Wednesday, June 6, 2012

RM2,616,465 Diperoleh oleh JPJ daripada WWW1-WWW20

Yang kayarayawan, yang hartawan, yang bangsawan — yang duit dan harta mereka berlebih-lebih, yang sehingga demikian segala-galanya dapat dibeli — berasa seronok kerana dapat berbelanja dengan serampangan. Kita masih “dapat menumpang kegembiraan” kalau perbuatan menunjuk-nunjuk mereka itu diperlihatkan mereka dengan bersedekah atau berwakaf dengan tujuan supaya kayarayawan, hartawan, dan bangsawan lain akan mencontohnya. (Kita melihat mereka seperti menunjuk-nunjuk, tetapi jauh di dalam hati masing-masing, mereka melakukan demikian semata-mata hendak memastikan perbuatan mereka itu menjadi contoh dalam hal berkaitan sedekah dan wakaf ini.)

Kita juga tentu berasa bangga jika ada kalangan pemimpin dan pembesar negeri dan negara kita yang ikut melakukan ibadah qurban, misalnya. Sebagai contohnya, mereka menyumbangkan dana untuk menyediakan 50 ekor lembu atau kambing atau apa-apa sahaja haiwan ternakan yang layak untuk diqurbankan di Kemboja, Indonesia, Bangladesh, dan negara-negara lain selain negara sendiri. (Tentu ada antara mereka yang berbuat demikian, tetapi mereka menyembunyikannya untuk menjadi manusia mukhlis. Tetapi, kalau mereka mendedahkan perbuatan mereka itu supaya pemimpin lain ikut meneladan mereka, rasa saya, eloklah diwara-warakan perbuatan mereka itu.)

Sebaliknya, kalau yang kayarayawan, yang hartawan, yang bangsawan itu lebih berminat untuk mendedahkan kekayaan mereka dengan tujuan yang tidak ada kaitan dengan ibadah, yakinilah bahawa mereka akan mengundang tohmahan dan fitnah manusia. Di negara kita, hal inilah yang banyak dilakukan orang kerana peneraju negara ini lebih cenderung untuk memperlihatkan hal-hal sedemikian — mengajar rakyat menjadi materialistik. Lihatlah, misalnya, pembinaan kediaman PM, DYMM YdP Agong, MB-MB dan KM-KM, dan lain-lain. Berapa keratkah daripada tokoh-tokoh peneraju negara/negeri ini yang memiliki kediaman sederhana seperti TG Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, misalnya?

Lihatlah yang berlaku dalam hal pembidaan WWW itu. Sebenarnya, hal ini tidak perlu sampai orang membuat komen apa-apa pun. Hal ini saya katakan demikian kerana sebaik-baik orang mengetahui bahawa pembidaan untuk nombor plat itu bernilai ratusan ribu ringgit (gerangan yang membidanya belum pun diketahui orang pada waktu itu), sudah ada “kekaguman” dalam diri orang ramai tentang hal ini. Saya sendiri tidak dapat lari daripada berasa “kagum” akan hal ini apabila KOSMO! pada keluaran 8 April 2012 membayangkan plat WWW1 itu akan mencecah nilai RM500,000. Fikiran saya berkata-kata, “ada rupa-rupanya taikun atau tauke Cina” yang sanggup berbelanja besar untuk mendapat nombor plat yang “unik” itu.

Rasa “kagum” itu sebenarnya bukanlah baru pertama kali saya alami. Dulu pun, apabila mengetahui plat nombor kenderaan MCA 1 dibida pada harga RM300,100 (rekod tertinggi sebelum dipintas oleh WWW1 [RM520,000], WWW3 [RM360,000], dan WWW9 [RM350,000]), TAY 1 pada harga RM242,000, TAN 1 pada harga RM200,900, JJJ 1 pada harga RM168,000, dan MCA 2 pada harga RM101,000, saya sudah berasa kagum. Malah, beberapa tahun lalu saya pernah “terkejut beruk” apabila mendengar khabar bahawa di Dubai sana, ada seorang usahawan yang sanggup membayar AS$14 juta (kira-kira RM45 juta mengikut nilai sekarang) untuk mendapatkan nombor pendaftaran 1 bagi kereta Bugatti Veyron kesayangannya!

