Wednesday, June 20, 2012

Peribahasa Warisan Bangsa III: Kesalahan Pengungkapan Peribahasa dalam Kamus

PADA SIARAN yang lalu, saya berjanji untuk mengetengahkan bentuk-bentuk ungkapan peribahasa yang salah yang masih “bertakhta” dalam KDE4 sejak KDE3 dahulu. Pendedahan ini dilakukan bukan untuk mencari kesalahan siapa-siapa melainkan untuk memastikan kemurnian pusaka nenek moyang kita ini terus terpelihara, selain sedikit banyak dapat membantu pihak DBP sendiri.

Pendedahan ini sendiri belum tentu betul sepenuhnya; entah-entah saya sendiri yang tersalah faham akan bentuk ungkapan yang sebenarnya. Walau bagaimanapun, setidak-tidaknya, pendedahan ini akan membuka ruang untuk kita sama-sama membicarakannya, seperti kita membicarakan bentuk ungkapan “melepaskan batuk di tangga” dan “harapkan pagar, pagar makan padi” itu.

Saya mulakan dengan peribahasa “air besar batu bersibak” dalam KDE4 (entri air hlm. 18). Dalam KDE4 sendiri, saya tidak menemukan perkataan/entri sibak yang menerbitkan kata bersibak itu. Yang ada ialah perkataan sebak (disebut sébak) yang menerbitkan perkataan bersebak (KDE4, hlm. 1403). Entri sebak itu sendiri ada menyenaraikan peribahasa yang sama – “air besar batu bersebak”. Rupa-rupanya, perkataan sibak itu berasal daripada dialek Minangkabau – basibak yang bermaksud “berkuak”.

Pada entri air (KDE4) ini juga, ada peribahasa “air dalam berenang (berkumbah), air dengkat bercebok”. Saya mencari maksud dengkat. Seperti perkataan bersibak, perkataan dengkat tidak wujud dalam KDE4. Apabila saya merujuk kepada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua (KIPME2), hlm. 5, saya temukan peribahasa “air dalam berenang (berkumbah), air dangkal bercebok” (no. 73). Jadi, dari manakah datangnya perkataan dengkat itu?

Beberapa peribahasa pada entri anak (KDE4, hlm. 49-50) turut mengandung kesalahan. Ungkapan “bagai anak sepat ke tohor”, misalnya, tidak tepat kerana menggambarkan tohor sebagai tempat (kata nama) walhal tohor ialah kata adjektif. Keadaan yang sebenarnya ialah anak sepat itu mengalami masalah ketohoran (kecetekan air). Ungkapan yang betul ialah “bagai anak sepat ketohoran” (lihat entri sepat, KDE4, hlm. 1459 dan KIPME2, no. 285, hlm. 16). Anak sepat yang ketohoran bergerak dengan lemah gemalai kerana air tidak cukup dalam. Pergerakan yang lemah gemalai ini dikiaskan kepada manusia yang “bermalas-malas di rumah orang”.

Peribahasa “menggerek bagai anak nangoi” pada entri anak (KDE4, hlm. 50) salah juga. Nangoi merujuk kepada “babi yang banyak anak” manakala menggerek bermaksud “melubang”. Perkataan yang memperlihatkan perkaitan dengan anak nangoi bukannya perkataan menggerek, sebaliknya perkataan menggeriak (= “menggerumut”, ”mengeriap”, “berkerumun”). Apa-apa binatang yang berkumpul dalam jumlah yang banyak (anak nangoi, cacing, semut, dsb) dapat kita lihat bertindan tindih di atas satu dengan yang lain dan bergerak menggeriak-geriak. Hal ini dikiaskan kepada “manusia yang banyak anak, tetapi malas berusaha”. Ungkapan yang betul ini – “menggeriak bagai anak nangoi” – dapat ditemukan pada entri nangoi (KDE4, hlm. 1069) dan KIPM2 (no. 2654, hlm. 145).

Akhir sekali, pada entri anak itu juga ditemukan ungkapan “tergising-gising bagai anak tiada diaku” (KDE4, hlm. 51). Ungkapan yang sama turut digunakan dalam KIPM2 (no. 4048, hlm. 217) dengan sedikit kelainan pada perkataan di hujungnya. KIPM2 menggunakan perkataan diakui. Maksud yang diberikan oleh KDE4 untuk peribahasa ini ialah “mendekati orang yang tidak mahu dihampiri” manakala KIPM2 memberikan maksud “orang yang sangat manja kepada majikannya”. Kesalahan peribahasa ini terdapat pada perkataan tergising-gising itulah kerana perkataan itu tidak terdapat dalam kamus. Yang ada ialah perkataan geseng yang membentuk perkataan tergeseng-geseng itu. Tentang maksud peribahasa itu, kita boleh menerima kedua-duanya.

Demikianlah beberapa bentuk kesalahan dalam pengungkapan peribahasa yang terkandung dalam kamus yang menjadi pegangan pengguna bahasa, khususnya Kamus Dewan dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Hal ini perlu dibetulkan supaya bentuk ungkapan yang standard dapat diwujudkan, setidak-tidaknya di Malaysia ini. Walaupun sebilangan peribahasa yang dijadikan sebagai contoh itu hanya mengandung kesalahan ejaan (bersibak dan tergeseng-geseng), namun hal ini tetap perlu dibetulkan. Jika masih hendak menggunakan bentuk yang tidak wujud dalam kamus itu, mahu tidak mahu, Kamus Dewan edisi yang selanjutnya perlu memasukkan entri-entri baharu seperti sibak dan gising itu.

Insya-Allah, hal berkaitan peribahasa ini akan dibicarakan dalam siaran yang akan datang pula. 

No comments:

Post a Comment