba di sana. Dr Ridzwan akan berangkat ke sana pada 23 Oktober 2011 ini. Abang Dollah dan Kak Ramlah yang pernah menjadi “ibu” dan “bapa” anak saya, Luqman Hakim, pun sudah tiba di sana pada 3 Oktober yang baru lalu.

Ibu saudara saya yang pernah menaja pemergian ibu saya ke Makkah untuk mengerjakan umrah tahun lalu mungkin berada dalam senarai gantian kerana namanya masih dalam senarai menunggu. Beliau redho, jika dapat pergi syukur alhamdulillah katanya; jika tidak dapat pergi beliau sangat sedar bahawa tentu ada hikmah tertentu yang menyebabkan namanya tidak terpilih itu.

Seorang lagi insan istimewa dalam perjalanan hidup saya yang akan menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini ialah Abang Uda Abdul Majid Baharom yang akan pergi ke sana bersama dengan isterinya, Kak Alimah pada 23 Oktober 2011. Abang Uda merupakan “boss” saya semasa saya berkhidmat di Unit Perkamusan di Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd (sekarang Oxford-Fajar).

Kamus Dwi Bahasa Inggeris-Melayu-Inggeris (edisi pertama) yang popular di pasaran itu (terjual jutaan naskhah) adalah antara buah tangan beliau yang mendapat bantuan kami — Allahyarham Tajudin Busu, Puan Nor Azah Abdul Aziz, Puan Azni Ahmad, dan saya. Sepak terajang dan “tipu muslihat” dalam menerbitkan kamus itu sangat melucukan dan menjadi rahsia beliau, saya, dan Allahyarham Tajudin.

Sepak terajang dan “tipu muslihat” itu sesetengahnya turut mewarnai sudut kehidupan kami yang lain. Ada yang dilalui dengan redho, ada yang dihadapi kerana terpaksa. Pergaulan saya dengan Abang Uda, seperti juga pergaulan saya dengan insan lain, ada yang manis dan tidak kurang yang masam. Kadangkala beliau kurang senang terhadap saya, dan kadangkala saya kurang senang terhadap beliau.

Yang menarik daripada pergaulan kami yang manis-masam itu ialah, titik akhir pergaulan kami pada setiap keadaan ialah ketulusan dalam persahabatan yang kemudian bertukar perlahan-lahan menjadi adik-abang. Alhamdulillah. Kami mungkin pernah melakukan kenakalan (seperti “tipu muslihat” dalam kerja demi mengejar deadline, serta beberapa kejahatan lain dalam hidup ini).

Tetapi Allah SWT, Pencatur dan Perencana Maha Agung kehidupan manusia, Maha Tahu segala-galanya. Apabila sampai masanya, dengan sifat Rohman dan Rohim-Nya, Dia akan mengembalikan nilai Islam yang benar dan lurus kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Apabila tiba waktunya, Dia akan mengundang hamba-Nya ke Makkah untuk menyempurnakan Rukun Islam hamba-Nya. Allahu Akbar.

Abang Uda dan Kak Alimah telah pun terpilih dan saya berdoa agar kedua-dua insan ini sempat dan dapat menyempurnakan Rukun Islam yang kelima ini. Saya juga berdoa agar kedua-dua insan mulia ini dimantapkan kesihatan mereka untuk menunaikan ibadah haji sesempurna yang mungkin dan yang penting, Allah turut memperkuat tahap ketabahan dan kesabaran mereka dalam mendepani ujian dan dugaan dalam ibadah itu kelak supaya harapan untuk beroleh haji yang mabrur akan tertunai. Amin.

Selamat Berangkat Ke Makkah dan Selamat Menyempurnakan Ibadah Haji, Abang Uda dan Kak Alimah, rakan-rakan pembaca, serta seluruh umat Islam Malaysia. Kalian bertuah dan manfaatkanlah tuah itu dengan sebaik-baiknya. Kalian berdoalah di hadapan multazam agar saya, isteri, dan anak sempat dan dapat menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu, setidak-tidaknya untuk menunaikan umrah, mungkin pada tahun hadapan, insya-Allah.