Perkara yang menarik untuk sama-sama kita perhatikan tentang hal pemilikan WWW1 ini ialah mengapakah hal tersebut kelihatan sedikit kontroversi? Kerana nilainya yang ratusan ribu ringgit itukah ataupun kerana tokoh yang membidanya? Kalau kerana tokoh yang membidanya, nilai RM220,000 pun tinggi juga, tetapi mengapakah tokoh yang turut mengeluarkan belanja ratusan ribu ringgit untuk tujuan yang sama itu tidak sama-sama dikontroversikan? Saya menyarankan saudara saudari membaca tulisan Pak Subky Latif di http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/10770-berkenaan-nombor-plat-www1 untuk mengetahui jawabannya. Pada pandangan saya, tulisan Pak Subky itu sedikit banyak (banyak sebenarnya) dapat menjawab persoalan yang saya bangkitkan ini.

Jangan kita bersangka buruk. Pemilik WWW 1 itu dermawan, cuma kedermawanannya tidak diwara-warakan orang (bukan diwara-warakan oleh tokoh itu sendiri) sehingga dapat diketahui ramai. Hal ini berbeda dengan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari. Kehartawanannya diketahui orang, tetapi pada masa yang sama kedermawanannya juga diketahui orang. Kehartawanan dan kebudimanannya bergerak seiring. Orang ramai tahu bahawa beliau adalah antara manusia ke-10 (ke-5) yang terkaya di Malaysia. Pada masa yang sama, orang juga tahu bahawa beliau menabur budi melalui Yayasan al-Bukhari miliknya yang hingga kini telah membantu belasan ribu pelajar miskin dari seluruh ASEAN!

Jadi, kalau beliau bermewah-mewah, orang mungkin tidak akan mempertikaikannya. Pertama, beliau hartawan yang tidak lokek, malah lebih dermawan pula (seiring). Kedua, beliau bukannya pemimpin tetapi usahawan. Ada perbedaan tanggungjawab antara pemimpin dengan hartawan. Pemimpin mendukung amanah yang sangat besar di pundaknya — kesejahteraan rakyat keseluruhannya melalui pemerintahan yang adil dan saksama. Usahawan pun punya tanggungjawab terhadap masyarakat, tetapi tanggungjawab mereka tidak seberat pemimpin. Kerana beratnya tanggungjawab sebagai pemimpinlah Khalifah Umar Abdul Aziz menangis apabila diberi tanggungjawab sebagai khalifah.

Hal ini perlu sama-sama kita fikirkan dengan fikiran dan hati yang lapang dan terbuka. Barangkali, pada masa depan, plat-plat kenderaan bernombor unik itu dapat dijual pada harga yang lebih tinggi dan memberikan keuntungan pula kepada pemilik-pemiliknya, insya-Allah.

(Untuk pembidaan WWW 1-WWW 20 sahaja, JPJ mengaut perolehan sebanyak RM2,616,465 — suatu jumlah yang besar. Bagaimanakah pula pembidaan terhadap plat kenderaan PUK 1, PUK 11, PUK 111, dan PUK 1111, apabila tiba waktunya kelak? Berapakah nilai yang sanggup dibelanjakan orang dan berapakah pula pendapatan yang bakal diperoleh JPJ?)

2 comments:

  1. As-Salam.

    Sistem kapitalis yang membelit umat Islam. Thumb up untuk entry ini.

    ReplyDelete
  2. Salam sejahtera, Cik Mistree,
    Terima kasih, Cik Mistree. Saya bukan hendak mempertikaikan pembidaan itu, tetapi saya berharap agar kebaikan tokoh kita diketengahkan orang.

    ReplyDelete