Monday, June 25, 2012

Peribahasa Warisan Bangsa IV: Perihal “Tua”, “Tuai”, dan “Tuar” di Tengah Sawah yang Luas

JUMLAH peribahasa yang berasal usul daripada masyarakat Minangkabau (Minang) yang terkenal oleh adat Perpatihnya itu sangat banyak. Salah satu cara untuk mengenali sesuatu peribahasa/pepatah/perbilangan itu benar-benar berasal daripada masyarakat Minang adalah dengan cara memahami tema peribahasa itu. Kalau temanya berbau adat, saya yakin bahawa peribahasa itu dicipta oleh leluhur masyarakat Minang inilah.

Saya menemukan peribahasa “sawah luas tahan tua, rumah gedang tahan tonggak” dalam KDE4, (pada entri sawah, hlm.  1399). Perkataan gedang yang bermaksud “besar” itu sendiri sudah membayangkan keminangkabauan peribahasa ini, apatah lagi maksudnya – “setiap bentuk peminjaman wang perlu diadakan saksinya”. Maksud yang lahir daripada peribahasa itu jelas menekankan adat dan adab dalam aktiviti peminjaman wang.

KIPM2 yang saya rujuki juga memberikan bentuk ungkapan yang sama dengan KDE4 – “sawah luas tahan tua, rumah gedang tahan tonggak”. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan pun menggunakan ungkapan yang sama. Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan demikian juga. Tabiat saya yang suka mengaitkan logik sesuatu ungkapan dalam peribahasa dengan maksudnya telah menimbulkan kesukaran pula kepada saya untuk memahami ungkapan ini kerana saya bukan orang Minang.

Melalui pemerhatian saya, ungkapan kedua – “rumah gedang tahan tonggak” – jelas logiknya untuk dikaitkan dengan maksud peribahasa ini. Rumah yang besar perlu “diadakan” tonggaknya bagi memastikan ketahanannya. Walau bagaimanapun, ungkapan yang pertama – “sawah luas tahan tua” – tidak menampakkan logiknya. Sawah yang luas perlu diadakan tuanya. Apakah tujuannya? Lagipun perkataan tua dan tonggak berbeda kelas kata – tua kata adjektif, tonggak kata nama.

Kerana berasa yakin bahawa ungkapan itu salah, saya mencuba untuk menggantikan perkataan tua itu dengan perkataan tuai lalu menjadi “sawah luas tahan tuai”. Terasa seperti ada logiknya – sawah yang luas perlu diadakan tuainya (tuai ialah alat untuk memotong padi yang dikenal juga sebagai ani-ani/ketam). Walau bagaimanapun, ada juga tidak kenanya kerana daripada segi saiz sawah, sama ada kecil atau luas, tuai memang perlu diadakan/disediakan!

Berkat kesungguhan saya, saya menemukan perkataan yang saya yakini betul dan tepat – tuar, iaitu perkataan yang berasal daripada bahasa Minang. Perkataan tuar, dalam bahasa Minang, merujuk kepada “ranting-ranting kayu yang didirikan di sawah untuk menakutkan burung” (KDE4, hlm. 1475). Dengan “kehadiran” tuar, barulah ungkapan itu terasa logiknya dan sesuai dijodohkan dengan sawah yang luas dan kita pun bolehlah mengungkapkannya sebagai “sawah luas tahan tuar”.

Saya katakan ungkapan “sawah luas tahan tuar” logik kerana sawah yang luas (bukan sepetak atau sepiring, kata orang Minang) memang sukar untuk kita awasi. Kerana kesukaran itu, sesuatu perlu diadakan untuk menjaganya. Hasil kebijaksanaan pemilik sawah yang luas atau mungkin juga dengan saranan atau nasihat orang lain, dia memancang ranting-ranting kayu yang berperanan sebagai “orang-orangan” untuk mengurangkan kehadiran burung-burung pemakan padi (pegar?).

Berlakunya kesilapan ini barangkali berpunca daripada silap faham di pihak penyusun/pengumpul yang terawal dahulu (yang bukan orang Minang, rasa-rasanya). Beliau menyangka perkataan tuar yang diujarkan oleh orang Minang itu memang disebut dan dieja sebagai tua. Hal ini berlaku demikian kerana pihak yang menjadi sumber pemberi maklumat itu tidak membunyikan abjad “r”nya semasa mengungkapkan perkataan tuar itu.

Ungkapan “sawah luas tahan tuar, rumah gedang tahan tonggak” kemudiannya dapatlah saya sahkan sebagai betul dan benar apabila Kamus Peribahasa Minangkabau, susunan Anas Nafis (bagi pihak Yayasan Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau dan diterbitkan oleh Penerbit Intermasa, Indonesia) yang saya rujuki kemudiannya ada memuatkan peribahasa ini (pada entri TUA - TUAR, hlm. 515).

No comments:

Post a Comment