4 comments:

  1. Salam Adinda Zul,

    Terima kasih yg tak terhingga Uda ucapkan atas kesudian adinda & isteri (Ita le tu)hadir dalam majlis kesyukuran kami yg tak sepertinya di d'SUARANG Ahad kelmarin. Allah SWT saja yang dapat membalas kebaikan budi adinda suami isteri.

    Tersentuh (amat sangat) membaca penulisan adinda di atas. Maklum hasil tulisan seorang editor hebat!

    Sebenarnya Uda sering juga teringat akan "tendang terajang"/"tipu muslihat?/helah?"/"bohong tenat" dsb yang kadangkala terpaksa dilakukan untuk memenuhi desakan2 yg tak menasabah atau utk mengaburi mata mereka yang tidak pernah mahu faham atau mengerti ttg masalah atau ketenatan insan lain!(NAK PADANKAN MUKA DEMA TU KE? . . . he, he . . . jangan weh dah nak penuhi tuntutan tanggungjawab maha besar ini . . . takut teman!)

    Ya Allah ampunilah segala dosaku sebagai ketua ketika itu . . . Hanya ENGKAU sahaja maha mengetahui niat & tujuan sebenar hamba-MU ni (& kawan-kawan lain tu juga). . .

    Adinda Zul & Ita . . . Uda tetap akan mendoakan apa saja yang telah adinda berdua suarakan kpd Uda (ttg harapan dsb)tempoh hari. Mudah2an dikabulkan jua oleh Allah SWT.

    Al-Fatehah kita hadiahkan kpd mereka yang telah mendahului kita . . . khusus big brother Allahyarham Hj Tajuddin Busu. Semoga semua mereka ditempatkan secara paling istimewa di sisi Allah SWT. Amin.


    Ps: Izinkan Uda memetik / mengulang terbit siaran adinda ini di dsuarang.blogspot.com kelak. TQ.

    ReplyDelete
  2. Salam, Uda,
    Amin, amin, amin, ya Allah.

    Terima kasih kerana Uda masih sudi mengikuti SigapSiaga.

    Adinda berdua amat bersyukur ke hadrat-Nya kerana diberi kesempatan dan kelapangan untuk bersama Uda dan Kak Alimah tempoh hari dan bermohon kepada-Nya agar segala doa kita tempoh hari dimakbulkan-Nya. Cuma pertemuan kita tempoh hari terlalu singkat (kerana urusan dua yang kadangkala mengikat - sampai bila?)

    Insya-Allah, Da, dosa-dosa silam semasa Uda mengetuai kami dan yang lain-lainnya (jika ada) diampunkan Allah. Amin.

    Adinda tidak menghalang Uda untuk mengulang siar catatan ini di d'Suarang. Silakan, Da.

    Buah remia bawa ke huma,
    Untuk dimakan sambil menjerat;
    Hidup di dunia tidaklah lama,
    Patut amalkan bekal akhirat.

    Halia ini tanam-tanaman,
    Di darat jua tumbuhnya;
    Dunia ini pinjam-pinjaman,
    Akhirat jua akan sungguhnya.

    Sungai di teluk jauh di rawa,
    Tempat berkelah tepi pangkalan;
    Sebagai makhluk yang bertakwa,
    Cintai Allah dengan amalan.

    Doa terhimpun di dalam sembah,
    Berharap redho daripada Allah;
    Sebaik kaki berada di Makkah,
    Tunduklah kanda mohon barokah.

    Cinta Allah kepada kita,
    Seisi alam bukan taranya;
    Haji yang mabrur dapat hendaknya,
    Kanda berdua insan tercinta.

    ReplyDelete
  3. Adinda Zul,

    Terima kasih atas segala sokongan.

    Cantik & bermakna sekali susunan kata dalam bait-bait pantun di atas. Uda belum sempat membalasnya.

    Insya Allah dapat dibalas jua . . . mungkin saja setelah Uda kembali dari Tanah Suci kelak.

    Sementara itu salam mesra daripada Uda & famili utk adinda dan sekeluarga juga.

    ReplyDelete
  4. Salam, Da,
    Doakan adinda tidak lagi berdarah gemuruh apabila berdepan dengan khalayak atau apa-apa sahaja. Adinda ini darah gemuruh orangnya.

    Selamat berangkat, kanda.

    ReplyDelete