Friday, June 1, 2012

Datuk Seri Mohammad Nizar dan Abu Zar al-Ghifari

Kerana mantan MB Perak itu meluahkan pandangan peribadinya terhadap pembidaan WWW1, beliau “dicap” sebagai “penghasut” — khabarnya beliau akan disiasat oleh pihak berkuasa di bawah Akta Hasutan walaupun jika kita merujuk kepada twitternya, mantan MB Perak itu jelas tidak menyentuh perihal sumber wang itu, sama ada daripada kerajaan negeri atau “wang rakyat”. Yang dikatakan oleh beliau ialah “rm520k bolih dibelanjakan membantu rakyat melayu johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah pprt”.

Walaupun pandangan mantan MB Perak itu ada kebenarannya, rasa saya rakyat Johor berada dalam persimpangan untuk memperkatakan hal ini apatah lagi untuk menyetujuinya. Hal ini saya katakan demikian kerana mereka tahu bahawa Sultan mereka yang budiman itu mempunyai yayasannya sendiri untuk membantu rakyat baginda. Baginda, khabarnya, telah memperuntukkan sejumlah besar wang (mungkin kesemua elaunnya), barangkali sejak baginda bergelar sebagai Tengku Mahkota dahulu, ke dalam yayasan itu.

Jadi, apalah salahnya baginda menggunakan wang simpanan (wang saku) yang dimilikinya untuk memiliki sesuatu yang disukainya kerana baginda telah pun melaksanakan sebahagian tanggungjawab baginda (jihad) untuk membantu rakyat.

Tanpa menafikan pandangan mantan MB itu memang benar dan Sultan sendiri berhak untuk memanfaatkan rezekinya, saya berpendirian bahawa sebagai politikus, Datuk Seri Nizar telah tersilap dalam menyatakan pandangannya itu. Dengan canang telah pun dipukul oleh PAS/PR bahawa YB Salehuddin Ayub bakal menjadi MB Johor jika PR menang pada PRU13 yang akan berlangsung kelak (tempoh iddah BN sebagai pentadbir negara ada sekitar sembilan bulan sahaja lagi), kenyataan beliau itu sedikit banyak dapat menjejaskan tanggapan Sultan terhadap PAS.

Walau bagaimanapun, sebagai renungan, elok kiranya kita mencerna peribadi sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Zar al-Ghifari. Abu Zar al-Ghifari terkenal sebagai sahabat yang antinepotisme dan sering memberikan pandangan yang keras terhadap golongan yang gemar menumpukkan harta, khususnya dalam kalangan bani Quraisy (semasa zaman pemerintahan Khalifah Usman ibni Affan). Walaupun mendapat kecaman kiri dan kanan, Abu Zar tetap memberikan pandangan beliau yang berbentuk peringatan itu.

Antara tokoh yang ditegurnya termasuklah Muawiyah bin Abi Suffian. Semasa menjadi gabenor Syria, Muawiyah telah membina sebuah istana yang dinamainya Al-Khizra. Abu Zar menegur perbuatan Muawiyah itu dengan berkata, “Jikalau istana ini kamu bina dengan menggunakan wang negara, bererti bahawa kamu telah menyalahgunakan wang negara. Kalau kamu membinanya dengan menggunakan wang kamu sendiri, bererti bahawa kamu telah bersikap boros”. Muawiyah sekadar mendiamkan diri apabila mendengar teguran sahabatnya itu.

Catatan ini bukan untuk memihak sesiapa, tetapi untuk mengajak umat Islam supaya berfikiran rasional — bersedialah untuk menerima teguran dan utamakanlah kebenaran walaupun pahit. Pahit itu ubat. Ubat, insya-Allah, dapat melanjutkan hayat.

No comments:

Post a Comment