Yang kayarayawan, yang hartawan, yang bangsawan — yang duit dan harta
mereka berlebih-lebih, yang sehingga demikian segala-galanya dapat dibeli —
berasa seronok kerana dapat berbelanja dengan serampangan. Kita masih “dapat
menumpang kegembiraan” kalau perbuatan menunjuk-nunjuk mereka itu diperlihatkan
mereka dengan bersedekah atau berwakaf dengan tujuan supaya kayarayawan,
hartawan, dan bangsawan lain akan mencontohnya. (Kita melihat mereka seperti
menunjuk-nunjuk, tetapi jauh di dalam hati masing-masing, mereka melakukan
demikian semata-mata hendak memastikan perbuatan mereka itu menjadi contoh
dalam hal berkaitan sedekah dan wakaf ini.)
Kita
juga tentu berasa bangga jika ada kalangan pemimpin dan pembesar negeri dan
negara kita yang ikut melakukan ibadah qurban,
misalnya. Sebagai contohnya, mereka menyumbangkan dana untuk menyediakan 50
ekor lembu atau kambing atau apa-apa sahaja haiwan ternakan yang layak untuk diqurbankan di Kemboja, Indonesia,
Bangladesh, dan negara-negara lain selain negara sendiri. (Tentu ada antara
mereka yang berbuat demikian, tetapi mereka menyembunyikannya untuk menjadi
manusia mukhlis. Tetapi, kalau mereka
mendedahkan perbuatan mereka itu supaya pemimpin lain ikut meneladan mereka,
rasa saya, eloklah diwara-warakan perbuatan mereka itu.)
Sebaliknya,
kalau yang kayarayawan, yang hartawan, yang bangsawan itu lebih berminat untuk
mendedahkan kekayaan mereka dengan tujuan yang tidak ada kaitan dengan ibadah,
yakinilah bahawa mereka akan mengundang tohmahan dan fitnah manusia. Di negara
kita, hal inilah yang banyak dilakukan orang kerana peneraju negara ini lebih
cenderung untuk memperlihatkan hal-hal sedemikian — mengajar rakyat menjadi
materialistik. Lihatlah, misalnya, pembinaan kediaman PM, DYMM YdP Agong, MB-MB
dan KM-KM, dan lain-lain. Berapa keratkah daripada tokoh-tokoh peneraju
negara/negeri ini yang memiliki kediaman sederhana seperti TG Datuk Haji Nik
Abdul Aziz Nik Mat, misalnya?
Lihatlah
yang berlaku dalam hal pembidaan WWW itu. Sebenarnya, hal ini tidak perlu
sampai orang membuat komen apa-apa pun. Hal ini saya katakan demikian kerana
sebaik-baik orang mengetahui bahawa pembidaan untuk nombor plat itu bernilai ratusan
ribu ringgit (gerangan yang membidanya belum pun diketahui orang pada waktu
itu), sudah ada “kekaguman” dalam diri orang ramai tentang hal ini. Saya
sendiri tidak dapat lari daripada berasa “kagum” akan hal ini apabila KOSMO! pada keluaran 8 April 2012
membayangkan plat WWW1 itu akan mencecah nilai RM500,000. Fikiran saya
berkata-kata, “ada rupa-rupanya taikun atau tauke Cina” yang sanggup berbelanja
besar untuk mendapat nombor plat yang “unik” itu.
Rasa “kagum” itu sebenarnya bukanlah
baru pertama kali saya alami. Dulu pun, apabila mengetahui plat nombor
kenderaan MCA 1 dibida pada harga RM300,100 (rekod tertinggi sebelum dipintas
oleh WWW1 [RM520,000], WWW3 [RM360,000], dan WWW9 [RM350,000]), TAY 1 pada
harga RM242,000, TAN 1 pada harga RM200,900, JJJ 1 pada harga RM168,000, dan
MCA 2 pada harga RM101,000, saya sudah berasa kagum. Malah, beberapa tahun lalu
saya pernah “terkejut beruk” apabila mendengar khabar bahawa di Dubai sana, ada
seorang usahawan yang sanggup membayar AS$14 juta (kira-kira RM45 juta mengikut nilai
sekarang) untuk mendapatkan nombor pendaftaran 1 bagi kereta Bugatti Veyron kesayangannya!
