Tuesday, June 19, 2012

Orang Eropah Pun Dapat Telur Juga Selepas Sesuatu Upacara

Kalau saya pergi menghadiri majlis kenduri pernikahan pada suatu masa dulu, yang selalu saya bawa pulang selepas majlis itu ialah telur (sama ada bunga telur atau telur yang di dalam cawan atau bekas berbentuk kotak). Telur-telur itu diberikan oleh tuan rumah. Yang elok daripada pemberian itu ialah kalau kebetulan saya pergi sendirian, saya ada sesuatu untuk membuktikan kepergian saya ke majlis itu kepada orang rumah. 

Sama ada dimakan atau tidak telur itu bergantunglah pada keadaan telur itu. Kalau telur itu elok masaknya, tidak lembik sehingga sukar dikupas, dapatlah dimakan, sama ada oleh anak saya atau saya sendiri. Kalau sebaliknya, faham-faham sajalah. (Telur sebagai “hadiah” daripada tuan rumah yang mengadakan majlis pernikahan anak mereka sukar diperoleh sekarang. Kini, tuan rumah lebih suka memberikan jajan, baulu, dsb.)

Rupa-rupanya, di Eropah sana, adat kita ini turut diamalkan oleh bangsa-bangsa yang bermastautin di sana. Mereka bukan membawa telur pulang dari majlis perkahwinan, tetapi majlis yang lebih besar daripada itu. Sekali ini, yang membawa telur pulang kesemuanya lelaki. Berbeza dengan kita. Kita membawa telur pulang tanpa rasa malu dan tanpa berasa bimbang kerana tiada sesiapa yang akan mengancam kita.

Di Eropah sana, kepulangan mereka dengan membawa telur pulang menimbulkan tohmahan, kutukan, dan barangkali ada yang akan dikenakan tindakan! Kepulangan Belanda dari Kejohanan Bola Sepak EURO 2012, dengan membawa telur (tanpa kemenangan apa-apa pun) memungkinkan jurulatihnya, Bert van Marwijk dipecat daripada jawatannya. Pemain-pemainnya pula sedikit banyak pasti menjadi sasaran kecaman peminatnya.

Begitu juga halnya dengan Ireland. Mereka pun pulang dengan membawa telur selepas kalah dalam semua tiga perlawanan. Jurulatihnya, Giovanni Trapatonni, pasti menanggung aib kerana pasukannya adalah antara pasukan yang banyak memboloskan gol!

Telur-telur majlis pernikahan, telur-telur Kejohanan Bola Sepak EURO 2012. Telur-telur majlis pernikahan enak dimakan; telur-telur Kejohanan Bola Sepak EURO 2012 pahit ditelan! Kesian, Belanda. Kesian kawan aku yang menyokong Belanda. Aku kata ada yang kena rasuah, engkau tak nak caya!

No comments:

Post a Comment