Friday, June 29, 2012

Maka Saya Pun Tergolonglah dalam Golongan Itu

Saya tidak pasti cara yang manakah yang betul untuk memulakan hari yang baharu. Saya sendiri lebih suka memulakan hari baharu saya bermula pada waktu Maghrib. Hal ini menjadi pegangan saya kerana kalendar Islam mengiranya begitu. 

Awal Ramadan, misalnya, bermula pada waktu Maghrib itulah. Tidak percaya? Bukankah kita memulakan solat Tarawih pada malam itu juga walaupun siangnya kita belum berpuasa! Maknanya, hari baharu Ramadan bermula pada petang itu – waktu Maghrib.

Lagipun, menetapkan hari baharu bermula dari waktu Maghrib lebih mudah – tidak kiralah waktu itu bermula seawal jam 6:59 atau selewat jam 7:30 waktu Semenanjung Malaysia. Tidaklah sampai bergaduh, hari baharu bermula jam 12:00 malam atau jam 12:01 malam?

Bermula Maghrib semalam, saya memasuki fasa baharu kehidupan – tergolong sebagai warga emas kerana usia saya sudah menginjak 50 tahun. Sekarang, saya sudah tergolong dalam kumpulan yang sama dengan ibu dan bapa saya sendiri walaupun saya muda kira-kira 20 tahun daripada mereka!

(Sebenarnya, jika mengikut kalendar Islam, usia saya sudah 50 tahun 7 bulan kerana saya dilahirkan pada 27 Muharam 1382, iaitu bersamaan dengan 29 Jun 1962). Tidak mengapalah, usia itu angka. Angka pada usia tidak sama pentingnya dengan angka yang ditetapkan pada solat (5 waktu, 17 rakaat semuanya).

Saya bersyukur kerana Allah khaliq saya, khaliq saudara saudari, masih memanjangkan usia saya dan usia saudara saudari juga (dipinjamkan sebenarnya). Sehingga usia 50 ini, banyak yang menyukakan hati ini dan banyak juga yang tidak menyukakan hati ini. Namun, apabila hati ini redho, semua yang tidak menyukakan menjadi hiburan!

Sehingga usia 50 ini, yang paling tidak menyukakan hati saya ialah kegagalan saya, pada waktu-waktunya, untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Saya masih belum konsisten hingga ada kalanya terasa hari ini lebih buruk daripada semalam dan hari esoknya pula lebih buruk daripada hari ini.

Saya akan mencuba yang lebih baik. Di samping saya bermohon agar semua amal baik saya sebelum menginjak usia 50 dahulu diterima oleh khaliq saya, saya juga bermohon agar Allah tidak membolak-balikkan hati terhadap agama saya pada masa depan hinggalah mata ini tertutup dan celik semula di alam kubur!

Pada usia 50 ini, saya berharap agar saya dapat hidup dalam negara yang aman, negara yang dipimpin oleh pemuka-pemuka yang adil, pemuka-pemuka yang megah dan seronok untuk menjadikan akhlak Rasulullah SAW dan keluarganya serta para sahabatnya sebagai ikutan dan contoh kehidupan mereka.

Kerana saya tidak tahu sama ada doa saya dimakbulkan oleh Allah SWT atau ditangguhkan-Nya dahulu ataupun ditolak-Nya, maka doa itu akan terus memakai baju harapan. Walau bagaimanapun, saya yakin bahawa Allah SWT tidak akan menghampakan hamba-Nya selagi hamba-Nya itu terus berdoa dan taat kepada-Nya. Itulah cita-cita besar saya — terus mentaati-Nya.

Amin!

2 comments:

  1. As-Salam.

    Selamat menyambut hari lahir yang ke-50. Semoga Allah memanjangkan umur tuan, dimurahkan rezeki dan Allah mengabulkan doa tuan di dalam entry ini. Amin.

    ReplyDelete
  2. Cik Mistree,
    Amin, amin, amin.

    Terima kasih, Cik Mistree.

    ReplyDelete