Perkara yang menarik untuk sama-sama
kita perhatikan tentang hal pemilikan WWW1 ini ialah mengapakah hal tersebut kelihatan
sedikit kontroversi? Kerana nilainya yang ratusan ribu ringgit itukah ataupun
kerana tokoh yang membidanya? Kalau kerana tokoh yang membidanya, nilai RM220,000
pun tinggi juga, tetapi mengapakah tokoh yang turut mengeluarkan belanja
ratusan ribu ringgit untuk tujuan yang sama itu tidak sama-sama dikontroversikan?
Saya menyarankan saudara saudari membaca tulisan Pak Subky Latif di http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/10770-berkenaan-nombor-plat-www1
untuk mengetahui jawabannya. Pada pandangan saya, tulisan Pak Subky itu sedikit
banyak (banyak sebenarnya) dapat menjawab persoalan yang saya bangkitkan ini.
Jangan
kita bersangka buruk. Pemilik WWW 1 itu dermawan, cuma kedermawanannya tidak
diwara-warakan orang (bukan diwara-warakan oleh tokoh itu sendiri) sehingga dapat diketahui ramai. Hal ini berbeda dengan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari.
Kehartawanannya diketahui orang, tetapi pada masa yang sama kedermawanannya
juga diketahui orang. Kehartawanan dan kebudimanannya bergerak seiring. Orang
ramai tahu bahawa beliau adalah antara manusia ke-10 (ke-5) yang terkaya di
Malaysia. Pada masa yang sama, orang juga tahu bahawa beliau menabur budi
melalui Yayasan al-Bukhari miliknya yang hingga kini telah membantu belasan
ribu pelajar miskin dari seluruh ASEAN!
Jadi,
kalau beliau bermewah-mewah, orang mungkin tidak akan mempertikaikannya.
Pertama, beliau hartawan yang tidak lokek, malah lebih dermawan pula (seiring).
Kedua, beliau bukannya pemimpin tetapi usahawan. Ada perbedaan tanggungjawab
antara pemimpin dengan hartawan. Pemimpin mendukung amanah yang sangat besar di
pundaknya — kesejahteraan rakyat keseluruhannya melalui pemerintahan yang adil
dan saksama. Usahawan pun punya tanggungjawab terhadap masyarakat, tetapi tanggungjawab
mereka tidak seberat pemimpin. Kerana beratnya tanggungjawab sebagai pemimpinlah
Khalifah Umar Abdul Aziz menangis apabila diberi tanggungjawab sebagai
khalifah.
Hal
ini perlu sama-sama kita fikirkan dengan fikiran dan hati yang lapang dan
terbuka. Barangkali, pada masa depan, plat-plat kenderaan bernombor unik itu
dapat dijual pada harga yang lebih tinggi dan memberikan keuntungan pula kepada
pemilik-pemiliknya, insya-Allah.
(Untuk
pembidaan WWW 1-WWW 20 sahaja, JPJ mengaut perolehan sebanyak RM2,616,465 — suatu
jumlah yang besar. Bagaimanakah pula pembidaan terhadap plat kenderaan PUK 1, PUK
11, PUK 111, dan PUK 1111, apabila tiba waktunya kelak? Berapakah nilai yang
sanggup dibelanjakan orang dan berapakah pula pendapatan yang bakal diperoleh
JPJ?)
As-Salam.
ReplyDeleteSistem kapitalis yang membelit umat Islam. Thumb up untuk entry ini.
Salam sejahtera, Cik Mistree,
ReplyDeleteTerima kasih, Cik Mistree. Saya bukan hendak mempertikaikan pembidaan itu, tetapi saya berharap agar kebaikan tokoh kita diketengahkan orang.