Monday, June 18, 2012

Peribahasa Warisan Bangsa II: Nasibnya dalam Kamus

PERIBAHASA MELAYU, seperti yang diperihalkan dalam siaran yang lalu, merupakan ungkapan yang terhasil daripada kebijaksanaan masyarakat Melayu silam menanggap hal-hal yang terdapat dan yang berlaku di persekitarannya. Mereka kemudiannya menyusun kata dengan begitu indah, lalu terungkaplah ungkapan berbentuk kiasan yang menarik, tepat, dan tinggi nilai estetikanya.

Seperti yang dijelaskan lewat siaran yang lalu, kecuaian yang dilakukan oleh masyarakat yang terkemudian telah menyebabkan ada peribahasa yang tidak diungkapkan dengan tepat sehingga ada peribahasa yang menyimpang daripada fenomena alam yang dicermati oleh masyarakat Melayu silam seperti peribahasa “sepandai-pandai tupai melompat, sesekali gawal juga” itu.

Kesilapan turut berlaku dalam pendokumentasian peribahasa, khususnya dalam kamus, sama ada dalam kamus-kamus peribahasa ataupun dalam kamus-kamus bahasa seperti Kamus Dewan/KD. KD, sehingga kini, terus menjadi pegangan utama pengguna serta pencinta bahasa Melayu. Usaha pihak penyusun KD ini memasukkan peribahasa dalam entri tertentu amat wajar dipuji.

Walau bagaimanapun, pendokumentasian peribahasa dalam KD itu tidak dapat lari daripada kesilapan. Saya menemukan beberapa peribahasa yang tidak tepat dalam kamus itu. Kesilapan yang tidak disengajakan itu sedikit banyak telah mencacatkan keindahan sesuatu peribahasa, khususnya apabila peribahasa itu digunakan dalam penulisan, ucapan, dan sebagainya.

Dalam KDE3 (1994) dahulu, di bawah entri adat (hlm 7), terdapat peribahasa “adat periuk bergerak, adat lesung berdedak”. Jelas bahawa perkataan bergerak pada peribahasa itu tidak tepat dan melucukan. Alhamdulillah, dalam KDE4 (2005), kata bergerak itu telah dibetulkan kepada perkataan yang selayaknya, iaitu berkerak lalu menjadi “adat periuk berkerakadat lesung berdedak” (hlm 8).

Begitu juga dengan peribahasa “orang habis besi binasa, tukang hembus penat sahaja” pada entri binasa (hlm. 160) dalam KDE3 lalu. Kehadiran perkataan orang pada ungkapan itu jelas tidak tepat, justeru menimbulkan rasa gerun pula! Alhamdulillah, dalam KDE4, perkataan yang betul untuk ungkapan itu, iaitu perkataan arang, telah menggantikan perkataan orang yang salah itu.

Perkataan orang untuk arang sekali lagi dapat ditemukan dalam KDE3 pada ungkapan habis air setelaga orang dibasuh tak putih pada entri habis (hlm. 423-424). Tidak mungkin hingga begitu sekali imej yang digunakan oleh nenek moyang kita untuk mengiaskan “kejahatan manusia yang sukar diubah”. Mujurlah perkataan orang itu telah ditukar kepada arang dalam KDE4 (entri habis, hlm. 493-494).
                         
Dalam KDE3 lalu juga, pada entri gamang (hlm. 364-365), terdapat peribahasa “orang penggamang mati jatuh, orang pending mati hanyut”. Pending (sejenis perhiasan) pada peribahasa itu jelas bukan gandingan penggamang. Alhamdulillah, dalam KDE4, kata pending yang salah itu telah dibetulkan kepada pendingin – “orang penggamang mati jatuh, orang pendingin mati hanyut” (hlm. 427-428).

Walau bagaimanapun, masih ada bentuk ungkapan peribahasa yang salah dalam KDE3 lalu yang masih belum dibetulkan dalam KDE4 ini. Hal ini berlaku demikian sudah tentulah kerana pihak sidang editor yang menangani edisi keempat ini tidak sedar akan kewujudan kesalahan itu, selain barangkali kerana adanya rasa yakin terhadap proses pendokumentasian yang dilakukan oleh pihak sidang pengarang yang terdahulu.

Dengan adanya edisi/“kitab” yang baharu (dengan penambahan dan pertambahan bahan-bahan dan input-input baharu serta pembaikan dan pengemaskinian bahan-bahan lama), edisi yang lalu tidaklah sah diperakukan sebagai “kitab” lagi. Untuk mengangkat edisi baharu sebagai “kitab” yang berautoriti pula, edisi baharu itu haruslah mencapai tahap bebas kesilapan. Dalam hal ini, kita tidak boleh berlepas tangan; DBP sedikit banyak wajar dibantu.

Tentang kesilapan bentuk ungkapan peribahasa yang tidak dibetulkan sejak KDE3 dahulu, insya-Allah, akan saya ketengahkan pada siaran yang akan datang.

No comments:

Post a Comment