Thursday, June 14, 2012

36 Hari Sebelum Ramadan dan Empat Bulan Selepas Tuk Cu Ali

Ahad, 12 Februari 2012 yang baru lalu, datuk saudara saya yang kami adik-beradik panggil Tuk Cu Ali kembali ke rahmatullah. Hal ini saya ceritakan lewat Blog saya pada 13 Februari 2012. Hari ini, jam 1:05 minit, 14 Februari 2012, berselang kira-kira empat bulan, isteri almarhum Tuk Cu Ali saya itu pula menyusuli pemergiannya. Innalillahi wa inna ilaihi roji‘un.

Ibu saya memanggil almarhumah sebagai Cor Timah, kami adik-beradiknya memanggilnya Opah Cu walaupun kami boleh memanggilnya Wan Cor (kerana dia sepupu ibu saya.) Almarhumah Opah Cu saya itu anak kepada kakak datuk saya (berstatus anak saudara kepada datuk saya), tetapi arwah suaminya adik kepada nenek saya (berstatus datuk saudara saya).

Almarhumah telah beberapa tahun menghidap Parkinson dan penyakit itu mula mengubah dirinya daripada boleh bercakap kepada tidak boleh bercakap sejak hampir tiga tahun lalu. Semasa hayatnya, almarhumah insan yang memelihara solatnya. Kerana doanya yang tidak pernah putus, almarhumah beroleh anak-anak yang taat akan dirinya sebagai ibu mereka.

Almarhumah juga isteri yang taat akan almarhum suaminya yang hanya bekerja sebagai nelayan sungai. Sejak saya kecil, pengalaman melihat kemesraan mereka sebagai suami isteri menimbulkan kekaguman saya. (Semasa kecil, kemesraan pasangan suami isteri memang sering menjadi perhatian saya – yang paling mengagumkan saya ialah kemesraan tulen datuk-nenak saya!)

Sepanjang almarhumah Opah Cu saya sakit, anak-anaknya yang jauh pulang bergilir-gilir untuk menjaganya. Anak-anak lelakinya tidak kekok untuk memandikannya, menyuapkannya makan, bercerita dengannya, dan sebagainya. Anak-anak yang dekat dengan almarhumah kerap membawa ibu mereka ke rumah masing-masing. Ibu yang baik memang beroleh anak-anak yang baik.

Anak-anak almarhumah, pada hemat saya, telah lulus dengan cemerlang dalam mendepani ujian yang diturunkan oleh Allah SWT itu. Mereka mendepaninya dengan sabar, tabah, dan sangat ikhlas. Kesabaran, ketabahan, dan keikhlasan mereka itu hendaknya diganjari oleh Allah SWT dengan pahala bertimbun selain diganjari dengan kasih dan rahmat-Nya.

Kematian saudara-mara saya sering menjentik kesedaran dalam diri ini – dekatilah mereka, ingatilah mereka, sayangilah mereka, cintailah mereka selagi mereka berhayat. Kelak, apabila mereka meninggal dunia, kedukacitaan yang melanda perasaan kita bukan kerana kita menyesali perbuatan kita terhadap dirinya, melainkan kerana kita memang menyayanginya.

Bismillahirrohmanirrohim. Ya, Allah, Engkau ampunilah Opah Cuku itu, letakkanlah darjatnya dalam kalangan orang yang mendapat hidayah; lindungilah keluarga dan keturunannya yang masih hidup; ampunilah dia dan kami, wahai Tuhan sekalian alam; luaskanlah kuburnya dan berikanlah cahaya di dalamnya. Amin, amin, amin, ya Robbalalamin!

No comments:

Post a Comment