Monday, June 4, 2012

Zulfahmi Khairuddin, Moto3, dan Perkataan “berkubur”

Saya menonton dan mendengar siaran berita ringkas dalam suatu saluran sukan berbahasa Melayu malam tadi. Saya memberikan tumpuan yang penuh apabila berita yang disampaikan itu menyentuh perihal Muhd. Zulfahmi Khairuddin. Walau bagaimanapun, tajuk berita itu telah menyebabkan saya sedikit terkedu apabila penyampai berita itu berkata (lebih kurang): “Hasrat Zulfahmi Khairuddin untuk mencatat sejarah sebagai pelumba pertama negara menaiki podium kejuaraan motosikal dunia berkubur...”. Yang membuatkan saya terkedu dan tidak sedap hati ialah perkataan “berkubur” itu.

Saya terkejut kerana sangkaan yang muncul di hati dan fikiran saya telah mendahului perincian berita yang selanjutnya. Saya menyangka bahawa Zulfahmi Khairuddin telah terlibat dalam kemalangan yang teruk dalam perlumbaan Moto3 sehingga menjejaskan dirinya lalu tidak dapat bersaing pada perlumbaan-perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix Dunia lagi. Saya sebenarnya mengikuti perkembangan diri anak muda ini sedikit banyak kerana saya meminati perlumbaan motosikal yang bagi saya lebih menarik dan mendebarkan jika hendak dibandingkan dengan perlumbaan kereta F1.

Selepas tajuk itu diperihalkan dan diperincikan oleh suara latar yang kemudiannya disertai oleh sedutan video tentang perlumbaan itu, barulah perasaan terkejut yang mengganggu saya itu mereda dan pulih. Walau bagaimanapun, ada perasaan jengkel yang tumbuh dalam hati ini.

Kepada yang tidak mengenali Zulfahmi Khairuddin, elok saya perkenalkan diri anak muda ini serba sedikit. Beliau merupakan ahli sukan permotoran (motosikal) pada peringkat dunia. Beliau yang berasal dari Banting, Selangor dan baru berusia 21 tahun (dilahirkan pada 20 Oktober 1991) merupakan wakil tunggal negara dalam perlumbaan motosikal GP Dunia bagi kelas Moto3 (dulu 125cc). Beliau mewakili pasukan AirAsia-Sic-Ajo yang membawa nama Malaysia dalam sukan ini dan mula beraksi dalam GP Dunia pada tahun 2009 (beraksi sekali bagi kategori 125cc).

Beliau mula bersaing secara tetap bagi kategori 125cc pada tahun 2010 dengan menunggang motosikal Aprilia. Pada tahun itu, beliau beroleh 4 mata (daripada 16 perlumbaan) dan menduduki posisi ke-24 keseluruhan. Pada tahun 2011, beliau menunggang motosikal Derby pula dan menduduki posisi ke-18 keseluruhan setelah beroleh 30 mata (daripada 17 perlumbaan). Pada tahun ini (setakat 3 Jun 2012), setelah bersaing dalam lima perlumbaan dengan menunggang KTM pula, beliau beroleh 37 mata dan menduduki posisi ke-7 keseluruhan.

Anak muda ini sentiasa positif. Beliau sentiasa yakin bahawa masanya akan tiba untuk beliau menjadi pelumba Malaysia pertama menaiki podium dalam mana-mana perlumbaan GP Dunia. Beliau bakal berentap dalam 13 perlumbaan lagi — 13 Jun di Britain, 30 Jun di Belanda, 8 Julai di Jerman, 15 Julai di Itali, 29 Julai di Amerika Syarikat, 19 Ogos di Indianapolis, 26 Ogos di Republik Czech, 16 September di San Marino, 30 September di Aragon, 14 Oktober di Jepun, 21 Oktober di Malaysia, 28 Oktober di Australia, dan 11 November di Valencia. Selamat berjaya, Zulfahmi!

Kita tinggalkan Zulfahmi dan kembali kepada hal yang menjengkelkan saya — perkataan “berkubur”. Betulkah penggunaan kata itu dalam tajuk berita itu? Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, selain didefinisikan sebagai “ditanam (mayat), dikebumikan”, perkataan “berkubur” turut didefinisikan sebagai “hapus, hilang, tidak dapat diamalkan lagi atau diteruskan”. Oleh sebab itulah apabila penyampai berita melafazkan berita yang mengandung kata “berkubur” bagi menggambarkan nasib Zulhazmi (yang saya ikuti perkembangannya), saya terkejut dan kemudiannya berasa jengkel.

Seperti yang saya tegaskan, persaingan Moto3 masih berbaki 13 perlumbaan dan Zulhazmi masih bernyawa dan sihat wal afiat. Beliau, insya-Allah, masih mampu untuk meneruskan perlumbaan dan mencari kejuaraan dalam mana-mana perlumbaan. Impiannya masih belum “berkubur”. Sebaliknya, impian Zulhazmi untuk menaiki podium cuma “terbantut, terhalang, atau tersekat seketika” dan bukannya “tidak dapat diteruskan langsung/sama sekali”. Jadi, berita itu tidak tepat kerana pihak editorialnya tersilap dalam memilih perkataan yang merujuk kepada kegagalan yang bersifat sementara.

Oleh itu, memang wajarlah YB Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim menetapkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat sebagai syarat lesen kepada stesen radio mulai tahun depan. Pandangan Ketua Media Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Borhan Md. Zain, yang menyarankan penubuhan satu jawatankuasa penguatkuasaan yang berperanan untuk memantau penggunaan bahasa bagi siaran di media cetak dan elektronik pun wajar disambut baik oleh pengamal media cetak dan elektronik.

Sudah sampai masanya kita berasa malu apabila tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan betul, sama halnya dengan perasaan malu yang terbit dalam diri kita apabila kita tidak bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, tepat, dan betul. 

2 comments:

  1. Saya setuju benar kata tuan. Bahasa melambangkan keseluruhan.

    ReplyDelete
  2. Salam, Kolam Gemencheh,
    Mari kita berdoa agar budak Zulfahmi ini berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan ini pula.

    Marilah kita berdoa juga agar orang-orang media ini bercakap dengan menggunakan bahasa yang betul.

    ReplyDelete